Sabtu, 26 Disember 2015

AKU NABI ISA! REFLEKSI WAD SAKIT JIWA (PTS MILLENNIA)


Dr. Rozanizam Zakaria menulis buku ini berdasarkan kes-kes yang dikendalikan beliau semasa beliau bertugas di unit psikiatri, di Adelaide, Australia. Ini tidak bermakna buku ini kaku dengan teori-teori perubatan dan rawatan semata-mata, ia sebenarnya digarap dengan gaya puitis, penuh inteletek dan pengisian rohani menyingkap sisi “gila” seorang insan terpilih.

Amat sukar rasanya untuk mencari tulisan seorang doktor perubatan yang begitu indah susun katanya dan membuat huraian dari aspek akidah dan tauhid secara terperinci melalui kes-kes beliau. Terdapat 10 kes istimewa yang beliau nukilkan dalam buku ini dalam bentuk penceritaan yang meruntun jiwa. Bukan itu sahaja, beliau turut membuat diagnosa terhadap kes tersebut dan memperjelaskan kepada kita melalui terma perubatan, psikososial, fakta statistik terkini, kaedah rawatan atau penamatan kes dan juga rumusan dari kaca mata Islam. Lengkap! Tiada satu bab pun yang gagal menarik minat saya. Satu manual yang hebat untuk pekerja sosial seperti saya. Saya sendiri berhadapan dan menguruskan pesakit jiwa setiap hari sebagai klien, bezanya Dr. Rozanizam Zakaria seorang pakar yang soleh.

Buku ini juga didatangkan dengan pakej rekaletak yang bagus oleh Fadly Halim, pengunaan font yang sesuai malah setiap isi-isi penting diperbesarkan font tersebut atau diolah dengan kerja grafik yang bersesuaian. 


Benar kata seorang rakan, untuk melihat pemikiran seseorang pemimpin, kita baca tulisannya. Buku ini membuatkan saya begitu kagum dengan personaliti Dr. Rozanizam, bagi saya dia seorang yang mempunyai karisma dan berbudi luhur. Saya ingin sekali bertemu dengannya jika ada kesempatan. Pemilihan terjemahan surah al- Quran dan hadis yang dikemukakan sebagai dalil dan nas hujahnya disini begitu tepat bagi merungkai senario yang dialami beliau ketika menangani pesakit-pesakitnya.

Seperti kata beliau sendiri buku ini bukan ditulis untuk bakal doktor, bukan untuk pesakit mental, bukan untuk keluarga pesakit mental. Buku ini ditulis untuk setiap insan yang memiliki kewarasan dan bercita-cita untuk untuk melakukan sesuatu yang bermakna dari nikmat aqal yang dianugerahkan Ilahi.

Aku Nabi Isa! dipilih sebagai buku terbaik bagi tahun 2015 dari blog Khusyuk Kematian!

Ahad, 13 Disember 2015

APAKAH ITU PUISI?


Puisi adalah merujuk kepada susunan kata-kata indah, bermakna dan terikat aturan serta elemen ritma. Ciri umum puisi adalah mempunyai bahasa yang lebih padat, lebih indah, agung dan hidup. Puisi juga mengandung kata-kata perlambangan (metafora). Lazimnya puisi dijadikan sebagai media untuk mencurahkan perasaan, fikiran, pengalaman dan kesan terhadap suatu musibah, kejadian, dan kenyataan di sekitar kita. Puisi Melayu tidak hanya merentas pentas hiburan dan adat malah turut menjangkau hingga ke alam ghaib.

Menggunakan gaya tutur serta pelukisan yang hebat dimana mampu menggerakkan emosi dan imaginasi pembaca atau pendengar. 

Menurut Pendeta Za'ba, puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.

Sabtu, 5 Disember 2015

KNOCK KNOCK (2015)


Makin laris pula Keanu Reeves tahun ini, selepas berjaya menghidupkan babak aksi dalam John Wick, dia cuba untuk membawa watak suami mithali dalam Knock Knock. Filem ini mungkin boleh dikategorikan dalam genre ‘jenayah cinta erotis’. Ditulis dan diarahkan oleh Eli Roth (terkenal melalui filem Sekuel Hostel) Knock Knock tidaklah sehebat Hostel walaupun dibintangi Keanu dan 2 aktress rupawan dari Sepanyol, Lorenza Izzo dan Ana de Armas. Malah Rotten Tomatoes hanya bagi 1.5 bintang aja!

Plot penceritaan mudah sahaja, Evan (lakonan Reeves) adalah seorang arkitek berjaya terpaksa tinggal sendirian kerana kecederaan bahu manakala isteri dan anaknya berkelah dipantai sempena Hari Bapa. Malam selepas permergian isteri dan anaknya, dua wanita psiko Genesis dan Bel datang kerumahnya dan dengan segala tipu helah dan godaan mereka berjaya menjerat Evan untuk berlaku curang (ada scene double blowjob, threesome, dilarang menonton bersama keluarga kerana kurang sesuai) dan akhirnya mereka menjerat Evan. Mereka turut memuat naik video seks Evan di facebook. Jika mahu dinilai dari senario yang terjadi, Genesis dan Bel mungkin mengalami masalah mental, mungkin juga mangsa penderaan seksual, dan bergerak mencari mangsa lelaki untuk dihukum jika berlaku curang. Bagi yang menganggap kisah sebegini khayalan atau hanya terjadi di Barat. Anda silap, ia turut terjadi disini dan kes-kes wanita yang mengalami nymphomania juga banyak di Malaysia. Evan tidak dibunuh dan berjaya bertemu semula dengan anak isterinya. Filem ini tiada kena mengena dengan Elizabeth Tan dan ia adalah penambahbaikan dari filem asal Death Game (1977). Filem ini tidak menarik dan menampilkan Keanu Reeves sebagai watak utama langsung memberi sebarang impak. Sekadar filem santai untuk para lelaki miang barangkali?.

2/5

Khamis, 3 Disember 2015

ADAM JUGA SEPI


Suatu malam saya keluar minum malam bersama seorang rakan, dengan suara yang lembut dia berkata “ Rammy, hang saja yang faham perasaan aku, hang tidak pernah puji seperti orang lain demi nak menyenangkan hati aku jika aku berbuat silap. Aku tak suka dengan kerja aku sekarang, aku terpaksa sebab tiada punca lain, aku pun dah berumur 40-an tanpa teman, aku tertunggu-tunggu jodoh aku, sesiapa pun aku terima asalkan dia menyintai aku, buat la satu puisi untuk diri aku”

Dia langsung tidak senyum atau ketawa seperti selalu. Bermakna ia permintaan yang tulus. Oleh itu terimalah puisi ini untuk mu sahabat. Harap kau dan aku nyaman membaca ertinya.