Isnin, 25 Januari 2016

CATATAN TAK KERUAN (MARHAEN LITERA)


Saya dapatkan buku ini dari penulisnya sendiri, dua hari lalu. Pertemuan pertama saya dengan beliau, memberi gambaran jelas kendiri beliau seperti yang saya jangkakan melalui imej yang kebanyakan kita ketahui dari akaun media sosial beliau. Secara ringkas, walaupun tidak manis untuk menilai seseorang itu dari perkenalan jangka pendek, Pitri al-Fateh Zainon adalah seorang yang intelek, puitis, romantis dan yang paling saya suka mempunyai pemikiran haluan tajdid.

Apabila pulang dari berkhemah di Puncak Gunung Jerai, saya lantas membaca karya terbaru beliau ini. Jujur saya katakan, ia seperti berbicara bersama beliau dan buku ini umpama minda dan qalbu beliau yang sempat dirakamkan pada tinta. Bukanlah semua yang digarap dalam buku ini tidak keruan dan yang bukan-bukan, bahasa dialet dan pasar hanya digunakan dalam anekdot-anekdot supaya gambaran dan senario yang digambarkan jelas pada nilai geografinya. Maksud saya kecintaan beliau pada pekan kecil Guar Chempedak jelas dinukilkan dalam buku ini.

Pada saya, sajak-sajak beliau mempunyai baris dan rangkap bombastik, yang membuatkan saya termanggu melayan nurani seperti “Jika”, “Semalam”, “Terus untuk Kamu” dan banyak lagi. Cerpen-cerpen pendek yang kebanyakan dari pengalaman peribadi Pitri juga membuatkan buku ini kembali santai setelah penat dengan sajak-sajak emosional. Kisah dan nukilan cinta dan zaman percintaan itu sesuatu yang mustahil juga bagi sesetengah penulis untuk dikongsikan. Tetapi Pitri al-Fateh Zainon berjaya merakamkan saat-saat manis dan dungu itu sebagai pedoman buat si muda mudi.

Buku ini selesa buat remaja dan juga dewasa sebagai bahan bacaan santai dan cukup sifat untuk dikategorikan sebagai naskah penulisan bebas. Dapatkan buku ini sebagai tanda sokongan kepada penulis yang pernah menerbitkan zine bertajuk Aku, Pekan Kecil dan Skateboarding.

Ahad, 24 Januari 2016

MENJEJAKI TOK ADAM DI GUNUNG JERAI

Sebaik melawat kedai buku Marhaen Litera, kemudian bersolat di masjid pondok Ghairru Jamek dan minum petang bersama Pitri al-Fateh Zainon, saya terus bergerak ke Bedong. Harapan saya untuk menikmati nasi kandar Naina dan melawat rakan-rakan di Rumah Seri Kenangan Bedong musnah apabila gear motorsikal saya mengalami kerosakan di pekan Gurun. Saya terpaksa ke kedai besi dan membuat sedikit modifikasi pada gear untuk terus bergerak.



Masa habis dengan sia-sia di Gurun dan saya terus bergerak kembali ke kaki Gunung Jerai untuk bertemu Mad Duha yang datang dari Bukit Pinang, Kepala Batas. Seperti yang dijanjikan tepat jam7.30 malam kami bertemu di surau di kaki Gunung Jerai, dan terus mendaki dengan jentera kami sebaik menunaikan solat Magrib. Mad Duha terus melakukan solat jamak dan qasar, tetapi saya masih ragu-ragu dengan jarak musafir kali ini.

Kami terus ke puncak dan berlegar-legar mencari kawasan yang sesuai untuk didirikan khemah, manakala saya ditugaskan untuk menyalakan unggun api bagi menakutkan binatang liar. Pembakaran terbuka memang dilarang, tetapi itu sahaja harapan kami untuk mendapat kepanasan dan menghindar ganguan binatang. Bagi mengelak api merebak, saya nyalakan unggun api didalam lubang. Risau juga apabila Pitri al-Fateh berpesan supaya berhati-hati jika berkhemah di camping site Jabatan Perhutanan kerana ramai yang melihat ada Pak Belang sering beradu disitu. Maka dengan sebab itu juga kami memutuskan untuk terus berkhemah dipuncak walaupun angin begitu kuat. Paling ralat kami berdua tidak membawa lampu suluh. Dalam kegelapan malam dengan hanya mengunakan lampu motorsikal Mad Duha dirikan khemah, saya pun dengan mengunakan lampu android pergi mengutip kayu-kayu kering untuk dibakar. Ya! Memang benar begitu banyak kisah lisan khurafat mengenai hantu-hantu Jerai, demi Allah kami langsung tidak memikirkan karut –marut tersebut, pada Allah segala daya dan upaya. Dan memang ada sedikit perasaan untuk mendokumentasikan perkhemahan ini bagi membuang andaian karut pada rakan-rakan yang mempercayainya.







Kira-kira jam 10.00 malam, kami siap mendirikan khemah dan membuat unggun api, saya turut sempat membuat secawan kopi putih mengunakan unggun api tersebut. Kole stainless steel, kopi murah, kamera dan kain pelekat sahaja yang mampu saya bawa, manakala Mad Duha hanya membawa khemah, 2 botol air mineral dan pemetik api. Ringkas. Memandangkan bateri android dah tinggal satu bar, Mad Duha yang mengunakan Digi pula langsung tiada isyarat diatas puncak ini. Kami tutup telefon dan menikmati deruan angin yang begitu kencang dan dingin sekali. Boleh dikatakan setiap satu jam, Mad Duha gesa saya untuk cari kayu agar unggun api tidak padam. Pembahagian tugas yang kurang adil nampak gayanya!

Puncak gunung Jerai adalah setinggi 1,217 meter, boleh jadi kami berkhemah pada ketinggian 950 meter berdasarkan batu tanda aras tidak jauh dari kami. Menurut lagenda, Gunung Jerai adalah sebuah kawasan pulau yang ditemui Merong Mahawangsa, iaitu pemerintah agung yang pertama negara Kedah atau dikenali pada zamannya sebagai Langkasuka. Kerajaan Langkasuka  yang disebut “Anda- Kataha” turut disebut dalam kitab Hindu purba ‘Agni Purana’ .

Terdapat satu bentuk hamparan batu yang dipanggil ‘Batu Kapal’ yang dikaitkan dengan kapal Merong Mahawangsa ketika berlabuh disitu setelah terpisah dari angkatan lautnya ketika berperang dengan garuda. Kapal itu dipercayai penduduk telah disumpah Sang Gedembai atau Sang Kelembai menjadi batu. Kebanyakan bentuk-bentuk batu yang pelik disekitarnya, turut dipercayai asalnya haiwan yang telah disumpah menjadi batu. Hikayat yang mirip kepada Medusa atau Gorgon dari negara Greek.

Gunung Jerai dan Kedah umum nya tidak dapat dipisahkan dari kesaktian, keramat tok syeikh, bunian, naga, Sang Kelembai dan Bani Tamim. Maka, tidak hairan jika ada ulama besar yang sanggup menghikayatkan kepada orang ramai cerita-cerita tanpa hujah dan dalil seperti Nabi Adam a.s diturunkan dari syurga ke Gunung Jerai, Kapal armada perang Toriq yang menawan Sepanyol ditukangkan di Kedah, kapur barus mengawet Firaun diimport dari Kedah dan sebagainya.

Istana milik Ku Din (seorang pembesar Kedah yang dihantar ke Satun) di Alor Setar yang telah dikaji-selidik dan disahkan oleh pihak muzium dan istana, masih dianggap oleh masyarakat setempat sebagai istana Raja Bersiong.

Kisah panglipur lara mengenai lokasi pertama manusia dari Syurga, Tok Adam dihantar ke dunia tidaklah penting melebihi peristiwa yang Allah swt wahyukan melalui al-Quran. Hadis riwayat Ibn Assakir dalam Tarikh Dimashq yang mengatakan Adam turun ke dunia di India telah disahkan statusnya sebagai doif dan sanad yang sangat lemah. Ada juga hikayat tanpa dalil dari sumber lain yang menyatakan Nabi Adam turun di Jeddah, di Dahna, di al-Safa, dan di Sri Lanka. Semuanya teori belaka. Bagi kita ahlus sunnah ada baiknya kita mengikut pendapat golongan salaf dengan mendiamkan diri dan mengabaikan sebarang teori tanpa bukti sebegini. Allah maha Mengetahui kenapa kita tidak perlu tahu lokasinya dari al-Quran yang dianugerahkan sebagai pedoman.

Satu lagi tempat yang menjadi karamah penduduk setempat adalah Telaga Tok Syeikh yang digali sendiri oleh ulama tersohor Sheikh Abdullah Ahmad Ja’afar al Qaumiri. Sebelum saya ceritakan lebih panjang, tahukah anda orang Kedah turut percaya Syeikh Abdullah Ahmad Ja’afar al Qaumiri adalah murid wali Allah paling popular di dunia Melayu, Syeikh Abdul Qadir al Jailani dan turut mempercayai beliau jugalah yang pertama mengajar orang Melayu seni beladiri “Silat”. 

Sheikh Abdullah Ahmad Ja’afar al Qaumiri dicoretkan belayar dari pondok pengajiannya ke Tanah Melayu bersama beberapa pendakwah yang lain antaranya Syed Thanauddin Jammadi Qubra dan Syeikh Ismail Zaffi. Selain membawa Islam ke Kedah, mereka turut mengislamkan Acheh dan kerajaan-kerajaan Melayu-Tua yang lain. Setelah mengembara ke serata pelosok alam Melayu, Syed Thanauddin Jammadi Qubra dipercayai ke Gunung Ledang menetap disana, beliau dikenali penduduk tempatan sebagai pendita Adi Putra, Syeikh Ismail Zaffri menetap di Gunung Wirana sebagai Sang Persata Nala dan Sheikh Abdullah Ahmad Ja’afar al Qaumiri kembali ke Kedah dan menetap di Gunung Jerai memperturunkan ilmu silat kepada keluarga diraja . Dari situlah bermulanya warisan ‘ibu silat’. Maka dengan itulah, kawasan ini menjadi popular dengan pertapaan, dan pentaksub ilmu silat kebatinan.

Jika anda datang pada siang hari jangan hairan jika sekitarnya dipenuhi dengan perkara khurafat dan individu-individu yang mengaku dari keturunan di raja atau dari ilmu tarekat pimpinan Syeikh Abdul Qadir al Jailani.

Baiklah, sepanjang malam kami disini, hanya deruan angin dingin menemani. Tiada sebarang peninggalan Nabi Adam atau artifak dari tamadun awal dunia atau tamadun Andalusia (sebab kayu dari Kedah buat kapal perang di sana) diketemui kecuali batu kapal dan telaga seorang ulama. Tiada rasa misteri atau seram sejuk dek kegilaan khurafat. Beberapa kenderaan juga kedengaran sesekali naik dan turun sehingga 3 jam 3 pagi. 

Kehairanan Mad Duha melihat saya hanya mendirikan solat Isyak di atas tanah. Saya pegang hadis “Seluruh bumi ini adalah masjid, kecuali kuburan dan tandas” (hadis riwayat Tirmidzi no 317) walaupun dibahaskan sebagai riwayat mursal (terputus), namun boleh juga dikatkan dengan habis “Seluruh bumi dijadikan sebagai tempat solat dan untuk bersuci. Siapa saja umatku yang mendapati waktu solat maka solatlah ditempat tersebut” (hadis riwayat al Bukhari no 438). Oleh itu ertinya tetap membawa pada kesamaan. Dan seharusnya kita tahu masjid nabi dahulu hanyalah berlantaikan tanah. 

“Bahawasanya Abu Bakar sujud atau solat diatas tanah" (Kanzul Ummal juz 4 bab 22, Sunan al Kubro lil Baihaqi)

“Umar bin Abd Aziz salah seorang Khalifah bani Umayyah ketika sujud tidak hanya dengan memakai tikar sebesar wajah yang dibuat dari ranting pohon kurma, bahkan dia menaruh di atasnya tanah dan dia sujud diatasnya” (syarah al-Ahwadzi juz 1 bab 272, Fatul Bari juz 1 bab 410)

Oleh itu tiadalah alasan untuk tidak bersolat hanya kerana tiada lantai yang licin dan mewah. Bahkan bersolat diatas gunung, bertemankan bulan mengambang dan embun dingin memberikan satu nikmat yang tidak dapat dicoretkan dengan bahasa. Saya terlelap sekitar jam 3 pagi sebaik sahaja unggun api terpadam, dimaklumkan Mad Duha yang tidak tidur semalaman. Kami bangun bersolat pada sekita jam 6 pagi. Matahari begitu cepat menyinar walaupun kabus tebal. Helmet saya basah didalamnya petanda awan tebal menyisir dicelah-celah kami semalam. Siap mengemas khemah dalam hanya 5 minit kami bergerak ke The Regency Hill Jerai Resort sekitar 7 pagi. Pengawal keselamatan memburu kami kehairanan, setelah dimaklumkan kami hanya mahu mengunakan tandas. Dengan budi bicaranya, kami dibenarkan ke tandas dan meninjau keadaan sekitar. Cafeteria hotel telah mula beroperasi seawal 7.00 pagi, kelihatan rata-rata penginap hotel ini bangun awal untuk merasa kedinginan dan kesegaran pagi di puncak Jerai. Kami terus menuruni Gunung Jerai tanpa perlu menghidupkan enjin motor dengan kelajuan 60-70KMph.





















Boleh dikatakan sepanjang jalan menuruni Gunung jerai walaupun pada hari berkerja, Isnin ini, kami menemui hampir 100 orang yang berbasikal atau hiking ke puncak. Kebanyakan mereka adalah orang Cina. Andaian saya, Gunung Jerai lebih hidup dengan aktiviti rekreasi dan kecergasan pada waktu siang. Ia sesuatu yang bagus dari mempromosi hal khurafat.

Kami ke pekan Gurun untuk bersarapan nasi Kandar Hussein dan terus bergerak mengunakan lebuhraya untuk kembali ke Kangar dan tiba pada jam 10.00 pagi.


MENJEJAKI TOKO BUKU MARHAEN LITERA









Rancangan untuk ke kedai buku Marhaen Litera ini sudah lama tertangguh disebabkan buku Pentagram Di atas Pusara yang laris bagai pisang goreng cheese, sehinggalah ke hari ini apabila Mad Duha bersetuju untuk bermalam di Puncak Gunung Jerai bagi merasmikan khemah baru yang dibeli di Thailand dengan harga RM20. Saya menerima layanan yang cukup mesra dari pemiliknya Pitri al-Fateh Zainon yang juga penulis buku Catatan Tak Keruan serta pernah menerbitkan zine bawah tanah berjudul Aku, Pekan Kecil dan Skateboarding.

Banyak yang kami kongsikan mengenai penerbitan buku dan karya seni hinggalah ke perbahasan kitab Syiah dan manhaj Sunnah yang dipersetujui oleh kedua-dua penghuni pekan kecil ini, Kangar dan Guar Chempedak. Marhaen Litera terletak di bangunan MARA berhadapan Balai Polis Guar Chempedak. Jika melalui pekan kecil yang damai ini. Eloklah singgah membeli karya anak tempatan.

Khamis, 21 Januari 2016

6 NASI AYAM UNIK YANG PERLU ANDA CUBA DI PERLIS

Okay, sini saya cadangkan 7 jenis nasi ayam (berlaukkan ayam) jika anda berada di Perlis. Moga dapat mencuba kesemuanya;



1) Nasi Kumok (ejaan betul Khao Mok). Yang ini memang lagenda. Ada orang memanggilnya nasi ganja, tetapi mereka tersilap ini adalah resipi nasi kuning dan ayam goreng dari Selatan Thailand. Kuahnya dibuat dari lemak kulit ayam dan lauknya adalah ayam digoreng dengan rempah ranggup. Gerai ini terletak sebelum Sungai Repoh jka menghala ke Kangar, berhadapan RPA Taman Seri Pilihan. Bagi gen X Kangar, pasti anda boleh ingat kembali yang mereka ini telah berniaga sejak zaman 80-an lagi di Stesen Bas Kangar, berhadapan Kelab Hokkien, kini dah jadi bangunan Anak ku atau Agro Bank tu.

Rasa sekali pasti datang lagi kerana harganya yang berbaloi. RM4.50 sebungkus. Tetapi kalau tiap hari makan, mual pula rasanya. Jika bernasib baik, mereka ada juga menjual murtabak pada hari-hari tertentu.Andainya ada murtabak, baik anda mencubanya sekali. Sedap dan amat berpadanan dengan harga. Bagi yang tidak suka nasi lembik dan bergam. Mungkin citarasa anda tidak sesuai makan nasi kumok ini. Ayam percik juga mula diperkenalkan beberapa tahun lalu. Ada 2 gerai nasi Kumok di Kampung Repoh. Jika anda menghala ke Arau boleh cuba yang bersebelahan stesen Petron.



2) Nasi Ayam Panggang (Manok Tunok) ini memang kegemaran saya sejak diperkenalkan oleh Chainsore (vocal WRECKÄR) beberapa tahun lalu. Terletak disempadan Kedah-Perlis, dibawah fly-over highway Pauh-Bukit Kayu Hitam dan berhadapan Kampung Penyamun (nama sebenar Kampung Titi Kerbau, Mat Duha @ Pekëtum yang cerita dahulu kala orang ramai takut melalui jalan kampung ini pada malam hari kerana akan ditahan penyamun, saya sendiri pernah melalui pengalaman aneh sewaktu pulang menonton wayang bersama girlfriend dahulu apabila seorang perempuan tua dengan rambut mengerbang tiba-tiba melompat keluar dari belukar ke jalanraya. Ketika itu jam hampir 2.00 pagi, hampir saya mengilis wanita itu dengan kereta, girlfriend saya tidak dapat tidur sepanjang malam itu katanya!) Kedai ini diusahakan oleh orang Sarawak dan memasak mengunakan resipi tradisi mereka. Saya juga sukakan sup ayam yang dimasak dalam buluh. Kicap buatan sendiri yang disajikan bersama nasi itu barangkali pembangkit selera kerana saya mampu meratah seekor ayam tanpa nasi seorang diri! Ayamnya tidak basah, tidak juga terlalu kering. Sempurna dan boleh menyebabkan ketagihan! Wajib anda cuba dijika anda berada sekitar Pauh atau kampus utama Unimap.




3) Nasi Ayam Panggang Mek Siam. Ini adalah warung tanpa nama dan diusahakan oleh orang Pattani yang bertutur Bahasa Melayu pun suam-suam kuku aja. Apa yang saya hairan bagaimana mereka boleh membuka warung tenggek berhadapan Makmal Bioproses Unimap, Kawasan Perindustrian Jejawi (area JPJ) di tepi kedai membaiki kasut ini. Mereka juga mampu menjual ayam panggang dengan murah mengalahkan peniaga tempatan. Bayangkan dengan ayam yang boleh dipilih sendiri, harga sepinggan nasi tidak pernah mencecah RM5. Harga yang begitu mesra pelajar. Oleh itu tidak hairan, ramai pelajar, pemandu lori, posmen dan pekerja kilang datang makan di gerai ini. Namun saya tidak suka sup mereka yang dibuat dengan perisa dan stok ayam semata-mata. Ayam panggang di sini memang sedap tetapi saya pasti kandungan MSG yang digunakan mereka boleh tahan juga. Mereka turut mengedarkan minuman indie Pop the Soda.



4) Nasi Ayam Sri Ketapang ini adalah hidangan standard nasi ayam Hainan, cuma disebut Ketapang disebabkan gerai mereka terletak dibawah pokok Ketapang. Walaupun nampak hidangan sepinggan nasi ayam mereka kelihatan seperti direstoran-restoran yang lain. Percayalah nasi ayam Hainan disini ada kelainan dan rasanya kekal serupa setelah lebih sedekad mempertahankan kualitinya. Lokasi mereka adalah di Kampung Paya berhampiran kedai char kueteaw Tok Wi, dan jika anda ke Wang Kelian atau Padang Besar untuk membeli belah, ada baiknya ada singgah menjamu selera disini kerana saya pasti sudah lama anda tidak menikmati nasi ayam Hainan yang menyelerakan.



5) Bagi yang berada di Kuala Perlis, mungkin anda tidak berkesempatan untuk rasa 'nasi kumok' di Repoh yang tular tu. Anda boleh ke warung pulut ayam Aminah di Jalan Sarawak, berdekatan simpang 3 ke pasar malam Kuala Perlis, berdekatan Pasaraya Seri Utama. Diusahakan oleh orang Satun, mereka fasih berbahasa Melayu walaupun cakap Siam sesama mereka. Yang ini nasi kumok original sebab mereka guna sos cili homemade sebagai kuah, begitu juga dengan pulut ayam.  Warung beroperasi seawal 7 pagi hingga petang (hingga habis ayam).



6) Kedai ini terletak di sebelah bengkel Volvo yang sudah menjadi bagai hospital kepada kereta saya. En. Zaki mewarisi kepakaran membaiki Volvo dari ayahnya. Pusat urus jenazah milik One Centre Malaysia (institusi dakwah moden berbilang bangsa) juga berada kira-kira 200 meter dari kedai ini. Boleh dikatakan Nasi Ayam Kubang Gajah, (Kubang Gajah tu nama kampung ni) adalah sebagai mana nasi ayam Hainan yang lain. Tetapi keistimewaannya terletak pada nasinya. Sedap, seroi (tidak melekit), cukup segala sukatan rempahnya. Menurut Google Maps, warung ini turut dikenali sebagai Nasi Ayam Last Kicap!

Kredit: photo 1 & 6 dari imej Google.

Isnin, 18 Januari 2016

SYEIKHUL ISLAM IBN TAIMIYYAH

Ada pihak yang konon mendakwa pendokong Ahlus Sunnah di Malaysia mutakhir ini terang-terangan menyatakan kebencian dan mencela Ibn Taimiyyah (lahir pada 661H). Mereka dengan niat jahat menyatakan pemikiran Ibn Taimiyyah adalah pemangkin kepada wujudnya gerakan penganas. 

Saya sendiri mempunyai mentor yang mencetuskan semangat kepada pemurnian agama. Dan saya sentiasa menyokong gerakan tajdid biarpun akan dibenci dan ditomah ramai kerana ia satu haluan yang tegas dan ada keperluan terhadapnya. Saya ingin abadikan nukilan tokoh-tokoh tajdid terhadap Ibn Taimiyyah sebagai setitis usaha untuk membelanya.

Pujian Imam az-Zahabi, 
lahir pada 673H, 
Pengarang Siyar A'lam An-Nubala 
terhadap Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah:
"Ibnu Taimiyyah adalah satu bukti kekuasaan Allah dari sudut kecerdikannya, kefahamannya yang pantas, ketua dalam mengetahui al-Quran dan sunnah dan juga khilaf. Lautan ilmu dalam manaqalkan kalam-kalam ulama. Pada zamannya beliau adalah satu-satunya orang alim, zuhud, berani, pemurah, menyuruh kearah yang ma’ruf, menentang kemungkaran dan terlalu banyak karangannya".

Tambah Imam Zahabi lagi; "Jika disebutkan bidang Tafsir maka beliau adalah obornya, jika disebutkan tentang Fuqaha maka beliau adalah Mujtahid Mutlaq, jika beliau datang bercakap di hadapan para Huffaz pasti mereka akan terkedu, jika beliau berdebat dengan Ibnu Sina, pasti beliau akan menewaskannya dan memalukannya, menghancurkan dalil-dalil mereka, membuka kelemahan mereka"

"Sekira-kira boleh kita katakan, bahawa setiap hadis yang tidak diketahui oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah maka ianya bukanlah hadis".

al-Syeikh Yusuf al-Qaradawi
Pengarang Kaifa Nata`amul ma`a al-Sunnah:
“Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku”  (m.s. 170, cetakan: Dar al-Wafa, Mesir)

Isnin, 4 Januari 2016

STAR WARS: THE FORCE AWAKENS (2015)


Sesiapa yang pernah mengikuti Star Wars pasti ada keterujaan apabila dicanang dengan satu episode baru yang disambungkan dari kesudahan epik “Return of the Jedi” (1983). Ia menjadi satu spekulasi hangat apabila George Lucas bertindak menarik diri dari pembikinan “The Force Awakens” setelah Disney enggan menerima idea beliau, seterusnya menjual terus produksi Lucasfilm kepada Disney dan dikhabarkan enggan ambil peduli tentang karyanya itu lagi.

Saya menonton filem ini di panggung wayang bersama rakan baik saya Badril dan isterinya pada Jumaat lalu (1/1/16), ternyata peminat sudah berkurangan namun tiketnya masih lagi terjual. Dua hari lepas penjualan tiket global dilaporkan mencecah USD 1.5 billion! Gila.

Dalam keterujaan menonton, saya akui tiada apa pun yang menarik dipersembahkan dalam “The Force Awakens”. Jalan cerita kitar semula dari “New Hope” (1977) memang ketara dan ketandusan idea. Jika dalam “New Hope”, bagaimana kapal angkasa berlegar, jet pejuang terbang, pedang lazer atau pistol lazer memancar itu cukup futuristik digambarkan menjangkau minda. Kesan khas Star Wars ketika itu hampir tidak diketemui dalam filem lain sezamannya. Hebatnya idea Lucas dahulu, Millennium Falcon, R2-D2 dan C-3PO masih releven digunapakai dalam filem ini.

Saya malas untuk mengulas lebih panjang kerana kekarutan yang ada dalam filem ini. Watak Kylo Ren, (anak Han Solo yang dilatih Luke Skywalker beralih menjadi jahat) juga tidaklah sehebat persembahan beliau babak awal. Kylo Ren menyembah berhala Darth Vader dibawah rejimen First Order yang muncul dari pecahan Galactic Empire yang telah tumpas 30 tahun lalu. Kisah utama “The Force Awakens” adalah obsesi Kylo Ren untuk menjejaki Luke Skywalker, Jedi terakhir yang dikhuatiri membantu gagasan pemberontak menumpaskan kuasa kegelapan. Seperti The Transformers, First Order mempunyai Starkiller Base yang mempunyai senjata yang dijana dengan menyedut tenaga matahari. 

Lihat sendiri dan hukum filem ini dengan keras kerana memusnahkan nilai epik nya. Mengecewakan.