Isnin, 24 April 2017

JERUZALEM (2015)


Seingat saya belum ada lagi filem dari Israel yang saya tonton kecuali karya-karya muzik dari sana yang diakui memiliki keunikan dan kualiti. Ini bolehlah dikategorikan dalam genre seram, pasca-kiamat. Satu tema yang begitu mendapat sambutan pembikin filem sekarang ini. Filem ini saya kira berpusat dari idea yang dipetik dari Talmud (Eruvin 19a) bermaksud “Adanya tiga pintu ke neraka, satu di padang pasir, satu di lautan dan satu di Jerusalem”.

Bagi yang mengambil karya ini sebagai hasil seni tanpa sebarang sentimen lain. Bolehlah menganggap penulis dan penerbit Jeruzalem iaitu Doron Paz dan Yoav Paz cuba membawa mesej majmuk dalam filem ini walaupun ke semua aktor-aktor adalah Yahudi, mereka telah cuba membawa peranan penganut 3 agama samawi di Palestin.

Hampir keseluruhan filem boleh dikatakan ala filem Russia Hardcore Hendry, yang mana dalam Hardcore Henry mengunakan kamera GoPro: Hero sesuai dengan aksinya, manakala dalam filem JeruZalem watak utamanya Sarah Pullman mengenakan kacamata teknologi tinggi, Google Glass yang dihadiahkan ayahnya. Sarah Pullman bersama rakannya Rachel dari Amerika Syarikat merancang percutian di Tel Aviv, dan dalam perjalanan mereka berkenalan dengan Kevin, seorang remaja yang sangat berminat pada mitologi bani Israel. Tiba di sana mereka menjadi kawan rapat dan tinggal di hotel budjet milik orang Islam. Di situ mereka bersahabat pula dengan Omar. Sarah mula tertarik pada Kevin, manakala Rachel pula bercinta dengan Omar. Nak dibuat cerita kelihatan lebih logikal, digarap insiden tas tangan Sarah yang berisi kaca mata dilarikan pencuri kanak-kanak, maka terpaksalah Sarah memakai Google Glass sepanjang masa. Kelebihan penerbit sebagai rakyat Israel dimanfaatkan dengan merakamkan banyak babak-babak di tapak-tapak keagamaan dan bersejarah. Manakala sekitar Tel Aviv dipaparkan masyarakat Islam aman berniaga, solat dan juga mengemis. Omar digambarkan kaki berfoya-foya, sehingga Kevin menegur “Bukankah Muslim tak boleh minum alcohol?” ketika Omar membawa mereka ke kelab. Tentera-tentera Israel pula digambarkan bodoh dan tidak efisen. Rachel dan Sarah berkata pada Omar “Mereka nampak sopan”. Omar mengherdik “Orang Amerika terlalu naïf untuk kenal mereka ni”. Boleh tahan skripnya.

Malang nasib mereka, baru beberapa hari bercuti syaitan pun muncul dan merasuk mayat-mayat manusia. Bagaikan wabak, siapa yang kena cakar atau gigit, dia pula dirasuk. Dalam masa yang sama sejenis raksasa macam kaiju pula muncul membinasakan kota Jerusalem. Tentera Israel bertindak balas dan berperang dengan syaitan. Dari situ mahu ditonjolkan bahawa Yahudi sudah tahu tentang ini semua awal-awal lagi, sebab itulah tembok-tembok dan persediaan ketenteraan dibangunkan di Tel Aviv.

Dalam panik itu, Fauzi, tokey hotel yang mereka menginap itu mencadangkan mereka melarikan diri melalui gua di kuari Nabi Sulaiman. Malang sekali ketika itu juga Rachel turut dicakar syaitan. Satu persatu mereka mati dibunuh manakala Rachel bertindak membunuh diri sendiri setelah tahu dia dijangkiti. Tragisnya watak utama Sarah Pullman turut dijangkit setelah dicakar dan bertukar menjadi syaitan sebaik dia dan Kevin berjaya keluar diseberang tembok.

Babak terakhir mengambarkan berduyun-duyun syaitan terbang dan berperang dengan tentera Israel. Boleh dilihat ada juga pengaruh filem World War Z (2013) dalam Jeruzalem ini. Mungkin sambungan filem ini akan menyusul.. dan entah-entah ada Ultraman nanti lawan dengan kaiju tu? 

Walaupun CGI yang lemah, Paz bersaudara boleh dikatakan hebat kerana menghasilkan filem ini dengan budget bawah USD200K sahaja.

Selasa, 11 April 2017

MOSH ZINE (ISU # 18)


MOSH zine adalah sebuah zine yang dikira established di Malaysia. Maknanya, ia mempunyai format yang tersendiri, kualiti cetakan dan kemasan yang tersendiri, penyumbang dan pengikutnya tersendiri. Andai kata anda seorang yang cuba-cuba berjinak dengan dunia zine dan pernah kecewa kerana ‘terbeli’ zine yang indah khabar dari hasilnya. Saya cadangkan Mosh kerana rangkaian isu-isu terdahulu yang tidak pernah gagal membawa keunikan.

Disebabkan si editornya, Nizang begitu meminati hasil tangan Irwan, pemain dram JOHNNY COMES LATELY. Beliau telah berjaya meminta Irwan membuat ilustrasi kulit zine kali ini sekaligus menjadikan J.CL sebagai cover story untuk isu ini. Selain itu Mosh turut memuatkan wawancara bersama The Pilgrims, Cinta Si Penggali Kubur, Kah Kah Celaka, Rejected Kids, The Pilgrims, The Needles, OOMK Zine selain berdozen-dozen lukisan dan ilustrasi dari rakan-rakannya.

Mosh juga dikenali dengan ruangan penyumbang artikel pemikiran punk yang mencorak pergerakan muzik haluan kiri tempatan. Ia suatu pembacaan yang menyegarkan.

Saya suka reka-letak minimalis sebegini. Ia nyaman kepada mata orang-orang dewasa. Sila kekalkan format ini ya. Tersenyum juga bila terbaca pendahuluan si editor menyatakan Pedal To The Metal sangat produktif dan tak terkejar dibuatnya. Hahaha.

Whattsapp Nizang: 017-9639316

Sabtu, 8 April 2017

FAIZAL TAHIR “ANATOMI” (EMI)


Ini adalah kali kedua aku beli CD album Melayu, yang mana sebelum ini aku ada membeli CD album repress WINGS “Jerangkung dalam Almari” itu pun untuk diberikan pada seorang penpal, Dave Theisen dari Jerman. Beliau pengumpul album rock Malaysia. Aku tiada sebarang alasan-alasan istimewa, dah memang aku tak minat muzik arus perdana Malaysia. Aku dari scene bawah tanah, citarasa aku adalah muzik yang lasak. Kita tak boleh paksa diri untuk ikut orang. Nanti muntah hijau.

Faizal Tahir memang pelik dari dulu, minatnya terhadap Superman mirip Bon Jovi, dia pun aku tengok ada dipengaruhi gaya nyanyian lantang ala JBJ dahulunya. Aku memang tak pernah minat muzik dia dari dulu. Bila dia buka dada tunjuk icon S semasa pertandingan lagu apa ntah pada 2008 antara yang terus mengkritik dia adalah Dr. MAZA. Dia memang tidak bersetuju Faizal Tahir buat persembahan di Jom Heboh yang akan berlangsung di Perlis ketika itu. Aku masih ingat ketika ditanya jemaah tentang Faizal Tahir semasa kuliah Maghrib di Masjid Alwi, Dr MAZA kata “Dia masih keliru sama ada dia manusia atau Superman”. Menteri Besar Perlis ketika itu juga ditanya oleh wartawan mengenai kesahihan Faizal Tahir yang tidak dibenarkan membuat persembahan di Perlis. Kata Dr. Mat Isa Sabu “Saya tak kenai Faizal Tahir”, banyak yang menyangka dia perli Faizal. Tapi aku percaya, Dr. Mat Isa memang betul-betul tak kenal Faizal Tahir.

Tapi sejak insiden itu, Faizal Tahir benar-benar merombak arahnya dengan menyanyi dan menukilkan hal-hal yang benar-benar perlu diluahkan, ia artistik dan matang. Bukan pada mesej, malah pada muzik dan juga vokalnya juga. Paling aku suka, dia mampu bersaing di tahap global. Muzik Faizal Tahir adalah pertembungan antara progresif rock dan progresif power ballad. Yang hebatnya walaupun muzik Faizal Tahir agak teknikal, ia catchy dan radio friendly. Jadi siulan.

Dr. MAZA juga membuktikan kritikan beliau dulu bukan pada dasar membenci muzik dan hiburan sebaliknya beliau tidak suka artis yang mengetepi kesantunan dan akhlak ketika membuat persembahan pentas. Puji Dr Maza kepada Faizal Tahir apabila melihat persembahan AJL ke 30 dengan lagu "Assalamualaikum". “Saya ucapkan syabas kepada saudara Faizal Tahir kerana berusaha menyampaikan misi kemanusiaan dalam liriknya. Seni itu sepatutnya membangunkan manusia dan hidup yang berteraskan keberadaban yang tinggi.”

Aku lihat Faizal Tahir tidak berhenti begitu sahaja, dia makin aktif dalam kempen-kempen kemanusiaan dan anti perang terutama yang membabitkan Syiria dan Palestine. Dia hebat.



Aku beli album “Anatomi” ini sebab aku rasa ia layak untuk disokong, disimpan dan dijadikan koleksi. Semua lagu-lagunya sedap. Faizal Tahir berjaya menghimpunkan pasukan pemuzik dan komposer professional dibawah sayapnya. Manakala Faizal Tahir selesa dengan bermain gitar dan vokal pada setiap lagu kecuali “Setia”. Kerja-kerja rakaman dan adunan memang sejernih kristal. Manakala kerja-kerja grafik menjurus kepada Sufism moden. Jika anda sudah biasa dengan visual-visual kumpulan-kumpulan dari Turki atau paling mudah Dewa 19, anda pasti faham apa yang aku katakan ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...