Jumaat, 15 September 2017

T-SHIRT RASMI KREMATION


Semalam saya terima bungkusan istimewa dari sahabat lama di Sarawak. Ia merupakan t-shirt rasmi KREMATION yang dicetak oleh Morgue CafĂ© (saya tidak pasti sama ada ia masih dijual atau tidak? Anda boleh hubungi Masumi, GORESLUTS untuk pertanyaan). 

Nasth Sheir, (pemain bass & vokal) adalah merupakan sahabat pena saya sejak dari 90-an. Kami berutus puluhan surat malah saya turut melakukan wawancara bersamanya yang dimuatkan Kemenyan zine. Kremation berdiri sebaris dengan SENSELESS dalam memperkenalkan irama death metal di bumi kenyalang. Kremation ditubuhkan pada 1992 dan berjaya menerbitkan sebuah album penuh berjudul “Head Hunter Revenge” pada tahun 2000. Kulit album ini dihasilkan oleh saya dengan warna air sepenuhnya melalui idea yang diberikan oleh Nasth Sheir sendiri. Sukar untuk percaya ia telah berusia 18 tahun.

Album dan lukisan ini asalnya bertajuk “The Curse of Headhunter” namun ditukar pada saat ia dikeluarkan dalam format kaset oleh Music Trax. Ramai peminat ketika itu hairan bagaimana Kremation boleh bernaung dengan sebuah label yang asing dan hanya menerbitkan kaset-kaset bootleg ketika itu. Album ini turut memuatkan EP tersohor mereka iaitu “Reborn” yang pertama kali dikeluarkan oleh Nebiula Production pada tahun 1999.

Bagi yang tidak tahu, Kremation masih aktif dan ada merekodkan sebuah lagu promo pada 2011. Nasth Sheir pula sedang sibuk merakamkan demo dan seterusnya perancangan untuk album sebuah kumpulan hard rock bernama AMBUSHED. 

Semoga Kremation dapat merakamkan album baru buat peminat-peminat tegar mereka!

Ahad, 10 September 2017

BASTILLE DAY (2016)


Filem-filem yang menongkah arus seperti Body of Lies, Shooter, walaupun digarap dengan aksi yang baik, merungkai konspirasi dan membawa realiti, akan mendapat sambutan suram tidak seperti lambakan filem penipu garapan iluminati. Saya menonton filem ini kerana Idris Elba tanpa mengambil tahu apa jalan ceritanya. Sebenarnya saya kagum bila mengetahui dia sedang berlatih walaupun telah berusia 44 tahun demi mengejar impiannya untuk menjadi kickboxer professional. Idris turut turun ke Thailand untuk berlatih di gym bersama Buakaw Banchamek. Majalah Time 2016 menyenaraikan Idris Elba sebagai diantara 100 orang paling berpengaruh di dunia.

Penulis dan pengarah, James Watkins berjaya lari dari stereotype dengan menjadikan muslim sebagai kambing hitam dalam semua filem bergenre aksi dan patriotik barat. Filem ini mengisahkan serangan di kota Paris diambang sambutan Hari Bastille yang didalangi oleh anggota UTK Perancis sendiri. Serangan yang seolah-olah dilakukan penganas itu bertujuan untuk menimbulkan rusuhan agama serta perkauman bagi memudahkan mereka menjalankan rompakan ke atas bank negara Perancis dikala semua aspek keselamatan tertumpu pada rusuhan.

Sebagai kumpulan polis UTK mudah untuk mereka memfabrikasi jalan cerita dengan mengebom lokasi strategik dan membuat pengakuan palsu, namun perancangan mereka sedikit tersasar ke kawasan orang awam apabila beg berisi bom telah diragut oleh seorang penyeluk saku. Dengan mengunakan medium ancaman video ala V for Vendetta, klip video polis memukul orang awam yang dibuat polis sendiri, hastags di media sosial, membuat serbuan ke masjid dan meletakkan sendiri bahan peledak, menangkap dan memukul orang Islam, dengan pantas membawa api rusuhan meletus di seluruh bandar. Disinilah munculnya Idris Elba sebagai agen CIA bersama penyeluk saku yang ditangkapnya bergabung tenaga bagi menumpaskan sekumpulan penyamun yang disangka ‘terrorist’.

Mungkin ada garapan yang mirip Die Hard III, London has Fallen,The Recruit, namun jalan cerita Bastille Day ini berani membawa teori tersendiri walaupun akhirnya USA tetap juga wiranya.

IT (2017)


Filem yang membuatkan saya teringatkan Jaideep Patel, gitaris BLOOD LEGION ketika kami berkerja kilang yang sama suatu ketika dahulu. Sebagai metalhead perbualan kami dari hari ke hari sudah tentu dalam lingkungan dunia kami, termasuklah filem seram. Jaideep mengaku, IT adalah filem yang paling dia takut. Apa yang membuatkan saya terkenang hingga hari ini, reaksi wajah dia semasa menceritakan tentang Pennywise, dia benar-benar takut. Haha!

Siapa yang melalui zaman kanak-kanak yang dihantui IT, 1990 harus menonton filem ini kerana ia sesekali tidak akan mengecewakan anda. Saya puji pengarah, Any Muschietti, dan aktor-aktor kanak-kanak yang menjayakan watak-watak mereka dan juga adaptasi semula jalan cerita oleh Chase Palmer, Fukunaga dan Dauberman. Karya mereka sangat teliti, peristiwa IT digambarkan berlaku di pekan Derry sekitar 1988-1989 yang mana Pennywise akan menyerang (makan) kanak-kanak setiap kali genap 27 tahun. Skrip yang dibawa watak-watak kanak-kanak sangat bagus dan mereka begitu menjiwai plot-plot komedi, cemas, romantis dan sedih. IT sebuah filem yang sempurna. Ini kerana saya menonton di pawagam yang dihadiri kebanyakannya gadis-gadis bersama pakwe yang tidak pernah menonton IT yang asal (saya tahu sebab mereka berceloteh) dan mereka begitu menghayati filem ini. Ada yang takut sampai menangis, ada yang ketawa terbahak-bahak bila babak lucu dan ada yang gembira terutama saat romantik Ben ingin mengurat Beverly. 

Saya masih tidak pasti sejak dari filem yang asal kerana tidak membaca novel It. Adakah Beverly itu mangsa rogol ayahnya? Bagi yang tidak tahu, IT diadaptasi dari novel Stephen King (1986).


Tidak perlulah saya sebut spoiler alert namun saya kagum produksi New Line Cinema yang gigih menyelit butir-butir kecil bagi menghidupkan suasana 80-an dalam setiap minit seperti era penemuan penyakit Aids, era kemunculan New Kids On The Block dan irama Rap, kemuncak Micheal Jackson, jam tangan kalkulator, BMX old school, filem Batman (Micheal Keaton) dan Lethal Weapon di pawangam, seluar dalam scuba dan sebagainya.

CGI yang digunakan juga mahal, ketika Pennywise keluar dari projector hampir semua orang tersentak dari kerusi. Jika menonton di pawangam yang ramai begitu pun boleh gugur jantung, apatah lagi jika menonton seorang diri. 

Harus tonton! 
Ini baru episode pertama. 

10/10