Isnin, 29 September 2014

KUNJUNGAN SULUNG KE DARUSSYIFA’

Pusat Rawatan Darussyifa’ Negeri Perlis, terletak di No.324 Batu 13/4, Kampung Santan Kota, Jalan Santan, 01000 Kangar, Perlis ini dirasmikan oleh Tuan Guru Dato’ Dr Harun Din pada 29/12/2013. - Foto Darussyifa' Negeri Perlis Wordpress

Boleh dikatakan hampir semua orang pernah mendengar perkhidmatan yang diberikan Pusat Rawatan Darussyifa’ yang mempunyai cawangan hampir disetiap pelusuk negeri termasuk Sabah, Sarawak dan juga negara Brunei. Hakikatnya, kami orang Perlis sendiri masih asing dengannya. Percaya atau tidak hampir separuh dari kenalan saya hanya pernah dengar nama Darussyifa’ tetapi langsung tidak tahu apa mereka lakukan untuk memakmurkan masyarakat.

Seorang rakan saya mempunyai penyakit yang agak pelik, berlarutan dan tidak boleh dirungkai dengan perubatan moden. Dari ceritanya, saya dapati ada unsur mistik ( bukan band MISTIK, tetapi sesuatu yang tidak dapat dijelaskan secara logikal). Oleh kerana dari suatu kunjungan saya bertemu pengamal perubatan Islam terkemuka, Ustaz Sharhan suatu ketika dahulu saya menyakinkan rakan saya untuk mencuba kaedah ruqyah. Saya muak dengan kaedah bomoh Melayu yang lebih terarah kepada paganism.

Malam ini setelah berhubung dengan Ustaz Abdul Sattar, saya membawa rakan saya bagi mendapatkan rawatan penyakitnya. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Pusat Rawatan Darussyifa’ Negeri Perlis walaupun hampir setiap hari saya mengunakan jalan yang sama untuk ke rumah ibu saya.


Saya sampai jam 8.40 malam, ruang parkir hadapan banglow yang diubahsuai sebagai klinik ruqyah ini penuh dengan kereta-kereta mewah dengan no plat dari berbagai-bagai negeri. Pesakit juga sudah memenuhi ruang tamu rumah. Kami mengambil nombor giliran dengan mengisi buku daftar. Dan menunggu dipanggil untuk rawatan. Bagi setiap malam rawatan, kira-kira 7-10 orang ustaz/ustazah akan bertugas merawat segala macam penyakit dari demam, gout, insomnia hingga ke santau, saka dan gangguan jin.

Kaedah rawatannya terbuka, ahli keluarga boleh melihat rawatan yang diberikan dengan pesakit duduk diatas kerusi berdepan dengan perawat. Tiada pengunaan bahan-bahan pelik dan unik. Hanya bacaan ayat-ayat ruqyah dihembuskan pada anggota yang sakit dan umbun-umbun kepala. Tiada bayaran dan tiada ikat janji yang meragukan. Namun terdapat sebuah tabung derma diletakkan ditepi pintu untuk pesakit-pesakit menghulurkan sumbangan bagi perkembangan Darussyifa’ jika mempunyai hajat untuk bersedekah.

Rakan saya bersyukur kerana dimaklumkan penyakitnya tiada kaitan dengan sihir dan makhluk halus. Namun air penawar yang telah diruqyah diberikan padanya untuk kegunaan minum dan mandi.

PENGERTIAN RUQYAH:

Pada dasarnya ruqyah sama seperti doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT bagi menyembuhkan penyakit, baik fizikal mahu pun batin. Karena erti ruqyah sendiri secara bahasa adalah jampi atau mentera.

Akan tetapi doa-doa untuk penyembuhan tersebut tidak boleh sembarangan melainkan yang sesuai dengan syariat Islam, yakni bacaan yang terdiri dari ayat Al Qur'an, Asmaul Husna serta doa-doa yang dicontohkan Nabi SAW berdasarkan hadits yang sahih.

Jika ada orang yang menyebut ruqyah namun secara praktikalnya menyimpang, tentulah ia bertentangan dengan ruqyah yang diperbolehkan oleh Nabi SAW.

Sebab di zaman sekarang ini begitu ramai dukun yang mengaku mempraktikkan perubatan Islam namun kenyataannya bertentangan dengan apa yang pernah diajarkan oleh Nabi. Tujuan mereka hanya untuk mengaut wang sahaja.

Lebih mengerikan, bila ruqyah yang dilakukan itu mengandung kesyirikan, seperti menyandarkan diri selain Allah SWT, pemujaan kepada jin atau syaitan, meyakini kesembuhan dari benda-benda tertentu dan sebagainya.

Atas alasan inilah yang membuat Rasulullah SAW pernah melarang para sahabat untuk melakukan ruqyah, karena ruqyah waktu itu lebih kental dengan nuansa syiriknya, padahal Islam datang untuk memusnahkan segala bentuk kesyirikan.

DEMONOLOGY DAN EXORCISM

Demonologi (kajian mengenai syaitan), Exorcize (serapah menghalau kerasukan jin)

Bagi mereka yang pernah menonton filem-filem seram Hollywood pasti arif dengan subjek-subjek demonology dan exorcism. Tahukah anda bahawa tiada bab exorcism dalam agama Kristian? Bahagian-bahagian tersebut dipinjam oleh paderi dari kaedah dan kepercayaan orang Yahudi.

Berbalik kepada demonology, tahukah anda dalam Islam kita percaya syaitan adalah panggilan kepada jin yang jahat menganut berbagai-bagai agama dan mempunyai teknologi yang beribu tahun mendahului manusia?

MAKLUMAN PENTING TENTANG AIR BERJENAMA DARUSSYIFA’

Adalah dimaklumkan bahawa air minuman yang dijual didalam botol yang berjenama Darussyifa’ adalah belum di “Ruqyah” kan (belum dibacakan doa & ayat-ayat al-Quran ke atas air tersebut). Justeru itu bagi orang ramai yang membeli air yang berjenama Darussyifa’, hendaklah membawa air tersebut kepada mana-mana perawat Darussyifa’ untuk di “Ruqyah” kan supaya mendapat manfaat untuk kesembuhan pesakit. Air yang berjenama Darussyifa’ yang dibotolkan dengan botol bersaiz 1.5 liter tidak boleh dijual melebihi RM2.50 sebotol. Jika orang ramai membelinya melebihi harga tersebut hendaklah dilaporkan kepada Darussyifa’ Bangi dengan menghubungi Ustaz Halim di no tel. 013-2124817 supaya siasatan boleh dibuat dan tindakan diambil kepada penjual tersebut.

Isnin, 22 September 2014

SUP DENGGI KRUSTY KRAB


Demam denggi semakin merebak, tidak terlepas orang kesihatan sendiri pun bolehkena virus dari gigitan nyamuk ini. Jururawat tempat saya bertugas pun disyaki demam denggi setelah menunjukkan simptom-simptom penurunan platelet darah yang mendadak. Oleh kerana beliau anak perantauan yang hidup kesorangan. Saya masak sup ketam yang dikatakan mampu merawat demam denggi ini sebagai terapi oral (pesakit meminum sup 500ml – 1 liter dan makan isi ketam) bagi meningkatkan platelet dalam masa tempoh 5-8 jam sahaja.

Menariknya, bagi pesakit yang mengalami simptom awal jika dia terus mengambil sup ketam ini kemungkinan untuk sembuh adalah tinggi. In shaa Allah. Tiada ketam yang dikhaskan untuk tujuan rawatan denggi ini, semuanya jenis ketam mempunyai khasiat yang sama namun ketam nipah adalah yang termasyhur bagi tujuan ini.


Ketam nipah berwarna hitam dan oren dibawah perutnya. Habitatnya banyak dikawasan pantai berpaya, kawasan teluk dan muara. Ia digelar ketam nipah mungkin disebabkan ia sering berkampung di kawasan berpaya hutan nipah. Ia halal dimakan. Rujuk >> fatwa

Saya berkunjung ke beberapa pasar namun tidak menemui ketam nipah hari ini, akhirnya saya membeli ketam renjong di pasar perkampungan orang Burma di Kuala Perlis. Jom masak: 


BAHAN-BAHAN:

5 ekor ketam
2 inci halia (dikisar)
3 ulas bawang putih (dikisar)
1 labu bawang besar (dipoton
1 labu bawang besar (dikisar)
3 labu bawang merah (dikisar)
Beberapa biji lada putih (dikisar)
4 batang serai (diketuk)
1 batang kulit kayu manis
Sedikit daun sup (saya gunakan daun parsley kering)
4 sudu besar minyak masak
900ml air
Garam dan serbuk perisa secukup rasa.

CARA MEMASAK:

Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan yang dikisar hingga garing. Saya tidak mempunyai mesin pengisar di dalam studio. Jadi saya hanya pakai lesung batu dan kaca mata.

Masukan air 400ml dan biarkan hingga mendidih. Seterusnya masukkan ketam yang telah dibersihkan.

Bagi mereka yang tidak tahu, kebanyakan kita sering berlaku kejam pada ketam apabila memasak. Memasak ketam ketam kita hidup-hidup atau membekukan mereka didalam peti sejuk supaya mati perlahan-lahan. Tahukah anda ketam juba boleh disembelih? Bukan cerita lawak. Saya cuba Google tetapi tiada bab sembelih ketam diceritakan lagi oleh mana-mana pihak. Saya sendiri mengetahui hal ini dari kuliah dalam radio IKIMfm yang menyarankan ketam-ketam hidup disembelih terlebih dahulu dengan cara tikaman jarum pada perutnya sebelum dimasak. (rujuk foto dibawah) Abaikan jika telah mati kerana bangkai haiwan laut halal dimakan. 


“Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik terhadap sesuatu. Oleh kerana itu, jika kamu membunuh, perbaikkanlah cara membunuhnya, apabila kamu menyembelih maka perelokkanlah cara penyembelihannya serta tajamkanlah pisaunya dan mudahkanlah penyembelihannya itu.”
(Riwayat Muslim)

Masukkan air hingga ketam-ketam tengelam. Kemudian masukkan garam dan perisa secukup rasa.

Apabila kulit ketam bertukar menjadi kemerah-merahan dan sup berbau harum. Padamkan api.

Taburkan daun bawang dan sajikan semasa panas.

Ektra: Peribahasa yang dikaitkan dengan ketam. “Seperti ketam mengajar anaknya berjalan” merujuk kepada seseorang yang jahil dalam sesuatu ilmu tetapi mahu mengajar orang lain tentang ilmu tersebut.

Isnin, 1 September 2014

DAGING LEMBU BAKAR MAHROSU

 

Sesiapa yang pernah bertandang ke Hatyai, Ban Dannok, Setoi, atau Narathiwat pasti pernah menikmati kelazatan daging lembu bakar yang disajikan bersama daun pudina dan sos cili masin. Boleh dikatakan hampir semua gerai dan restoran mempunyai rasa yang sekata terutamanya di pekan Dannok. Kebetulan kali pertama saya mencuba resipi ini, terus menjadi. Di sini saya ingin kongsikan resipinya, mana tahu boleh dijadikan juadah pada Hari Raya Aidil Adha nanti.



Saya namakan menu ini ‘Daging Lembu Bakar Mahrosu' sempena nama pejuang Pattani yang syahid kerana memperjuangkan pembebasan Pattani. Mahrosu Jantarawadee seorang penternak lembu, pernah berhijrah dan bekerja di restoran di Malaysia dan akhirnya kembali ke kampung halaman untuk mengangkat senjata. Mahrosu Jantarawadee akan selamanya diingati oleh penduduk Selatan Thai sebagai mujahid yang sanggup meninggalkan kesenangan dan berkorban demi mendaulatkan agamanya.

Bahan-bahan;

1 kg daging lembu (RM26/kg harga di Perlis)
6 ulas bawang putih
1 ulas bawang besar (saiz sederhana)
4 batang serai
2 sudu cuka epal
2 sudu besar kicap manis
Garam secukup rasa
Gula perang secukup rasa untuk bancuhan secawan teh
2 sudu teh cayenne pepper (ganti serbuk cili lain pun boleh)
1 sudu teh Ajinomoto (tak pakai pun takpa)
Minyak biji bunga matahari atau minyak bijan (untuk sapuan ketika membakar)

CARA MEMBUATNYA;

Potong daging mengikut saiz sebesar tapak tangan. Saya membakar dalam saiz yang besar tetapi saya kelar dan hiris supaya rencahnya mudah meresap. Kemudian gaulkan garam secukupnya.

Kisar lumat bawang putih, bawang besar, serai, kicap manis, pepper, Ajinomoto dan cuka epal.

Masukkan ke dalam daging dan gaul rata.

Masukkan bancuhan gula perang dan gaul. Perap selama 2-4 jam terpulang pada kesabaran.

Bakar secara tradisional. Saya mengunakan semburan minyak biji bunga matahari jenama Sunlico (boleh dibeli di Tesco atau kedai kek) bagi mengelak daging dari kering dan hilang juicy.

Sajikan bersama sos yang ada suka atau nasi. Maaf kerana tiada resipi sos nya, saya tidak minat cara hidangan tradisional Thai bersama sos cili masin kacang hancur. Saya meratah daging ini begitu sahaja. Selamat mencuba Daging Lembu Bakar Mahrosu.

resipi: Raimi