Jumaat, 31 Julai 2015

SERUAN KEPADA KEMUSNAHAN



Buat kali kedua, saya diminta untuk memberi pandangan mengenai single terbaru dari NILE "Call to Destruction" yang menjadi viral dikalangan peminat muzik lasak yang kurang suka dengan pendekatan mereka yang seolah-olah bersetuju dengan fundementalis Islam.

Ini bukanlah kali pertama NILE, firaun death metal dari USA yang taksub pada Egyptology ini mengetengahkan idea death metal dan mesej Islam yang sebelum ini telah dirakamkan melalui lagu "Kafir!" dalam album "Those Whom The Gods Detest" (2009). NILE dilihat seolah-olah berjaya membawa elemen 'shock rock' yang segar pada era ini untuk menarik perhatian pendengar. Seperti yang pernah dicakapkan oleh Toni Iommi ketika meraikan kejayaan album "Black Sabbath" (1970), pendengar suka ditakutkan dengan elemen ngeri. Kengerian adalah satu bentu hiburan pada hakikatnya. NILE sendiri mengakui sejak lagu "Kafir!" lagi mereka akan terus memanipulasi subjek yang menjadi ketakutan masyarakat dan para remaja Amerika sebagai kejutan. Bagi mereka ia formula yang sangat bertepatan dengan konsep death metal lebih lagi ia melibatkan falsafah yang dianggap ektrim di Barat.

Bagi yang menganggap NILE pro-Islam atau tidak peka dengan umat Islam, keduanya satu pandangan yang mungkin berasas jika dilihat mereka mengambil ilham dari ungkap kata;

“The inspiration for the song itself comes from news reports in 2012 — when radical clerics were calling for the destruction of Egypt’s pyramids. Most of the lyrics to “Call To Destruction” are actual direct quotes from the words of Abd al-Latif al-Mahmoud — whose eloquence and quote-ability are clearly second to none.”

Tetapi pada pandangan saya, mereka hanya berminat pada idea ektrim yang melibatkan apa sahaja subjek dari Timur Tengah. Bagaimanapun, suka saya sebut, NILE telah buat sesuatu yang hebat kerana ia menjadi satu perbahasan rentas bangsa-agama-benua. Moga dengan usaha mereka sama ada dengan sebarang niat itu, ia mencetuskan gerakan mengali hidayah dan menyelidik kebenaran.

Elok jika anda teliti sendiri video berlirik rasmi dari mereka diatas.

NILE = Wahabi. ( hihihi)

AMANAH HARTA AWAM

وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُواْ بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُواْ فَرِيقاً مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil…..” [QS. Al-Baqarah : 188]

Sabda Rasulullah SAW; “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji” (Riwayat Ahmad). 

Khalifah Umar Abdul Aziz memadamkan lampu kepunyaan kerajaan yang digunakan untuk kerja rasminya apabila puteranya masuk untuk berbincang tentang urusan keluarganya. Apabila puteranya bertanya kenapa Baginda melakukan demikian, Baginda berkata begini: “…lampu yang sedang ayahanda gunakan untuk bekerja sebentar tadi adalah kepunyaan Kerajaan, minyak yang digunakan itu dibeli dengan wang Kerajaan, sedangkan perkara yang hendak kita bincangkan ini adalah urusan keluarga…Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyaknya pun kita beli dengan wang kita sendiri” (Mohd Nakhaie Hj. Ahmad 1996:17)

Saya menjadi terpanggil untuk membicarakan mengenai isu yang diperkatakan hampir semua orang dari setiap lapisan masyarakat kini. Saya bukanlah bijak dalam perihal kewangan negara atau kedudukan ekonomi terkini. Apa yang saya tahu, Malaysia menangung beban hutang yang tinggi, harga barang juga naik mendadak, manakala tekanan hidup semakin tinggi yang membawa kepada peningkatan jenayah.

Banyak orang marah dan mengamuk sakan apabila mengetahui wang pinjaman yang dijamin kerajaan untuk pelaburan 1MDB berjumlah berberapa billion (masih tidak diketahui jumlah yang tepat) lesap tanpa penjelasan yang logik. Lebih menarik pelaburan untung rugi 1MDB itu ditanggung oleh kerajaan yang membawa maksud akan dibiayai oleh duit rakyat. Kemarahan dari rakyat dan sebilangan penguasa yang semakin hari semakin memuncak membawa kepada rombakan menteri kabinet seperti yang kita semua tahu berlaku dua hari lalu.

Saya seorang penjawat awam di Jabatan Kebajikan Masyarakat, jabatan yang tidak menyumbangkan pendapatan kepada negara, sebaliknya hanya menghabiskan ‘beras’ negara untuk meningkatkan kualiti sosial masyarakat. Saya termanggu bila melihat kebanyakan penjawat awam seperti saya begitu lantang menyuarakan hal amanah dalam hak rakyat yang diseleweng pegawai-pegawai atasan dan menteri-menteri. Padahal diri sendiri langsung tidak melihat gaji yang diterima itu dari harta awam yang dibayar untuk melaksanakan tugasan tertentu. Begitu juga dengan kemudahan-kemudahan alat bantu pejabat yang disediakan adalah dari harta awam untuk dipergunakan bagi kepentingan awam. Tetapi kebanyakan kita ‘penjawat awam’ tetap claim perjalanan untuk tugas rasmi seolah-olah ia satu perniagaan (ada untung dari kos modal), kita marah dan tengking pelanggan di kaunter padahal kita tugas kita berkhidmat pada rakyat, kita guna segala macam kertas, bazirkan air & letrik dan segala macam pecah amanah atas alasan kita kakitangan bawahan aja, menteri sapu juta-juta pun orang tak kisah?.....

Juta, billion atau semangkuk sup. Ia adalah hak awam. Dan kita pemegang amanahnya.

Rasanya baik kita hisab dahulu perbuatan kita yang ‘kecil’ itu sebelum kita menilai sesuatu khabar dari sumber luar. Dimanakah terletaknya nilai amanah kita terhadap harta awam sebelum kita menghukum orang lain kerana kita juga diberi hak tersebut?Adakah kita menjalankan amanah sebaiknya?

Saya teringatkan kata-kata seorang rakan sepejabat 5 tahun lalu, ia segar dalam ingatan saya. “Remy, bapa aku dulu tukang masak jabatan sama macam aku sekarang lah, hang paham kan? Macam hang tengok tukang masak sekarang lah, bapa aku ambil barang-barang catuan bawak balik rumah bagi kami adik beradik makan. Aku tak mau jadi macam tu. Aku tak mau!. Cukup setakat bapa aku. Aku tak mahu anak-anak makan benda macam tu”. Alhamdulilah, saya lihat rakan saya masih berpegang pada janjinya. Teringat pula pada seorang wanita bertanya hal yang sama kepada Dr. Maza, Mufti Perlis dalam satu kuliah di Masjid Alwi. Dia bertanya, jika suaminya membawa pulang makanan curi “adakah mereka berdosa menjamahnya dan adakah ia akan menjadikan anak-anak buruk tingkah lakunya?”. Jawab Dr Maza, dosa si ayah tidak sesekali akan diperturunkan kepada anak-isterinyanya kerana nafkah makan minum adalah menjadi tanggungjawab bapa/suami, manakala jika anak-anak menjadi jahat kerana makan minum haram diberikan bapa dari sumber haram, maka zalim lah Allah swt jika menghukum dosa si ayah kepada anak-anak yang tidak bersalah.

Hal yang sama pada setiap kali hari raya edul fitr, si isteri tidak perlu minta dihalalkan makan dan minumnya pada suami kerana itu adalah tanggunjawab si suami. Sebaliknya si suami yang berdosa jika mengabaikan pemberian nafkah.

Jumaat, 24 Julai 2015

EDUL FITR & RIFLE




Hari Raya Edul Fitr tahun ini terasa agak lopong buat saya kerana tiada sesiapa untuk meraikannya bersama, selesai solat sunat edul fitr saya menziarahi ibu, adik-adik dan melawat satu-satunya nenek yang sudah uzur dan perlu diperkenalkan diri setiap kali kami bertemu. Datuk dan nenek yang lain telah lama pergi ke rahmatullah. Sudah dua tahun saya memakai baju Melayu untuk menyambut hari kemenangan ini, itu pun hadiah dari ‘si dia’. Sebelum ini saya hanya memakai t-shirt, rasanya kali terakhir ayah saya beli baju Melayu baru sempena hari raya ketika darjah enam dahulu. Selepas itu saya hanya memakai baju Melayu terpakai pemberian sanak saudara kerana ayah tidak mampu beli pakaian kepada kami kecuali pakaian bundle. Walaupun ada sedikit perasaan sedih bila melihat ibu dan adik-adik dengan pakaian lama setiap tahun. Kami adik beradik tidak pernah kecil hati.

Edul fitr buat saya tamat sebaik masuk waktu solat Jumaat. Saya hanya memikirkan bilakah waktu untuk masuk berkerja semula. Saya ke rumah baru sedang dalam pembaikan di Kuala Perlis, bertukang hingga senja dan malamnya saya keluar minum di kedai Arai. Lebih teruk dari saya, gypsy laut seperti Arai langsung tidak raya, yang dia tahu hanya memancing dan goreng koteaw pada sebelah malamnya. Arai orang Kola.

Saya terkenang seseorang sempena hari raya ini, walaupun saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Saya mengenali beliau dari anak saudaranya. Saya namakan beliau H. Beliau seorang lelaki yang telah lanjut usia, semasa mudanya beliau seorang yang obsess kepada wanita-wanita jelita dan suci. Jika mengikut ungkapan hipster barangkali: Wanita Melayu Terakhir. Ditakdirkan beliau jatuh hati pada seorang wanita yang sangat rupawan, dan akhirnya membawa ke jinjang pelamin. Betapa luluh dan hancur hati beliau apabila setelah berkahwin dan mendapat tahu wanita pujaannya sudah pun dinodai orang lain. Setelah menceraikan wanita itu, H putus harapan dengan wanita. Walaupun tidak bersumpah, dia enggan berkahwin lagi dan terus menjadi pessimist. H tidak mesra dengan adik-beradiknya disebabkan mereka telah berumah tangga dan mempunyai keluarga masing-masing, membuatkan dia kekok dikelilingi anak-anak saudaranya. Manakala kedua orang tuanya telah lama meninggal dunia. Tradisi H setiap kali Edul Fitr adalah memburu di hutan. Maka, setiap kali tiba hari raya, sebaik sahaja selesai solat sunat Edul Fitr H membawa senapang patahnya dan terus ke hutan. Ada kalanya, H sampai berhari-hari tidur di hutan tanpa peduli dunia manusia. Pernah orang-orang kampung risau tentang keadaannya setelah melihat kereta H beberapa hari terdampar dipinggir hutan. Begitulah perayaan Edul Fitr setiap tahun buat H dikala masyarakat luar kalut dengan khilaf ziarah kubur pagi raya, berselawat bising semasa solat tarawikh dan kalimah berdalil sunnah untuk takbir raya. H sibuk meredah rimba dan menari picu senapang mensasarkan rusa. Mungkin kita menganggap H kurang siuman, gila memburu dan anti-sosial. Mungkin pada hakikatnya H bertahajud setiap malam di hutan belantara dan lebih dekat pada Yang Esa dari manusia sombong dan riak di luar sana. Wallahu’alam.

Sempena hari raya ini saya ingin memohon maaf zahir dan batin jika ada salah silap dalam penulisan mahupun pandangan di dalam blog ini.

~ Ahmad “Barbarossa” Ra1m1

Sabtu, 18 Julai 2015

GANGSTER KOLA

  Banyak pakai barang recycle aja untuk renovate rumah.


Tidak pernah terdetik saya akan berpindah ke Kuala Perlis suatu hari nanti. Bagaimanapun, saya tiada pilihan disebabkan harga tanah dan rumah yang mahal di Perlis (lebih mahal dari Kedah) maka saya membuat pinjaman membeli sebuah rumah teres di Kampung Wai, kawasan suburban area yang tidak pernah saya jejaki sebelum ini. Saya membeli atas cadangan Yen @ Dementor, gitaris THE RAVENS kerana harganya yang murah kerana lokasi kurang popular.

Bercakap tentang Kuala Perlis, perkara yang paling sinonim adalah gangster kola dan dadah. Itu yang membuatkan banyak orang tidak suka bergaul dan trauma dengan warga kola. Katanya Kuala Perlis dah banyak berubah? Itu saya olah sebentar lagi.

Saya masih dalam kerja-kerja ubahsuai dan pembaikan rumah ketika ini kerana baru sahaja mengambil alih rumah yang saya telah disewakan kepada Universiti Malaysia Perlis sejak 5 tahun lalu. Sepanjang sebulan saya datang membaiki rumah setiap dua hari sekali, saya boleh dikatakan jarang sekali saya bertemu penunggang motorsikal memakai topi keledar dijalanraya. Entah apa alasan, 2 kali longgongkan sampah berulat dan busuk dengan sengaja diletakkan dihadapan rumah saya? Sehinggalah saya bertanyakan hal ini kepada kontraktor sampah, dan dia membantu saya meminta tetangga agar tidak lagi meletakkan sampah dihadapan rumah saya kerana masing-masing dah ada tong sampah. Dan kes yang terkini, perumahan saya mempunyai sebuah gerbang kecil yang menghalang lalu lintas, jadi untuk keluar saya perlu hulur kenderaan lebih sedikit dari lorong saya kerana kereta Volvo 740 agak panjang hadapan. Gerbang halang pandangan. Saya ditengking oleh seorang lelaki walaupun saya senyum dan mengangkat tangan padanya. Jelasnya, dia akan menjadi salah seorang tetangga saya nanti. Saya banyak mengelengkan kepala sepanjang tempoh perkenalan di Kuala Perlis ini.

 Tanaman pertama dihadapan rumah saya. Kurma hybrid dari Siam. Sesuai untuk tanah Asia. Genap 4 tahun In Shaa Allah berbuah. Jemputlah datang petik di rumah nanti. Benih kurma ni sepokok RM180.

Baik, ketika saya meminta seorang rakan yang merupakan juruteknik di Unimap sendiri untuk buat pendawaian elektrik, beliau mengeluh panjang. Katanya, ‘aku terkejut hang beli rumah situ. Kalau aku, memang aku tak sanggup, aku fikir panjang kat keluarga dan anak-anak aku. Tak mahu aku bila anak-anak membesar dan bersekolah dengan gangster kola. Rosak anak-anak”. Tambahnya “Kalau nak diikutkan bukanlah ulu sangat kola tu, 12 kilometer ja dari Kangar. Tapi heran aku awat jadi macam tu?”. Katanya menceritakan sebuah kisah rakan sepejabatnya “pernah satu ketika, seorang staff kena kejar dan ditampar oleh orang taman hang tu sebab bawa kenderaan jabatan laju dihadapan rumahnya. Tapi buku bertemu ruas apabila orang yang ditampar kebetulan adik ipar gangster kola juga, 4 biji kereta kepung rumah dia, tapi dia tak nak keluar rumah, last sekali depa hentam kereta dia remuk”.

Kata rakan saya, dia tak boleh bayangkan hari-hari mendatang saya jadi orang Kuala Perlis. Teringat semula kisah sahabat saya, Bain (kini peniaga kambing golek dan pekasam) seorang pengusaha kantin Unimap yang beroperasi dalam taman saya suatu ketika dahulu. Ceritanya, walaupun kantin itu khas untuk pelajar, tetapi pengawal tidak berani halang orang luar datang makan disitu. Suatu malam, kira-kira 20 orang mat rempit kola datang makan dengan menu serba mewah, apabila selesai makan salah seorang mereka bangun dan dengan megah memberi tahu pada rakan saya, mereka semua tidak mahu bayar dan meminta rakan saya anggap makan malam itu sebagai zakat. Walaupun rakan saya merayu kerana perniagaannya kecil, mereka hanya ketawa dan beredar begitu sahaja. Rakan saya yang baru berniaga kerugian besar dan menutup kantin itu beberapa minggu selepas itu.

Saya teringat juga kisah popular KFC kola yang kini diambil alih oleh T-Hotel berhadapan terminal feri itu. Anda tahu bagaimana ia bankrupt? Gangster kola datang hampir setiap hari mengambil ayam family bucket, dah la tak bayar, dibawanya dengan motorsikal sekali ke kaunter jurujual. Tak ke gila? Takkanlah KFC pun perlu polis bantuan? Maka, restoran itu pun tutup sekian lama. Dan akhirnya dibuka semula tidak jauh dari lokasi asal tetapi hanya restoran kecil.

Saya dilahirnya dalam keluarga yang tidak mempunyai apa-apa harta. Malah kami sekeluarga hidup menumpang dengan membina sebuah rumah (selayaknya pondok) diatas tanah milik moyang saya di Kangar. Sayangnya moyang saya mewariskan tanah itu kepada nenek saya, tetapi nenek pula menjual tanah itu kepada orang. Walaupun tiada perundangan yang boleh menghalau kami tinggal disitu, hati sentiasa gusar memikirkan saya hanya menumpang ehsan. Alhamdulilah, baru-baru ini ibu saya memperolehi tanah pusaka dikampungnya, maka berpindahlah ibu dan adik-adik ke sana.

Ironinya, datuk dan nenek sebelah bapa saya orang Kampung Nelayan, Kuala Perlis. Keduanya telah kembali ke rahmatullah. Arwah datuk saya seorang pusher, begitu juga bapa saudara saya yang menghabiskan usianya di penjara Songkhla. Zaman dahulu, bukan seperti sekarang yang mana Penguasa Thailand dah kurang aggresif, jika ditangkap di Thailand di era lewat 80-an/awal 90-an walaupun hanya dijatuhkan hukuman beberapa tahun, anda pasti mati diseksa didalam penjara. Itulah yang terjadi pada bapa saudara saya. Semoga Allah ampunkan dosa arwah datuk, nenek dan bapa saudara saya. Disebabkan kurang mesra, saya tidak tahu dimana letaknya rumah pusaka datuk dan nenek saya sendiri. Katanya diwasiatkan kepada bapa saya, dan beliau telah jualkannya. Saya sendiri tidak tahu.

Faithcraft yang beroperasi di Kangar juga akan dihentikan operasi dan hanya akan berfungsi sebagai label maya ditalian internet sahaja.

Dikatakan puak ‘urak lawoi’ di Satun yang hidup nomad di lautan berasal dari Tanah Melayu, mungkin dari Kuala Perlis jika diukur dari tahap mentali dan kualiti hygiene mereka. Namun ada juga warga kola yang berjaya dan penyantun. Satu cerita dari kakitangan Unimap, Tuanku Raja Perlis pernah berhajat untuk membangunkan dan membuka minda penduduk kampung Wai dengan mewujudkan kampus di situ supaya mereka bergaul dengan masyarakat luar. Tuanku menitahkan majlis konvo Unimaps dilangsungkan di situ dengan menjemput masyarakat setempat untuk turut serta. Malangnya mereka datang dengan kain pelikat, ada yang tanpa baju, membuang sampah merata tempat dan tidak menjaga adab, membuatkan pentadbiran Unimap tawar hati untuk melibatkan orang awam lagi dalam majlis konvo mereka.

Satu kisah lain, rakan baik saya Azahari peniaga pakaian bundle di pasar malam bercerita dua kes yang menyebabkan dia serik untuk turun berniaga di pasar malam Kuala Perlis lagi. Satu petang  seorang lelaki bersama rakannya datang mencuba jaket, cuba punya cuba setelah sekian lama. Ada yang berkenan dihati. Rakan saya mempunyai seorang pekerja, jadi dia memantau mereka. Akhirnya lelaki tersebut memakai jaket itu dan terus berlalu tanpa membayarnya. Lalu rakan saya mengejar dan memintanya untuk membayar, tetapi dia bertegas mengatakan sudah membayar. Mereka bertengkar besar. Selang beberapa jam dia datang semula dengan beberapa orang rakan lagi ditempat rakan saya berniaga seolah-olah mahu bergaduh. Tetapi rakan saya mengalah dan berdiam sahaja. Kejadian kedua, seorang lelaki datang membeli seluar jean dan membayar dengan not RM50, disebabkan tiada baki mencukupi rakan saya membenarkan dia berbelanja dahulu dan datang membayar kemudian setelah ada wang kecil. Selang beberapa ketika, dia datang semula dan meminta wang baki. Padahal dia langsung tidak membayar lagi seluar yang dibeli. Dia berkeras mengatakan rakan saya telah mengambil wangnya tanpa mengembalikan baki. Padahal rakan saya yang memintanya datang membayar setelah ada wang kecil. Disebabkan dia berkeras dan mahu bergaduh, rakan saya membayar wang tersebut dengan berat hati. Namun pada sebelah malamnya, lelaki tersebut datang memohon maaf setelah sedar wang baki duitnya ada dalam poket. Tetapi rakan saya dah pun trauma.

Undang-undang lanun.
 
Sepekara lagi, saya dimaklumkan dari rakan Kola sendiri bahawa kebanyakan anak jati Kuala Perlis dah banyak berhijrah ke luar. Kuala Perlis kini dipenuhi Rohingya, malah mereka mempunyai pasar basah sendiri. Dan yang menjadi ralat, mereka lebih onar dari warga tempatan. Sesuatu yang menjadi persoalan kenapa mereka diperangi di kampung halaman sendiri di Burma? Namun saya tidak menghukum semuanya. Mungkin ada ingat kes tahun 2008, seorang lelaki Rohingya dipukul sampai mati kerana dituduh mengintai?

Ketika saya meronda dikawasan sekitar (rumah saya hanya beberapa kilometer dari pantai), rupanya sempadan Satun hanya beberapa kilometer sahaja dan projek tambatan banjir yang merupakan sebuah terusan besar ke laut sedang giat dibina. Mungkin kawasan ini akan dibangunkan sebagai sebuah pusat perniagaan dan marina jika muaranya diperdalamkan nanti. Pemancing juga ramai kelihatan disini.

Ikuti kisah apabila saya dah tinggal di kola dan menjadi ‘urak lawoi’ = Orang Laut.

Selasa, 14 Julai 2015

IT FOLLOWS (2014)


Inilah kali pertama saya menonton filem ‘saka’ versi Hollywood yang ditulis dan diarahkan oleh David Robert Mitchell. Tetapi versi mereka agak ringkas, saka diperturunkan melalui seks, jadi talian hayat saka terhenti dan kembali kepada si pembawa asal jika pasangan yang diperturunkan mati sebelum dia sempat mencari pasangan untuk bersetubuh. Jika mangsanya lelaki, pasangan beliau selalunya akan datang dalam bentuk wanita, begitu juga sebaliknya. Seringkali mereka akan mengikut mangsa untuk mencederakannya, namun yang menjadi advantage kepada mangsa, ia bergerak perlahan.

Mitchell bijak mengarap empat kes dan empat watak untuk memberi pemahaman kepada ‘saka’ ini. Mangsa pertama Jeff, mewarisinya melalui one night stand, kemudian dia memberi kepada Jay (watak utama, lakonan Maika Monroe) tetapi dia diperjelaskan oleh Jeff mengenai paranormal tersebut malah menunjukkan saka tersebut kepada Jay sebagai bukti untuk persediaan. Mangsa ketiga, Greg jiran paling glamor dan macho yang sanggup menerima saka kerana langsung tidak mempercayainya. Dia mati dirogol hantu. Dan watak terakhir, Paul, hero nerd yang benar-benar menyintai Jay sejak zaman kanak-kanak dan mahu menanggung beban itu. Selepas bersetubuh dengan Jay, Paul terus mencari pelacur yang tidak difikirkan oleh mangsa-mangsa sebelum ini.

Mereka hidup bahagia selepas itu. Seperkara yang menarik tentang filem ini, David Robert Mitchell merupakan peminat tegar Disasterpeace telah menjejaki untuk meminta beliau menyumbangkan runut bunyi yang sangat bombastik melalui karya elektro dan chiptune nya. Chiptune adalah sebuah genre yang memanipulasikan bunyian dari papan kekunci, komputer vintaj serta video games. 


Tambahan: Saya agak pelik kenapa setiap kali Jay ketakutan, dia lari ke tempat yang secara logiknya tidak selamat! Ada satu ketika dia lari tidur ATAS kereta di dalam hutan berhampiran sebuah tasik. Apabila melihat 3 orang atas sebuah sampan, dia terus buang baju dan berenang kea rah mereka. Babak itu tamat begitu sahaja? Tak faham?

Satu lagi, It Follows untuk tontonan dewasa, banyak sangat aksi panas dan bogel. Batal puasa nanti!

Selasa, 7 Julai 2015

JESSABELLE (2014)



Bagi yang sudah biasa dengan subgenre filem seram bertema voodoo pasti menganggap Jessabelle biasa-biasa sahaja. Ini kerana filem voodoo yang diterbitkan sekali-sekala namun tidak banyak berganjak penceritaannya sejak dari dahulu lagi. Bagi metalheads yang penah mengkaji album King Diamonds “Voodoo” (1998) pasti arif dengan kesenian haluan neraka ini. Begitu juga dengan peminat persona bernama ‘Baron Samedi’ pasti akan menyukai filem ini. Tetapi apa yang difilemkan ini sebenarnya adalah ‘hoodoo’.

Ringkasannya begini, apabila Jessie terlibat dalam satu kemalangan ngeri yang membunuh teman lelakinya, mahu tidak mahu dia terpaksa kembali ke rumah ayahnya kerana beliau perlukan pemulihan untuk kembali berjalan. Jesse hanya terperap diatas kerusi roda. Namun satu persatu misteri menyakatnya apabila Jesse terjumpa pita video rakaman ibunya kononnya diwasiatkan kepadanya. Pada mulanya anda pasti tertanya-tanya kenapa ayah Jesse agak paranoid dan bengis. Situlah twist nya yang mana kita akan menganggap bapa Jesse seorang yang jahat. 


Dipenghujung cerita terbongkarlah ibu Jesse (bukanlah ibu sebenar), malah Jesse hanyalah anak angkat yang sedang dipergunakan untuk menghidupkan semula Jessebelle (yang sebenar) melalui sumpahan hoodoo. Ibu Jesse telah berlaku curang pada ayahnya dengan meniduri seorang paderi yang juga pengamal ilmu hitam bernama Moses hingga melahirkan Jessabelle. Ayah Jesse telah bertindak membunuh Moses dan membunuh anak haram mereka.

Jika anda pernah melihat filem The Skeleton Key, anda tentu tahu kesudahan filem genre begini akan berakhir tragis. Twist dalam filem The Skeleton Key, hoodoo tidak akan mujarab jika mangsa tidak mempercayai kekuasaan ilmu hitam tersebut. Namun motif pengamal ilmu hitam ini sama sahaja. Untuk hidup kekal selama-lamanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...