Sabtu, 28 November 2015

BONE TOMAHAWK (2015)


Aktor yang memegang watak Wyatt Earp dalam Tombstone (1993), Kurt Russell kembali menyandang watak sheriff dan hero dalam filem Western ini. Berganding bersama Patrick Wilson (The Conjuring) dalam menjejaki semula isterinya yang diculik suku orang asli yang digelar “Troglodytes”, mereka asalnya suku Red Indian buangan yang hidup dalam gua, tanpa bahasa, melakukan sumbang muhrim, kannibal dan pagan

Semuanya bermula apabila seorang perompak yang menceroboh kawasan Troglodytes berjaya melarikan diri ke pekan Bright Hope. Sheriff Fraklin mengesyaki sesuatu yang tidak kena dan menangkap perompak itu, tiba larut malam puak Troglodytes telah memecah masuk balai menculik Timbalan Sheriff bersama isteri Patrick Wilson yang sedang merawat kaki perompak tersebut. Dari anak panah yang ditinggalkan dan maklumat yang diperolehi dari “The Professor” Red Indian, mereka dapat menjangka lokasi suku Troglodytes itu. 

Maka bermulalah operasi menyelamat yang diketuai Sheriff Franklin Hunt dan rakan-rakan, turut membantu John Brooder seorang yang pakar dalam persenjataan dan pembenci Red Indian. Bagi saya ini diantara filem Western yang mempunyai plot penceritaan terbaik dan unik. Tiada yang sepertinya sebelum ini. Malah ia disenaraikan dalam genre ‘seram’. Kenapa? Lihat sendiri bagaimana penyeksaan yang akan diterima mereka setelah berjaya ditangkap suku ini. Hebat, mendebarkan dan pasti mengugurkan jantung anda! Jika anda minat filem koboi dan juga filem seperti Apocalypto, Cannibal Holocaust, The Hills Have Eyes, boleh cuba Bone Tomahawk.

9/10

Isnin, 23 November 2015

PERKAMPUNGAN SUNNAH



Antara jenama kebanggaan rakyat Perlis yang diperkenalkan oleh Mufti Negeri adalah Perkampungan Sunnah, ia bagai sebuah konvensyen yang memuatkan slot-slot pengajian kitab dan ilmu dari awal subuh hingga ke malam. Tanpa membuang elemen santai dan riadah, ia turut memberi ruang kepada aktiviti sukan seperti memanah, berbasikal bersama DYTM Raja Perlis dan Dr. MAZA, pameran, gerai jualan kitab, buku agama dan produk-produk tempatan, Forum Perdana dan juga perkenalan kepada street dakwah melalui kerjasama MRM (Multiracial Reverted Muslims). Ada pihak yang memperlekehkan usaha dakwah dan islah melalui idea ini, termasuk berhujah dengan mengatakan ahlus sunnah sendiri menganjurkan perkara bid'ah melalui 'perkampungan sunnah', kerana bagi mereka tiada 'perkampungan sunnah' di zaman baginda, Rasulullah SAW. 

Saya tertarik dengan penjelasan mudah dari Mohd Hairi Nonchi, 15.11.2015, mengenai bid'ah:

Benarkah bidaah ada dua, bidaah yang baik dan bidaah sesat?

Pertama harus difahami terlebih dahulu maksud bidaah secara bahasa (lughah) dan secara istilah (syarak).

Bidaah secara bahasa ialah segala sesuatu yang baharu yang belum ada contoh sebelumnya. Bidaah dalam konteks ini tidak semuanya haram dan sesat. Sebahagiannya ada yang baik dan diterima oleh syarak.

Manakala bidaah secara istilah ialah segala tatacara ibadah baharu yang tidak diajar dan dianjurkan oleh al-Quran mahupun as-Sunnah Nabi yang sahih. Maka bidaah dari sudut ini tidak ada yang baik. Semuanya adalah buruk, sesat dan dicela syarak.

Ini kerana, semua tatacara ibadah sudah pun diajarkan secara lengkap dan terperinci oleh Rasulullah sebelum wafatnya. Maka tidak mungkin selepas kewafatan baginda, masih ada wahyu yang mensyariatkan suatu tatacara ibadah baharu dan menjanjikan pahala kepada mereka yang mengamalkannya.

Apakah contoh bidaah yang baik?

Contoh bidaah yang baik ialah penggunaan mikrofon (alat pembesar suara) untuk melaungkan azan.

Ia adalah alat yang tidak pernah wujud (bidaah) pada zaman Nabi. Namun oleh kerana ia memberi manfaat kepada manusia dalam melaksanakan ibadah kepada Allah, maka ia adalah suatu yang baik.

Apa yang baharu di sini hanyalah pada alatnya yakni mikrofon, namun tatacara azan (ibadah) tidaklah berubah. Ia tetap sebagaimana asalnya yang diamalkan pada zaman Nabi dan para sahabat.

Contoh lain ialah penggunaan pengangkutan moden ke masjid untuk menunaikan ibadah solat dan ayat al-Quran dalam bentuk digital. Apa yang baharu hanyalah pada alat, bukan tatacara ibadah solat dan lafaz ayat-ayat al-Quran.

Sabtu, 14 November 2015

NATHIAS ZINE # 9 (OKTOBER 2015)


Nathias Zine bermula pada 1993, 4 tahun lebih awal dari Kemenyan Zine yang saya sunting, seingat saya editornya saudara Suffian (dikenali sebagai sering menampilkan kulit hadapan dengan gambar-gambar hantu yang terus dikekalkan hingga ke isu # 9 ini. Saya ingat-ingat lupa, rasanya saya pernah membeli satu isu dan ‘trade’ zine bersama beliau lama dahulu. Nathias jika mahu diikutkan telah berkubur sahaja menerbitkan isu # 8 pada 2001 kerana berpindah beliau ke Kelantan dan sibuk dengan kerjaya. Bagaimanapun beliau masih meneruskan hobinya itu menerusi webzine bergelar Aesthethic Extremity kemudian blog Ekstrim yang masih aktif hingga kini.

Suffian menyatakan semangatnya membakar semula apabila melihat saya menerbitkan semula Kemenyan, sekaligus beliau bertindak mengumpul semua material yang sepatutnya diterbitkan pada 2002 itu dan tanpa ragu-ragu mengumumkan Nathias kembali semula! Ia menampilkan temubual-temubual klassik bersama KULT OF AZAZEL, INTERNAL SUFFERING, KSK, MORTUARY ANCESTOR, HOLY DRAGONS, UGRA KARMA, PERPETUAL, DEMISOR, ANGELKILL dan banyak lagi. Anda juga akan temui bedozen-dozen ulasan terperinci album-album pada awal millennia. Semua ditulis dalam bahasa Inggeris, dan mempunyai reka letak yang selesa pada mata. 

Sokongan ke atas Nathias begitu mengalakkan dan diharapkan beliau dapat meneruskan media bawah tanah ini dalam bentuk cetakan. Perlu dimiliki oleh semua peminat muzik lasak!

Email: nathiasmag@gmail.com
Facebook Nathias Zine

Isnin, 2 November 2015

REPULSIVE REGURGITATION ZINE # 2 (OGOS 2015)


Zine kegemaran saya ini terbit lagi, tidak sangka pula Epul ini begitu komited terhadap penulisan beliau dan semangat dalam mengekalkan kualiti persembahannya. Masih dalam format yang sama dan isi yang padat, Repulsive Regurgitation muncul lagi dengan temubual bersama Josh Landes(Limbs Bin), Dylan Walker(Full Of Hell), Hagamoto Tamocho(Patisserie), Felch "Mike" Beast(Filth), Blake Harrison(Hatebeak), Dom(Pan Del Muerte Records), Jacob Lopez(Drowned), Makoto(Organs Tortured), Pauly(Christ Crusher), Ryan(Meth Leppard), Harvs(Jackson Firebird), Dopi(Bodybag), Semih(Sakatat), Tomoaki(Catasexual Urge Motivation), Susumu(Maggut), Jocke(Entrails), NX5(Active Stenosis) dan menariknya ada juga mukasurat-mukasurat yang disunting dari Phoenix Militia Zine #7 (1987) atas kebenaran Bill Steer sendiri. Bagi mereka yang rindukan zine dengan feel 80-an & 90-an (font mesin taip, suntingan gunting dan tampal) anda harus dapatkan zine ini. Terbaik dan terus dari ladang grindcore!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...