Selasa, 23 Februari 2016

TAQWA ITU...


Setengah orang percaya dengan kenyataan: akhirnya kebenaran akan kelihatan jua. Sebenarnya ada insan yang hanya derita dan hampa hingga akhir hayat atas landasan kebenaran, tidak sempat pun melihat kemenangan kerana dibakar hidup-hidup, terbunuh di medan perang, dipenjara hingga mati, miskin melarat hingga tamat usia, sendirian dan kesorangan hingga ajal menjemput... itulah taqwa. Itu satu dari makna hakiki iman yang tidak boleh aku dan kamu definasikan..

~Ahmad Ra1m1

Isnin, 22 Februari 2016

THE HATEFUL EIGHT (2015)



Filem pengarah IQ genius yang diterbitkan pada Disember tahun lalu. Quentin Tarantino menulis cerita ini sebagai sambungan Django Unchained, namun setelah skrip novel ini tersebar, beliau memutuskan untuk mengarap semula dan menjadikan ia filem asing yang diarahkan beliau sendiri iaitu The Hateful Eight dan tiada pengaruh dari Enam Jahaman ya.. (jangan ketawa, sebab memang ada rakan-rakan yang selalu kaitkan semua benda dalam filem Quentin dengan P.Ramlee... mentang-mentang Quentin gilakan filem keluaran Shaw Brothers) Bagi saya semestinya citarasa beliau dalam filem koboi ini dipengaruhi oleh Spagetti Western (filem koboi Itali).

Jalan ceritanya mudah sahaja, ada plot-plot berasingan macam Kill Bill juga, dan ada suara narrator yang lucu pada akhir babak. Karakter utama semestinyalah John Ruth (Kurt Russell – semakin banyak pula cerita koboi dilakonkan beliau kini, dan best pulak tuh!) dan Major Marquis Warren (Samuel Jackson) yang merupakan pemburu upahan yang masing-masing bertemu dalam ribut salji dan masing-masing membawa penjenayah ke pekan Red Rock bagi mengambil wang ganjaran. Bezanya Major Marquis membawa 3 mayat penjenayah, manakala John Roth pula membawa seorang wanita gang koboi, Daisy Domergue (bagi yang taktau, cowboy tu gelaran kepada geng penjenayah ) untuk digantung di Red Rock. Kedua-dua pemburu upahan ini menjadi rapat kerana Marquis dikatakan sahabat pena Presiden Amerika. Marquis memalsukan sepucuk surat kononnya kiriman Abraham Lincoln bagi mendapat pengaruh dan reputasi dikalangan orang putih.

Dalam perjalanan mereka bertemu pula Mannix, seorang pesara tentera yang ditawarkan untuk menjadi sheriff baru di Red Rock (ini kebetulan yang memang macam mengarut dah ni). Kemudian mereka berhenti disebuah gubuk motel, Minnie Haberdashery bagi mencari perlindungan dari ribut salji yang semakin menganas dan kehadiran mereka telah dinanti orang 6 orang lelaki misteri yang mempunyai masing-masing latarbelakang unik. Disitulah pertempuran terakhir berlaku apabila semua lelaki-lelaki terbabit adalah pengikut Daisy yang merancang untuk membebaskannya.

Biasa sahaja kan? Namun filem ini agak menghiburkan, dengan skrip yang bagus dilontarkan terutamanya dari Samuel Jackson dan watak yang menarik dilakonkan oleh Micheal Madsen sebagai John Gage. Madsen sentiasa muncul dalam filem Quentin sebagai watak pelakon pembantu yang unik, suatu hari nanti mungkin beliau boleh diangkat sebagai watak utama seperti yang telah berlaku pada Danny Trejo. Tidak lupa juga, The Hateful Eight pasti tampil dengan runut bunyi yang sedap-sedap belaka!

3.5/5

Jumaat, 12 Februari 2016

SATU SISI BELUM SEMPURNA ZINE



Sebuah zine yang memfokuskan genre karya seni tangan dan gunting dan lekat sepenuhnya. Rabak dan abstrak habis. Jika dalam Bujang Kartun, kartunis Aku Napie lebih kepada tema nostalgia dan nilai positif dalam persahabatan. Dalam zine, Satu Sisi Belum Sempurna ini boleh dikatakan tema beliau lebih rebel dan sosialis. Gabungan Aku Napie, Sarajevo dan Faza H telah menconteng zine ini dengan buah akal dan falsafah mereka untuk dikongsikan. Dapatkan zine ini yang dicetak dalam saiz kulit cakera padat melalui Aku Napie dengan harga RM5.

FACEBOOK AKU NAPIE

Isnin, 1 Februari 2016

BUJANG KARTUN # 4 (AKU SEMPOI STUDIO)



Saya kenal dengan Aku Napie ini dari kulit ilustrasi Psychotic Art zine, yang membawa kepada jemputan untuk menyumbang kepada Pedal To The Metal zine, saya terkejut apabila mendapati Aku Napie adalah anak kelahiran (Padang Besar) Perlis. Maka ia lebih bermakna buatsaya apabila dia mahu menyumbangkan karyanya tanpa banyak syarat.

Beberapa hari berkenalan di facebook kami bertemu di Kangar dan saya dihadiahkan dengan komik indie beliau ini. Jujur saya katakan saya memang jauh ketinggalan dalam dunia komik, inilah kali pertama saya mendengar Bujang Kartun. Dah edisi ke-4 pun! Apa yang saya dapat ulas, Aku Napie berjaya membawa konsep ‘nostalgia alam sekolah’ yang dilaluinya sendiri dengan mengunakan watak Bujang mewakili dirinya. Konsep ini ‘sekolah lama’ memang menjadi pilihan kartunis-kartunis tempatan, jadi saya berpendapat Aku Napie mungkin dipengaruhi oleh mentor-mentornya yang lebih dahulu membawa konsep ini. Strokes kartun Aku Napie kemas dan comel, mengingatkan kepada beberapa kartunis senior termasuklah Ujang sendiri. Namun Aku Napie juga mempunyai karaktornya sendiri yang boleh diperincikan lagi untuk menguatkan identitinya.

Sebagai tambahan komik ini turut menyiarkan lukisan dari peminat, tips melukis, komentar dari Rudi Mahmood, serta kajian dari pelajar Uitm (Cartoon and Caricature Studies) mengenai Bujang Kartun. Bagi peminat kisah lucu di alam persekolahan dan kisah unik kehidupan budak kampung dikawasan paling panas dan paling utara di Semenanjung Malaysia, beli komik ini! Hubungi Aku Napie untuk mendapatkan naskah komik yang menghiburkan ini.

PENTAGRAM DI ATAS PUSARA (MARHAEN LITERA)




Himpunan cerpen dari Adi Herman (rakan blogger dari Bintulu) ini diterbitkan label indie dari Guar Cempedak secara rasmi pada 31 Oktober 2015. Saya difahamkan Pitri al Fateh Zainon, pemilik Marhaen Litera sedang dalam proses untuk mencetaknya buat kali kedua setelah edisi 100 keping yang pertama laris bagai pisang goreng berkeju. Pentagram Di atas Pusara didatangkan dengan pakej menarik, dengan hiasan kulit ala satanic bible, serta tajuk yang mengumpan pembaca terutamanya yang meminati muzik metal dan pencinta occultism. 

Adi Herman dalam karya sulung beliau ini membawa kita hanyut dalam siri fiksyen seram berbaur komedi gelap yang sangat santai dan mesra pembaca nusantara. Dua karektor si Murad dan si Nasrul sering dimanipulasi beliau dalam berbagai-bagai kisah dan situasi yang mencemaskan. Apa yang saya suka, Adi Herman walaupun menulis cerpen-cerpen fiksyen, beliau masih mengekalkan kerangka akidah Islam. Contohnya, tidak akan masuk neraka selagi dunia tidak kiamat, syaitan tidak akan mahu menjadi hamba manusia sebaliknya akan memperhambakan manusia, dan banyak lagi yang digarap tanpa melulu. 

Saya melihat Adi Herman juga ke arah “wahabi” seperti saya. Hahahaha! Saya pula bergurau. Jangan marah ya! Buku ini telah habis dipasarkan, dan bakal dicetak semula dalam masa terdekat. Hubungi Marhaen Litera atau penulisnya sendiri untuk maklumat terkini.