Rabu, 23 November 2016

THE WARRIORS GATE (2016)


Saya bawa anak angkat saya menonton filem ini sempena cuti sekolah yang lalu. Dia sendiri yang memilihnya. Selesai menonton filem ini saya lihat wajahnya girang, puas hati dengan pilihannya. Lebih lagi watak budak hero dalam filem ini rapat dengan jiwanya. Seorang yang sering dibuli di sekolah, anak kepada ibu tunggal yang ada masalah kewangan, gemar video games dan semestinya sering impikan keadaan akan berubah menjadi baik suatu hari nanti. Filem ini bukan sahaja hiburan, tapi fantasi yang diangankan oleh kanak-kanak sepertinya.

Filem kanak-kanak persis Disney yang diterbitkan sempena cuti sekolah ini adalah terbitan EuropaCorp, dengan jalan cerita dan skrip oleh Luc Besson (pengarah tersohor genre sci-fi) adalah menghiburkan dengan dialog-dialog yang lucu dan selamber. Mengisahkan seorang remaja, Jack (Uriah Shelton) yang merupakan penggila games pertarungan dan juga pekerja sambilan sebuah kedai antik. Suatu malam, melalui bakul purba pemberian taukey nya, seorang lelaki dengan pakaian panglima (Mark Chao) tiba-tiba muncul bersama seorang gadis ala diva (Ni Ni) meminta pertolongan. Panglima itu mendakwa gadis itu adalah puteri China yang sedang dilindunginya dari pemberontak yang diketuai oleh Arun the Cruel ( Bautista). Maka jadilah kisah romantis, Jack menjaga si puteri tanpa pengetahuan ibunya namun pihak pemberontak berjaya menculiknya di dibawa kembali ke dinasti purba untuk menjadi maharani Arun. Jack mempertaruhkan dirinya dengan turut terjun ke dalam bakul ajaib bagi bergabung dengan satu-satunya pahlawan maharaja dan seorang dukun (Francis Ng) untuk menyelamatkan Puteri Su Lin. Pengembaraan pun bermula. Jack berjaya menyelamatkan Su Lin bahkan dapat membunuh Arun dengan tangannya sendiri setelah belajar beberapa langkah kung fu semalaman. (ini memang tak logik tapi yalah fantasi kanak-kanak kan? Layan ja laa).

Dengan bantuan dukun, Jack berjaya kembali ke tahun 2016, walaupun sedih kerana terpaksa meninggalkan puteri yang jelita, Jack akhirnya mengabadikan pengembaraannya dengan memprogramkan sebuah video game berjudul Warrior’s Gate dan berjaya menjualnya kepada sebuah syarikat besar disaat-saat rumah mereka hampir dilelong. Ibu Jack sangat gembira, tapi Jack lagilah gembira bila suatu hari tuan Puteri Su Lin datang dari jauh semata-mata mahu makan ais krim bersamanya. 

And they live happily ever after…

Boleh bagi anak-anak tonton. Lucu dan GCI kira pun OK lah… Jalan cerita ringkas dan tipikal.

Ahad, 20 November 2016

SEMAK STATUS HADIS


Pagi tadi secara tidak semena-mena satu page berbayar masuk mencelah dalam newsfeed saya. Memandangkan profile picture yang ada perkataan 'sunnah' saya terus layari untuk singgah. Mungkin anda perasan akhir-akhir ini penyebaran hadis palsu di media sosial makin merebak seterusnya merancakkan pengamalan ibadah reka-rekaan, bahkan hingga menganggu teras akidah kerana percaya pada kisah dusta dan panglipur lara. Maka wujudlah satu golongan yang sangat risau pada situasi ini dan berkempen agar setiap status hadis yang di forward kan kepada kita. Disemak, dan dipastikan kesahihannya sebelum disebarkan. Tiada apalah kepentingan dalam kempen ini selain mahu ketulenan agama itu terjaga.

Adakah anda nampak ini sebagai sesuatu yang mengarut? bodoh atau membuang masa?

Ok, page yang saya lawat ini hadir dengan kempen "Semak Diri Sebelum Semak Status Hadis" demi untuk menangkis kempen Semak Status Hadis. Mereka siap buat flyer yang mirip di atas dengan kenyataan Semak Diri itu. Bukanlah pendapat saya bahawa semak diri sendiri itu sesuatu yang tidak perlu. Bahkan kita dituntut untuk sering muhasabah diri.

"Dari Syadad bin Aus r.a, dari Rasulullah SAW, bahwa beliau berkata, "Orang yang pandai adalah yang menghisab dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah SWT". (HR. Imam Turmudzi).

Sekarang saya mahu bertanya, Bagaimana anda boleh berfikir buruk kepada orang yang mahu menjaga agama dan tidak mahu pendustaan kepada nabi berleluasa? Kenapa sampai anda terfikir hadis sohih hanya perlu untuk orang yang alim, tulus dan suci? Kenapa disekat dan adakah ilmu agama yang tulen ini tidak berhak buat mereka-mereka yang kamu fikir tidak membuat semakan diri? Adakah sampai begitu eksklusif agama Islam ini, sampai kemudahan untuk menyemak status hadis begitu mudah zaman ini tetapi dihalang hanya kerana tidak tahu status diri baik atau jahat?

Kamu dan kumpulan kamu hadir dengan kempen untuk mengajak orang kepada kamu... diri kamu. Bukan kepada Tuhan.

Rabu, 16 November 2016

MANSAU ANSAU (KARYARAYA PUBLISHING)


Saya fikir Henry Rollin benar-benar mempengaruhi dan memberi impak kepada dunia penulisan buku-buku punk. Kini kita boleh lihat dan dapat begitu banyak buku-buku dari bermacam-macam haluan dibawah naungan luas doktrin punk. Jujur saya nyatakan, saya belum pernah mendengar lagu-lagu kumpulan Con-Damn the Corruptor yang merupakan kumpulan penulis buku ini iaitu saudara Benny Pangazou. Tetapi saya percaya, CTC mempunyai pengaruhnya yang tersendiri sehingga mereka berjaya membuat gig jelajah Malaysia yang bermula di Kota Kinabalu, ke Penang, Ipoh, KL dan berakhir di Johor Bahru.

Setelah membaca buku ini, saya memberi tabik kepada Benny kerana mengarapnya dengan agak terperinci, menarik serta santai. Gaya bahasa yang digunakan pula mengikut dialet orang Sabah membuatkan seolah-olah dia sedang bercerita secara bersemuka dengan anda. Kadang-kadang saya tersenyum bila membacanya, terkenang pula rakan-rakan di Sabah sana. Penulisan seseorang itu lebih-lebih lagi mengenai pengembaraan dan pengalaman mengambarkan pemikiran dan latarbelakang seseorang itu. Kita mampu kenal seseorang itu melalui tulisannya mengenai dunia dihadapannya. 

Saya rasa, jika Benny seorang pemuzik muda dari Semenanjung Malaysia yang menulis tentang keadaan yang ‘normal’ buat dirinya sini sudah tentu komentar-komentar dalam buku ini mengenai suasana sesuatu tempat itu akan hambar dan membosankan.


Dapatkan buku ini melalui Nizang dengan harga RM20. Anda boleh juga beli dari saya. Kuantiti terhad! (Whatsapp: 0192281979)

Selasa, 15 November 2016

LUPA

* foto dari Google maps 3 tahun lalu. Ini cerita rumah kayu buruk sebelah studio itu.


عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ قَال: «إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي: الخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ» حَدِيْثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ ابْنُ مَاجَهْ وَالبَيْهَقِيُّ وَغَيْرُهُمَا.

Daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku ketika dia tidak sengaja, lupa, dan dipaksa.” (Hadis hasan, Hadis riwayat Ibnu Majah no. 2045, Al-Baihaqi VII/356, dan selainnya).

Dalam hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, ketika turun firman Allah Ta’ala:

لاَ يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah.” (QS. Al-Baqarah: 286). Lalu Allah menjawab, "Aku telah mengabulkannya.” (Hadis riwayat Muslim, no. 125).

Lupa sering dianggap satu sifat lemah. Lupa juga adalah antara nikmat yang Ilahi kurniakan. Andai sesaat pun kalian tidak dapat melupakan sesuatu musibah bilamana hilangnya maruah, harta, darjat atau nyawa insan tersayang.. hiduplah kalian dalam kegundahan dan berat hati sepanjang hayat. Namun syukurlah sampai ketika Tuhan akan mencabutnya jua pergi menjadi kenangan silam.

Semuanya pasti berlalu.. bahkan kenangan pun akan lenyap nanti.


Ahad, 13 November 2016

DEATHGASM (2015)

Poster yang reject lagi ganas. Lucah.

Produk dari New Zealand ini boleh dikatakan filem komedi remaja yang sempoi walaupun idea dan jalan ceritanya hanya kitar semula. Namun penulis selaku pengarahnya telah memperincikan banyak aspek menjadikan ia mengatasi filem ‘heavy metal’ yang pernah dihasilkan sebelum ini.

OK, cuba ambil Pick of Destiny (2006) untuk dialog jenakanya, ambil Lord of Salem (2012) untuk jalan ceritanya, dan gabungkan Brain Dead (1992) untuk aksi ganas/ngeri dan make-up nya. Walla! Anda dapat Deathgasm!

Mengisahkan seorang remaja anak yatim bernama Brodie yang diberi hak penjagaan kepada bapa saudaranya setelah ibunya dimasukkan ke institut pemulihan mental. Brodie yang meminati muzik black/death metal mengalami kesukaran apabila sering dibuli oleh sepupunya yang tampan dan sering di dakwah untuk kembali kepada ajaran Kristian oleh pak ciknya.

Hidup Brodie berubah apabila mengenali seorang remaja samseng yang juga pengemar muzik black metal disebuah kedai LP. Mereka sama-sama memilih LP Autopsy ketika itu. Setelah sumpah setia ‘Brotherhood of Steel’, mereka pun menubuhkan band death metal bernama Deathgasm atas cadangan Zakk. Dalam masa yang sama Brodie menyimpan perasaan pada seorang gadis di bernama Medina yang merupakan rakan sekelas di sekolahnya.

Medina dan kapak nya

Kisah menjadi menari apabila pada suatu hari Zakk mengajak Brodie memecah masuk rumah seorang pemuzik metal old school bernama Daggers. Dari situlah mereka mendapat komposisi lagu disebuah kertas using yang dipanggil “The Black Hymn”. Tanpa pengetahuan mereka yang lagu tersebut digunakan untuk menyeru setan. Deathgasm pun mula memainkan lagu tersebut dalam sesi latihan mereka. Mereka juga tidak tahu dalam masa yang sama ada sebuah organisasi ajaran gelap turut giat mencari kertas using itu.

Dalam kelas Bahasa Latin purba, Brodie Berjaya menterjemahkan lirik The Black Hymn yang dikatakan mampu memberi kuasa dan benda yang dihajati. Setelah dibuli dan dipukul oleh sepupunya serta dilarang untuk berkawan dengan Medina, Brodie mengambil keputusan untuk memainkan The Black Hymn hingga akhirnya satu pecan Greypoint kerasukan (tapi tak semua? Tak tahu pulak kenapa ada yang tak kena sampuk?) Bermula pada malam itu orang ramai mula berbunuhan sesama sendiri. Brodie dan Zakk mula mencari jalan penyelesaian dengan bertanya kepada seorang tukang tilik bernama Abigail yang turut terbunuh selepas itu. Menurut Abigail, untuk menghentikan huru-hara dan kedatangan raja setan, Aeloth adalah dengan cara memainkan semula riff-riff The Black Hymn dengan cara mengundur sebelum pukul 3 pagi.

Namun Brodie gagal menyebabkan Aeloth merasuk dalam badan Zakk manakala ahli kumpulan Deathgasm yang lain terbunuh kecuali Medina. Akhirnya dalam keadaan sedar dan terasuk, Zakk meminta agar Brodie mengelar lehernya agar dia tidak dikuasai Aeloth.

Beberapa bulan selepas itu, Brodie dan Medina telah menjadi pasangan kekasih. Babak terakhir menyaksikan Zakk berinteraksi dengan Brodie dari alam barzakh melalui piring hitam. Zakk memberitahu alam roh sangat menyeronokkan kerana dapat bertemu Ronnie James Dio, Kurt Kobain, Jon Bonham dan paling seronok dapat jumpa the true..true MAYHEM. Haha!

Filem ini dihiasi dengan seleksi runut bunyi oleh BULLETBELT, SKULL FIST, PATHOLOGY, NUSLAUGTHER, MIDNIGHT, GOATESQUE, EMPEROR dan banyak lagi. Dan katanya ia diilhamkan dari kisah hidup sebenar pengarahnya Jason Lei Howden yang merupakan remaja bermasalah dan peminat black metal ketika remaja.

Saya tonton melalui youtube aja…

4/5 bintang. (sebab berani guna corpse paint, sebut banyak nama band black metal dan guna lagu mereka. Hahaha!)

Rabu, 9 November 2016

ALLAH MELARANG MEMBODOHKAN AKAL (KEMILAU PUBLIKA)



Buku ini menghimpunkan soal jawab bersama Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Pensyarah Kanan UPSI merangkap ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis. Isu-isu yang dibawakan memang menarik walaupun bagi mereka-mereka yang telah bergelumang dalam ‘scene’ salafi Malaysia sudah tentu amat terbiasa dengan persoalan-persoalan yang boleh dikatakan telah dijawab oleh tokoh-tokoh salafi sejak berdekad-dekad tanpa jemu-jemu demi kefahaman umat. Kali ini kit abaca penghujahan Dr. RORA pula. Buku ini bagus bagi mereka yang ada elergik kepada kitab karangan misalnya Dr. MAZA, Dr. Abdul Basit (Abu Anas Madani) atau Maulana Asri Yusuf. 

Cuba Dr. Rozaimi!

Kaedah penerangan beliau memudahkan pemahaman orang awam dengan gaya bahasa tersendiri jika sebelum ini banyak tokoh lebih gemar menterjemah secara langsung fatwa-fatwa imam-imam besar terdahulu. Tetapi Dr. RORA banyak mengolah dengan caranya namun tetap menukilkan nas & dalil serta nama kitab untuk rujukan. Pada bahagian isu hadis, Dr. RORA lebih memperincikan huraiannya mungkin disebabkan kecintaan dan kepakaran beliau pada ilmu tersebut.

Buku ini antara 10 bestseller di kedai buku Popular. Saya sendiri mengalami kesukaran mencarinya setelah dipesan oleh seorang rakan dari Kuantan. Ia wajar dimiliki kerana saiznya yang comel dan mudah untuk dibawa sebagai sumber rujukan pantas sebelum dicari kitab induk yang dinyatakan jika ada sebarang isu yang tidak jelas atau berpanjangan.

"Sesungguhnya ubat kepada kebodohan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit)" (Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad).