Sabtu, 27 Januari 2018

THAT WAHABI TREE


Ketika Marco Ferrarese, penulis travelog dari Itali datang ziarah ke Perlis dan kami sama-sama kayuh basikal dari Kampung Wai menyusuri denai Bukit Batu Putih. Kami meninjau Projek Tebatan Banjir Lencongan Barat (RTB) yang tertunda hingga kini. Kami berhenti melihat panorama unik di muara Lencongan Barat ini.

Gambar sepohon pokok bakau tua yang disisih dari kelompoknya di pantai lumpur ketika kami menikmati pemandangan senjakala telah menarik minat kawan-kawan di media sosial. Seorang kawan dari New Zealand mendakwa pohon itu mirip satu pohon yang dikenali sebagai That Wakana Tree yang tersohor ditempatnya.

Secara langsung saya terus meletakkan hashtag #ThatWahabiTree dan menandakan lokasi itu dengan That Wahabi Tree sebagai usikan (troll) kepada situasi Negeri Perlis yang sering ditomah sebagai pendokong fahaman wahabi oleh kebanyakan orang Malaysia. Ramai orang menganggap negeri ini seolah-olah hub aliran sesat yang memecah-belah masyarakat. Bagi saya, pohon itu simbolik dan mewakili keadaan itu. Ia berdiri sendirian disitu, jauh dari kumpulan pohon bakau yang lain. pohon itu menerima asakan ombak dari selat Melaka ketika air pasang, dan menerima muntahan limpahan air empangan Timah Tasoh apabila musim tengkujuh. Ia terasing dan diuji hebat dihabitatnya sendiri.

Bagi yang peka, mereka akan terkesan dengan pesan Rasulullah s.a.w ini: “Islam itu bermula dalam keadaan asing dan akan kembali asing sebagaimana permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu (ghuraba)” – Riwayat Muslim, Kitabul Iman 1/350, No. 208.






Pemandangan di sini ketika matahari naik dan tengelam amat memukau. Lokasinya hanya 500 meter dari Pos Unit Pencegah Penyeludupan,Bukit Batu Putih Buaya yang merupakan sempadan Kuala Perlis (Malaysia) dan Satun (Thailand). Bagi mereka yang masih tidak tahu, wilayah Satun sebelum kedatangan British adalah dibawah pemerintahan negeri Kedah. Begitu juga pulau-pulau di sekitarnya. Dari That Wahabi Tree ini juga anda boleh melihat Pulau Langkawi dengan jelas, begitu juga Pulau Brasmana, Pulau Karap, Pulau Khamin, Pulau Yao (Pulau Panjang) yang dikini menjadi milik Thailand. Namun penduduk-penduduk di pulau-pulau berkenaan tetap memilih turun ke Kuala Perlis untuk membeli keperluan harian walaupun mereka boleh sahaja ke jeti Tamalang, di Satun. Ini kerana kebanyakan keluarga dan rakan-rakan mereka masih ada di Kuala Perlis. Mereka juga mengamalkan budaya dan berbahasa Melayu.

Dari lokasi ini anda akan melihat banyak nelayan-nelayan meredah lumpur mencari siput mentarang dan memasang tangkul ketam. Begitu juga kaki-kaki joran yang memenuhi disepanjang terusan dan pantai.

Sebuah usaha untuk membuka pintu pagar ketiga antara sempadan Malaysia-Thailand di lokasi ini kemungkinan berhasil apabila gabenor Satun menunjukan minat pada potensi pembangunan ekonomi hasil dari pembukaan pintu sempadan tersebut. Idea ini telah diutarakan pihak Malaysia sejak sekian lama namun ditolak mentah-mentah oleh Thailand sebelum ini.

Lokasi:

Sabtu, 20 Januari 2018

MENJEJAK AIR TERJUN HUTAN LIPUR KANCHING





Setelah memantau Rawang Bypass tempoh hari. Timbul pula keinginan mahu mandi air terjun Kanching yang terletak berdekatan jambatan ini. Maka saya bersama Joe ( beliau pengemar aktiviti outdoor dan aktif dengan kerja-kerja dakwah bersama Multi Reverted Muslim (MRM) pula datang ke untuk menikmati kesegaran hutan lipur ini.

Kebetulan kereta Joe rosak malam tadi, dia baru sahaja sampai rumah jam 5.30 pagi dan terus keluar semula kerana tidak mahu mungkiri janji. Kesian pula lihat dia yang keletihan dan tak cukup tidur.

Hutan Lipur Kanching terletak di Hutan Simpan Kanching yang mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Pamah dan Bukit. Hutan lipur ini juga terletak lebih kurang 2 km dari Templer Park. Keunikan kawasan ini ialah ianya mempunyai 7 strata air terjun yang cantik. Pada setiap strata air terjun terdapat kolam yang cantik dan sangat sesuai untuk mandi-manda. Pengunjung-pengunjung boleh juga berkhemah dan menyusur denai hutan sambil menikmati suasana yang hijau di sekeliling air terjun. Kemudahan awam yang disediakan adalah seperti tempat letak kereta, tandas awam dan tempat mandi. Di samping itu tempat ini sesuai untuk aktiviti berkelah atau aktiviti berkumpulan. Boleh buat BBQ dan masak, cuma tolonglah kutip semula sampah. Jangan buat pencemaran. Sayangilah alam sekitar.

Bagi mengelak risiko, sila pakai kasut yang sesuai jika anda mahu hiking ke air terjun paling tinggi. Bagi yang takut pacat boleh sapu krim anti-pacat yang boleh dibeli di farmasi atau sapu aja minyak tomoi atau minyak kayu merah tu. Dan paling penting jaga beg, barang makanan, telefon yang anda bawa dengan rapi kerana beruk dan monyet yang ada disini sudah terlalu nakal dan buas. Mereka sudah biasa diberi makan oleh manusia dan tidak mahu mencari makan sendiri lagi. Mereka akan serang dan merampas apa sahaja yang dibawa pelawat jika tidak berhati-hati.




















Ahad, 14 Januari 2018

Q-STREET


Tengahari tadi saya berkesempatan mengikuti aktiviti dakwah jalanan Q Street di Masjid Jamek KL atau kini dikenali sebagai Masjid Jamek Sultan Abdul Samad. Q Street ini digerakan oleh beberapa NGO (Non Governmental Organization) antaranya Skuad Mubaligh Malaysia, Baitul Fiqh, Briged Bakti, Al Hassan Volunteer Network dan pagi tadi saya lihat MRM (Multiracial Reverted Muslim) turut mendatangkan pendakwah mereka disamping menyumbangkan risalah dan buku. Menariknya pemilik kindergarten Bright Atfal sekeluarga bersama kakitangan mereka turut menjayakan aktiviti ini secara sukarela dan penuh semangat. Saya mendapat tahu tentang Q Street ini dari Alfie Ng, dan program ini turut disertai oleh rakan saya Damian Mikail dan Fadhli Burhan.

Aktiviti pagi tadi dimulakan dengan mengedar makanan percuma kepada gelandangan dan orang-orang papa. Tahukah anda apa itu orang papa? 

Dalam kerja sosial, definasi orang papa adalah:
Seseorang yang didapati mengemis disesuatu tempat awam hingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegusaran kepada orang-orang yang lazim mengunjungi tempat itu ataupun hingga mengadakan kacaugangu atau seseorang yang dijumpai berpeleseran di sesuatu tempat awam sama ada dia mengemis, tidak mempunyai mata pencarian pada zahirnya atau tiada tempat tinggal atau tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan jelas. Akta berkaitan dengan mereka adalah: Akta Orang Papa 1977 (Akta 183) yang memfokuskan pemulihan dan perlindungan buat mereka.

Saya tidak sempat melihat aktiviti ini berlangsung. Namun difahamkan oleh saudara Fadhli, makanan yang disediakan tidak cukup untuk menampung jumlah gelendangan dan orang papa yang hadir pagi tadi. Q Street turut membawakan tukang gunting rambut sukarelawan yang memberikan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada mereka. Saya seorang yang sangat setuju dengan aktiviti dakwah yang dijalankan bersama-sama amal jariah. Ada juga pendakwah mengunakan kaedah penyampaian dengan sogokan hiburan kerana manusia secara umumnya sukakan kesenian. Tapi bagi saya pendekatan amal jariah lebih membawa roh agama itu sendiri kepada umat.







Selepas taklimat dari saudara Fadhli, usai solat Zohor para mubaligh keluar menjalankan dakwah jalanan mereka disekitar Dataran Merdeka, Jalan Masjid India, sekitar HSBC dan dihadapan Masjid Jamek. Melalui tinjauan saya Dataran Merdeka adalah lokasi emas untuk kegiatan ini kerana dipenuhi golongan sasar terdiri dari pelancong luar negara. Bagi saya selain dari mempromosi produk rekreasi dan juadah dari Malaysia. Alangkah baiknya bila mereka pulang ke rumah, mereka tahu sedikit sebanyak tentang Islam. Lebih hebat, dapat pulang ke rumah dan kembali ke fitrah manusia. 

Fitrah manusia semuanya dilahirkan Muslim.

Saya lihat pelancong-pelancong Muslim dari China begitu mesra dan terharu bila jumpa kami tadi. Saya tidak tahu cakap Cina. Tapi saya dapat faham bahasa tubuh seorang Muslim yang ditekan pemerintah, sudah pasti dia terasa indahnya dapat bertemu bangsa-bangsa lain seagama, merasa bebas mengamalkan pegangan agama termasuk cara berpakaian di Malaysia. Dari isyaratnya, saya faham dia memberi tahu, keluarganya dari anak cucu semuanya Muslim. Dia menepuk dadanya saat itu. 



Berdasarkan golongan sasar banyak dikawasan ini. Saya cadangkan ditempatkan lebih mubaligh disini untuk sesi akan datang.

Saya lihat di kawasan HSBC dan Jalan Masjid India tidak kurang cabarannya. Ini kerana ia warga tempatan lebih banyak di kawasan ini. Ia memerlukan kemahiran interaksi yang khusus untuk berkomunikasi dengan orang tempatan terutamanya yang bukan Islam. Kita tahu orang tempatan agak tertutup untuk dialog terutamanya apabila soalan berkaitan Al-Quran. Seorang warga Nigeria ketika kami minta untuk beliau membaca Al-Quran dan dirakamkan video untuk tujuan dakwah, turut enggan kerana dia tidak percaya dengan kaedah menularkan video bacaan Al-Qurannya. Dia berpendapat itu bukan itu tujuan wahyu diturunkan. Kami menghormati pandangannya.




Seterusnya di reruai berhadapan masjid jamek dan di tangga turun LRT. Mungkin di situ juga rancak kerana ia merupakan tarikan pelancong yang ingin mengambil foto kenangan di masjid dan River of Life. Berpusu-pusu pelancong dari berbagai-bagai negara datang tanpa henti menjadikan ia sebuah lokasi yang amat sesuai untuk menjalankan dakwah jalanan.

Sungguh mengembirakan apabila mendapat tahu, dua orang wanita dari Philippines dan dua orang pemuda dari Nepal melafazkan syahadah mereka hari ini. Saya tidak sempat mendengar post motem aktiviti mereka hari ini kerana harus bertolak ke Sunway atas urusan lain pada jam 3.30 petang. Saya doakan mereka semua dirahmati Allah SWT atas usaha mereka ini. Kepada yang berminat untuk menyertai mereka tak kira atas kapasiti sekecil dan sebesar mana pun. Silakan!

Sabtu, 13 Januari 2018

MENJEJAKI RAWANG BYPASS, JAMBATAN TERTINGGI DI MALAYSIA

Image carian Google

Hari ini saya keluar awal pagi dengan motorsikal untuk meninjau Rawang Bypass (Jalan Pintas Rawang) yang terletak kira-kira 35KM dari tempat tinggal saya. Rawang Bypass ini mula dibuka untuk penguna tepat pada jam 6 pagi, 29 November 2017 sekaligus menjimatkan masa perjalanan Rawang – Serendah. Asalnya projek ini dinamakan sebagai Kuala Lumpur–Rawang Expressway dan terpaksa dimansuhkan ketika Malaysia mengalami krisis kewangan pada tahun 1997. Jambatan lebuhraya dengan tiang konkrik setinggi 58.2 meter ini memakan sebanyak masa 12 tahun untuk disiapkan. Rawang Bypass juga menelan kos sebanyak RM630 juta melalui Rancangan Malaysia ke-9.


Dari Taman Rimba Templer

Dari Serendah



Apa yang menarik titik permulaan Rawang Bypass (Jika anda dari Kuala Lumpur) ini terletak di dua pusat rekreasi iaitu Commonwealth Forest Park dan Taman Eko Rimba Kanching. Jadi bagi yang datang dari jauh bolehlah parkir kenderaan anda di kawasan ini dan kayuh MTB pergi dan balik Rawang Baypass yang jaraknya 18 KM sahaja. Kemudian teruslah mandi air terjun di Rimba Kanching. Amacam?