Jumaat, 30 September 2011

EVEN MY PEN HAS A STAND!



Saya sebenarnya tidak mengenai langsung latarbelakang kartunis Zunar, malah bukan pengikut tegar karya beliau. Bagaimanapun siapa yang tidak menyukai kartun politikal kan? Bukan disebabkan saya menyokong mana-mana parti atau fahaman, saya menyukai kartun-kartun Zunar semata-mata kerana seni. Bagi saya karya-karya beliau berada di kelas dunia. Koleksi-koleksi buku beliau agak sukar untuk diketemui di kedai-kedai buku biasa membuatkan nilai estetika buku ini turut bertambah. Maka, memilikinya ibarat memiliki senaskah Thy Unholy Abyss zine. Hehe!

Bagi saya masih kurang mengenali diri beliau, buku ini amat sesuai kerana turut memuatkan biografi Zunar sejak dari mula berkecimpung dalam dunia kartun seawal darjah lima ketika menuntut di Sekolah Kebangsaan Padang Durian, Pendang, Kedah. Kartun pertama beliau disiarkan dalam majalah Bambino pada tahun 1973. 


Karier beliau dalam menghasilkan kartun politik bermula dari kolum Gebang-Gebang di dalam majalah Gila-Gila. Seterusnya berkembang didalam beberapa majalah lain dan akhbar-akhbar. Namun kebanyakan kartun-kartun beliau di tapis dan ditolak oleh editor  sehinggalah beliau diberi kebebasan mutlak untuk berkarya oleh Harakah dan Malaysiakini. Oleh kerana keberanian beliau menyuarakan sesuatu senario politik beliau mula menjadi popular. Malah beliau pernah ditangkap ketika sedang membuat pelancaran buku Cartoon-O-Phobia dan ditahan di Balai Polis KLIA di bawah Akta Hasutan 1948. Penahanan beliau sebagai kartunis politikal telah menarik perhatian dunia. Cartoonist Rights Network International (CRNI) turut mengecam penahanan tersebut dan yang bertuahnya, pada May lalu beliau mengunguli anugerah ‘Courage in Editorial Cartooning’ dari CRNI.

Bagi saya kartun-kartun yang dihasilkan Zunar, bukanlah tulen kesemuanya. Namun beliau berusaha keras mencari keaslian, melakukan kajian sebelum terus berkarya yang membuatkan kartun-kartun beliau kelihatan ringkas, santai, bersahaja dan paling penting sangat lucu! Terdapat kartun yang diberi sentuhan yang agak rumit, dan ada yang cukup ringkas. Paling penting berkesan dan member impak yang besar. Itu yang sering Zunar cakap dalam buku ini. Beliau mahu karyanya mampu member impak yang meluas.

Paling lucu, saya terbaca mengenai penjelasan karikatur wajah Dr. Mahathir yang persis Star of David, kata beliau: Came in split second. I realized Mahathir’s face is so cartoon-able. It is not overzealous to say that he is my inspiration for cartoons, but not the other types of inspiration, mind you’.

Menceritakan soal falsafahnya, Zunar berkata kalau suatu hari nanti Pakatan Rakyat berjaya memerintah negara ini dan melakukan apa yang BN lakukan ( ketidakadilan, rasuah, kronism) maka mereka juga akan turut berdepan dengan pena tajam beliau.

Dapatkan buku ini dengan menjadi ahli kinibooks atau hubungi Zunar sendiri di alamat: zunar49@gmail.com

MØRKE (2006)


Dvd ini adalah hadiah dari Mat Kodeng ketika bermalam di Pandan Indah 2 tahun yang lalu. Selalunya Mat Kodeng akan hadiahkan aku dvd merapu B-grade yang beliau tersalah beli. Tetapi ini hebat! Bagi mereka yang sukakan filem thriller dan jenayah psiko, ini kategori ‘mesti’ tonton. 

Sebuah filem dari negara kelahiran Lars Ulrich dan King Diamond, mungkin agak sukar untuk anda perolehinya di kedai-kedai DVD biasa. Suatu ketika dahulu saya ada berbual-bual mengenai filem ini bersama Svest dari kumpulan ambient/darkwave Denmark iaitu Sick Room 7, beliau sendiri terkejut bagaimana saya memperolehi dvd ini. Svest teman wanitanya pergi menonton wayang cerita ini, menurut Svest teman wanitanya kecut perut selepas menontonnya!

Jika anda berjaya mendapatkan filem ini pastikan ia mempunyai terjemahan Inggeris. Kisahnya bermula apabila Jacob (seorang jurnalis akhbar “The Times”) sekeluarga dikunjungi oleh seorang lelaki gemuk, weirdo namun berbudi bahasa  bernama Anker Jensen yang menyatakan hasrat hatinya untuk melamar Julie (adik Jacob). Jacob agak sangsi dengan perhubungan mereka kerana hanya berkenalan melalui internet chatting selama 6 bulan dan tidak diketahui latarbelakangnya. Lebih merisaukan Jacob, benarkah Anker menyintai Julie yang mengalami kerosakan otak kerana cuba membunuh diri selepas dikecewakakan kekasih lamanya dengan terjun ke dalam laut ( air laut Denmark yang sejuk menyebabkan otak Julie rosak). Namun ibu meminta Jacob untuk bersabar dan menerima permintaan dan menghormati adiknya. Semoga adiknya melupakan kisah lalu dan berjaya mengharungi tekanan perasaan bersama seseorang yang menyayanginya. 

Maka, perkahwinan Anker dan Julie berlangsung seperti yang dirancang. Namun pada malam majlis tersebut, ketika semua orang dibuai mimpi. Mereka dikejutkan dengan kematian Julie dibilik air kerana membunuh diri dengan mengelar tangannya. Anker Jensen menangis tak berlagu. Jacob sekeluarga benar-benar kecewa dengan apa yang berlaku.


Selang beberapa hari ketika mengemas barang-barang milik Julie, Jacob menjumpai sebuah buku milik Anker, selepas membelek-belek buku tersebut, jatuh sepotong keratan akhbar lama mengenai ucapan takziah kepada seorang wanita yang dibuat oleh Anker. Jacob melihat potongan akhbar mengenai ucapan takziah kematian adiknya yang dibuat oleh Anker. Kata-katanya sama. Ini membuatkan hati Jacob gusar dan meminta bantuan isterinya Nina (yang juga seorang jurnalis) menghubungi akhbar tersebut untuk mendapatkan alamat Anker. Anker telah menghilangkan diri sejak kematian adiknya dan menukar no telefon.

Maka berangkatlah Jacob ke rumah Anker jauh di sebuah pekan kecil yang sunyi bernama Mørke. Boleh dikatakan pekan Kodiang lebih padat dari Mørke. hehe! Polis pun hanya bertugas seorang diri dalam suatu masa dan hanya memandu Volvo 240 wagon. Hehe!. Dengan bantuan polis, jumpa jua Jacob dengan rumah Anker. Masing-masing terkejut, Anker terkejut bagaimana Jacob boleh menjejakinya, manakala Jacob terkejut bagaimana Anker boleh bertemu dengan seorang gadis baru untuk dikahwininya hanya dalam beberapa hari malah mendapat kepercayaan untuk menguruskan rumah ladang milik gadis itu. Lebih mengejutkan Jacob, gadis bernama Hanne itu turut cacat seperti adiknya.

Jacob menyewa motel di Mørke malam itu, fikirannya rungsing. Dia mengesaki adiknya telah menjadi mangsa kepada Anker. Tetapi malam itu Anker datang ke motel, memberi penjelasan dan meminta agar Jacob tidak menganggu hidupnya.

Keesokkan pagi Jacob ke rumah Hanne menyiasat, dalam masa yang sama didapati kes atau modus operandi yang dijalankan ke atas Hanne hampir sama dengan Julie. Iaitu perkenalan melalui internet. Anker pulang tiba-tiba dan membawa Jacob ke bangsal dan menyelongkar sebuah kotak lalu memberikan sepucuk surat bunuh diri yang didakwa tulisan Julie ditemui semasa kejadian malam perkahwinan itu. Jacob sebak dan terperdaya dengan surat itu. Beliau akhirnya mengambil keputusan untuk pulang.

Pada malam itu, Jacob menerima sms dari isterinya mengenai alamat Rikke (wanita yang diucapkan takziah oleh Jensen sebelum kematian Julie dalam keratan akhbar). Namun Jacob mengabaikannya dan menganggap kes ini telah selesai.


Ketika dalam perjalanan pulang, Jacob ternampak papan tanda Knabel. Pekan tempat tinggal Rikke yang tidak jauh dari situ. Selepas befikir sejenak, Jacob ke rumah Rikke. Rumah kosongnya telah usang dan telah ditinggalkan. Dari kesan-kesan tinggalan tahulah Jacob bahawa Rikke adalah seorang yang cacat. Malah sebuah foto Anker turut dijumpai. Jacob bergegas kembali ke Mørke dan menyelinap ke bangsal Anker. Dibongkarnya kotak-kotak lama Anker mendapati banyak vcd-vcd lama, slip-slip pembelian morphine, dan foto-foto lama serta keratan ucapan takziah. Jacob mencuri 2 keping vcd perkahwinan Anker. Apabila menontonnya Jacob terkejut kerana ucapan-ucapan disetiap perkahwinannya adalah sama. Ini membuatkan Jacob menantikan hari perkahwinan Anker dan Hanne untuk mencari kebenaran.

Pada malam perkahwinan Anker dan Hanne, Jacob datang buat kacau. Namun tiada apa-apa berlaku malah Hanne tidak diapa-apakan, namun keesokkan harinya Hanne menghubungi Jacob meminta untuk datang ke rumah mereka. Ketika Jacob sampai Hanne berada dalam tab mandi dan kelihatan lesu, namun Jacob tidak perasaan kelainan itu. Jacob tetap melayan Hanne berbual kerana menghormati Hanne sebagai OKU, sebab sebelum itu Hanne ada beritahu dia sukakkan Jacob dan dulu dia lebih cantik dari kakaknya. Malah Hanne sebelum itu memberitahu lelaki gemuk bukan citarasanya. Dalam perbualan itulah, Hanne beritahu dia jadi begitu bukan disebabkan kemalangan tetapi kerana ingin membunuh diri. Terkejut Jacob, malah lebih terkejut apabila dia dapati rupanya Hanne telah menghiris tangannya di dalam tab mandi.

Jacob ditahan kerana dituduh cuba membunuh, Hanne tidak mati namun berada dalam kritikal. Kesan morphine dalam darah turut dijumpai doctor membuatkan kes menjadi lebih rumit. Jacob direman. Namun tanpa disangka-sangka Anker datang ke balai polis menyerahkan surat bunuh diri yang ditulis oleh Hanne. Jacob dibebaskan. Semasa dalam perjalanan pulang, Anker mengajak Jacob ke rumahnya kononnya untuk memberi bantuan kerana kereta Jacob rosak. Padahal beliau telah rosakkan semasa Jacob kena jel. 

Ketika sedang minum Mochacino itu baru Jacob perasaan, ia telah dicampur morphine. Anker berterus terang kegiatan beliau selama ini dengan mengunakan internet chatting beliau mencari mangsa-mangsa yang pernah kecewa dengan hidup dan cuba membunuh diri tetapi tidak berjaya. Pada Anker, dia menolong mereka-mereka ini menunaikan hajat yang tidak kesampaian tersebut. Beliau mengunakan campuran kopi & morphine tersebut untuk meminta mangsa mengarang surat dan membunuh diri sendiri atau dia sendiri yang mengelar tangan mangsa.

Jacob yang telah lesu, dibawa ke laut. Cadangan Anker adalah untuk terjun bersama-sama ke dalam air laut yang sejuk itu. Sebagai wira, Jacob tetap mampu bergelut dengan Anker di dalam laut sebelum Anker kaku dan membatu ke dalam dasar laut. 

Mungkin pengakhiran yang agak kurang baik, tetapi dari segi emosi nya babak tersebut cuba dipadankan apabila Jacob terjaga di hospital. Membuatkan beliau terkenang perasaan kecewa yang dialami adiknya ketika cuba membunuh diri di dalam laut. 

Secara keseluruhan plot-plot ceritanya adalah menarik dan penuh logikal. Lakonan watak Anker memang terselah dengan gaya tidak bersalah, gemuk ala ala comel gitu tetapi sangat jahat. Runut bunyi piano nada rendah berbaur ambient sangat bersesuaian dipadankan disetiap babak. Suasana hening di Denmark turut membuatkan filem ini sangat-sangat murung.

Bintang: 4.5/5

Jumaat, 9 September 2011

DREAM HOME (2010)



Dream Home adalah filem cina, jadi rasanya baik saya ulasankan dalam Bahasa Melayu. Bagi anda yang merasakan filem-filem pembunuhan dan jenayah terbitan Lion Gate cukup mengerikan, baik anda tonton filem ini dahulu. Filem yang diterbitan, ditulis dan diarahkan oleh Pang Ho-Cheung ini berkisar tentang realiti golongan pertengahan yang hidup di bandaraya Hong Kong. Mukadimah filem ini bermula dengan pengenalan kata;

Tinjauan pada 2007 menunjukkan pendapatan bulanan kebanyakan penduduk Hong Kong mencapai HK 10,000. Hakikatnya, 24% penduduk masih berada dibawah tahap itu. Harga bagi seunit rumah flat yang berukuran 600 kaki persegi adalah melebihi HK 7 juta. Bagi rumah flat yang memiliki pemandangan jeti laut pula adalah HK 30,000 (atau US$3,200) sekaki.

Untuk hidup di dalam bandaraya gila. Seseorang itu harus jadi gila.

Pengenalan yang kuat ini mengambarkan jalan cerita yang hebat menyusul kemudiannya. Bukan sekadar memaparkan adegan-adegan membunuh yang kaku seperti yang sering kita lihat. Pang Ho-Cheung turut membuat flashback kenangan-kenangan dan kisah susah payah si pembunuh, kisah sisi gelap dan korupsi di Hong Kong yang mana kerajaan bersengkongkol dengan taikun hartanah bagi memiliki tempat-tempat berpotensi dan menindas golongan berpendapatan rendah, bagaimana kongsi gelap mengambil alih sesuatu kawasan, realiti kehidupan lelaki berkerjaya yang gemar menyimpan perempuan ( banyak dipaparkan perbualan telefon – 3 kali, internet chat yang menunjukan hobi lelaki Hong Kong sebegitu, malah si pembunuh di dalam cerita ini adalah seorang perempuan simpanan), senario pengantungan terhadap riba, ceti haram dan skim insurans turut diketengahkan.

Cerita berkisar mengenai seorang wanita jelita, Cheng Lai Sheung ( lakonan Josie Ho) yang pada usia kanak-kanak tinggal di sebuah flat buruk yang bertentangan dengan perlabuhan Victoria. Namun sampai satu ketika bangunan usang dihadapan flat nya dirobohkan dan sebuah flat mewah, No.1 Victoria Bay telah dibangunkan sekaligus menghalang permandangan rumahnya ke perlabuhan yang terkenal itu. Diselitkan disini bagaimana Cheng menjadi begitu obsess dengan No.1 Victoria Bay, berkerja siang dan malam untuk mengumpul duit menyara keluarganya kerana bapanya jatuh sakit, dalam masa yang sama menyimpan hasrat untuk berpindah ke flat mewah itu. Malang nasib Cheng apabila kekasih gelapnya tidak langsung mahu membantu meringankan kos rawatan bapanya. Malah suatu ketika Cheng sendiri terpaksa membayar sewa hotel selepas mereka lakukan hubungan kelamin. Kadang-kadang kerana kedekut kekasihnya hanya minta Cheng blowjob dalam kereta sahaja. Dalam masa genting Cheng tengah bergelut hendak membunuh orang pun, kekasihnya telefon arahkan beli arak, beli rokok . Cheng patut mengorat pengurus bank tempat dia berkerja sebenarnya!

Cerita ini sebenarnya hanya berlaku suatu malam, dan bermula dengan pembunuhan ngeri (cukup ngeri sebenarnya!) seorang pengawal keselamatan dan merebak sehingga 12 orang lain di flat No.1 Victoria Bay sebagai tindak balas seorang penjual yang mungkir janji setelah berlaku perubahan bursa saham dan aliran mata wang Hong Kong. Harga rumah tersebut dinaikkan hanya kerana Cheng lewat datang untuk urusan jual beli beberapa minit atau jam kerana kesesakan lalu lintas. Jadi untuk mendapatkan rumah berkenaan dan lebih hebat lagi untuk meruntuhkan harga flat tersebut, Cheng memutuskan untuk memberi sedikit suwey (bad luck) kepada flat tersebut. Berbekalkan kit binaan mendiang ayahnya (seorang buruh binaan), Cheng membunuh sesiapa yang dia teringin di flat tersebut dengan mengunakan apa sahaja yang ada, (cable tie, hammer, screwdriver)  dan dia berjaya menjatuhkan nilai hartanah tersebut apabila media mula membuat liputan mengenai pembunuhan tersebut serta menjejaskan reputasi No.1 Victoria Bay. 

Cheng berjaya membeli rumah tersebut dengan harga HK 3 juta lebih, walaupun sempit dia berpuas hati dan gembira kerana pemandangan indah perlabuhan Victoria kembali dalam hidupnya. Cheng turut memutuskan hubungan bersama kekasih gelapnya. Sepatutnya dia bunuh sahaja. 

Berdasarkan kisah sebenar.

Bintang: 5/5

Khamis, 8 September 2011

POPCORN MAGAZINE ISSUE # 10



Saya tidak pernah membeli sebarang komik keluaran Gempak Starz™, namun kadang-kadang mungkin setahun sekali ada terbelek-belek atau terbaca juga komik Gempak yang dibeli adik saya. Ini kerana saya kurang berminat hasil lukisan ala anime. Pada asasnya, saya memang kurang meminati jalan cerita komik anime, dan koleksi komik-komik yang saya ada seperti Ghost Rider, Nightbreed, Spiderman, semuanya untuk rujukan lukisan semata-mata. Bermakna, saya membeli komik bila lukisan itu cantik di mata saya. Itu sahaja, kalau hendak kumpul setiap isu. Itu bukan kegilaan saya.

Majalah ini dihasilkan sebagai satu media untuk memperkenalkan latarbelakang artis-artis komik melalui temubual, biografi, tips-tips lukisan, perkembangan aritis komik terutama dari Malaysia, dan siri komik pendek. Di dalam isu ini terdapat dua komik pendek iaitu 3 On a March yang dilesenkan oleh Humanoids Inc, Los Angeles dan Sweet Machine dari kartunis tersohor Malaysia, Puppeteer.


Editor Komik Popcorn, Slaium turut memaklumkan majalah komik sains fiksyen dewasa dan fantasi, HEAVY METAL ( issue summer special 2011) telah memuatkan lukisan-lukisan dari artis Malaysia seperti Puppeteer, Puyuh, Kromosom, Redcode, Eisu, Popia dan Slaium sendiri. Heavy Metal adalah sebuah majalah komik antarabangsa yang diterbitkan oleh Kevin Eastman, iaitu salah seorang pencipta Teenage Mutant Ninja Turtles.

Sekali baca majalah Popcorn ini anda sudah mengenali senario komik tanahair yang pada saya hebat. Jika tidak masakan sudah ada majalah seperti ini khas untuk publisiti artis-artis komik?! Antara paparan menarik isu ini adalah temubual bersama godfather komik pertarungan dari Hong Kong yang terkenal di zaman 80’an iaitu Li Chi Tak dan temubual bersama Cebulski yang merupakan anak emas Marvel dan orang yang bertanggungjawab mencari bakat-bakat baru serata dunia untuk menjadi artis Marvel.

Majalah ini dicetak dengan kertas dan warna berkualiti dan mengunakan bahasa pengantar Inggeris sepenuhnya. Harga RM15.90 (semenanjung Malaysia), SG$12.90 dan US$10.90 ( bermakna turut diedarkan dinegara lain). Saya pasti akan menantikan isu selanjutnya. 

Extra: Popcorn turut mengalu-alukan bakat-bakat baru untuk menyumbang karya mereka yang akan dibayar mengikut beberapa persetujuaan. Syaratnya komik tersebut mestilah dihasilkan dalam bahasa Inggeris, tamat dalam 4- 8 mukasurat, bersaiz A4, warna penuh (tidak kira digital atau manual), tiada aksi yang melampau atau menyentuh sensitiviti agama atau bangsa atau keganasan. Dan anda adalah pemilik hakcipta karya tersebut.

Hubungi: Slaium