Ahad, 24 Mei 2015

6 KOAY TEAW UNIK YANG PERLU ANDA CUBA DI PERLIS

KOAY TEAW PAK WAN

Ada banyak faktor yang membuatkan koay teaw kerang ini mencapai status ‘cult’. Arwah Pak Wan merupakan pemain gitar jazz yang memiliki studio latihan muzik pada awal 80’an, studio beliau menjadi markas kumpulan black metal pertama di Malaysia, (METAL GHOST) atau di Asia Tenggara secara amnya, kemudian pada tahun 1984 mereka memilih untuk mengunakan nama BLACKFIRE. Pak Wan adalah pengkritik utama BLACKFIRE yang akhirnya menjadi penyokong kuat mereka.

Kedua, Pak Wan antara peniaga di tapak gerai makan bersebelahan Pasar Besar Kangar (penduduk tempatan panggil ‘markit’) yang telah dirobohkan. Lokasi tersebut menjadi lagenda kerana tiada kasta sebaik anda menjejakkan kaki di situ. Menteri, selebriti, pesawah, penyamun, penganggur, orang kurang siuman, Cina, India, Siam, semua boleh duduk makan bersama.

Arwah Pak Wan meninggalkan legasinya yang berjaya mengekalkan citarasa yang sama. Jika anda sukakan koay teaw kerang dengan rasa tradisional, dipadankan dengan jeruk cabai hijau. Anda perlu datang ke Medan Selera, Pasar Besar Kangar yang terletak dibelakang Pasar Borong Kangar. (Dua jenis pasar basah dengan harga barang yang berbeza dalam satu kawasan yang sama? Pelik kan?). Gerai Arwah Pak Wan terletak bersebelahan nasi kandar Hamid.

Atau jika anda mahukan, sesuatu yang benar-benar dari warisan. Anda boleh terus ke Taman Aman, Jalan Raja Muda Perlis. Anak arwah, Berry mengusahakan gerai koay teaw kerang resepi warisan ini dihadapan rumahnya yang dibuka pada lewat petang hingga larut malam.

KOAY TEAW PAK NAN

Pak Nan digeruni kerana sikap panas baran dan turut penah membelasah pelanggannya sendiri. Seorang bekas komando dan penternak kambing berjaya pada siang hari. Jika anda tidak mampu melihat sang suami memarahi isteri sambil mengoreng koay teaw, dan ada kalanya beliau membaling sudip, pinggan atau kuali. Lebih baik anda jangan datang ke sini. Tahap kesabaran anda yang tinggi juga amat diperlukan jika berhajat untuk makan di sini, kerana secara purata sajian anda akan sampai ke meja dalam tempoh satu jam.

Walaubagaimanapun, kedai beliau sentiasa penuh dengan pelanggan setia yang sudah lali mengenai sikapnya. Keistimewaan koay teaw Pak Nan semestinya dari kaedah memasaknya yang mengunakan arang batu. Maka, rahsia keenakan koay teaw ini selain resepi tradisi semestinya lah pada teknik kawalan api mengunakan arang tersebut.

Pak Nan berniaga di lokasi yang sama sejak era 80-an hingga kini, bezanya jika dahulu dalam dangau kayu yang hampir runtuh, kini dia menyewanya di kedai projek tanah wakaf bersebelahan Masjid Muhammadi, Jejawi berdekatan JPJ Negeri Perlis.

Walaupun menu asalnya adalah koay teaw kerang, anda boleh minta Pak Nan tukarkan kepada daging atau jadikan ia berkuah. Jika anda berani order laaa….! Koeteaw Pak Nan akan menjadi lebih ‘kick’ bila dipadankan bersama sos cili cap Unta. Harganya kekal murah tiada tandingan. 


KOAY TEAW KWSP

Seingat saya, inilah char koay teaw Penang yang pertama dibawa masuk ke Perlis pada 94-95. Pada zaman tersebut boleh dikatakan setiap minggu saya akan ke sini, begitu juga rakan-rakan. Pantang sesiapa sahaja yang ada duit lebih dan berniat mahu belanja kawan, atau terdetik hati untuk makan malam bersama awek. Sinilah lokasi kegemarannya. Pada ketika itu, si taukeh sendiri yang mempamerkan seni masakan bermain api dalam kuali. Kini dah pakai pekerja.

Tetapi kini dari apa yang saya sendiri rasa, kualiti tumisan mereka (pekerja) kurang baik, dan rasanya manis lain macam. Berbeza dari apa yang saya rasa pada pertengahan 90’an dahulu. Kalau dahulu, selalunya kami makan seorang dua pinggan.

Namun, mereka kekal sebagai char koay teaw terlaris di bandar Kangar dan digemari generasi Y. Saya pun kurang pasti kenapa? Mungkin juga citarasa saya berbeza. Boleh anda cari dengan mudah kerana mereka beroperasi di kaki lima bangunan KWSP pada sebelah malam sahaja. Parkir pun mudah. Suasana romantis kerana makan bergelap hanya tumpang lampu jalan.

 CHAR KOAY TEAW ROSLI

Char Koay teaw Rosli adalah antara pesaing kepada Char Koeteaw KWSP yang muncul pada pertengahan 90’an yang asalnya dibuka roundabout Kangar. Lokasi trending zaman itu, malangnya mereka diarahkan berpindah kerana kawasan itu sering berlangsung acara rakyat. Mereka berpindah ke simpang tiga Stadium Utama, Jalan Kaki Bukit berdekatan nasi kandar Jalal.

Jika di KWSP sajian nya agak manis, char koay taw Rosli terkenal dengan sajian masin. Jadi anda bolehlah memilih diantara dua, saya sukakan yang masin ini. Keistimewaan char koay teaw Rosli mereka akan mengoreng udang secara berasingan terlebih dahulu sebelum dimasukan ke dalam koay teaw. Saya sering makan char koeteaw ‘special’, menu ini diberikan beberapa udang goreng tambahan dalam pinggan asing bersama telur dan kicap seasoning serta cabai hijau. Koeteaw kerang juga unik dan digemari pengemar makanan masin.


CHAR KOAY TEAW TAMAN KEMAJUAN

Jangan keliru antara sebuah lagi cawangan char koay teaw KWSP yang terletak dihadapan bangunan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), char koay teaw yang yang maksudkan ini terletak dihujung Pasaraya Taman Kemajuan dan terletak dibahu jalan yang diusahakan dari rumah corner lot yang turut menjual masakan Thai dan buah-buahan.

Menariknya, mereka turut menyediakan char koay teaw ketam. Jika char koay teaw biasa, udang-udang dari sangkar peliharaan yang digunakan agak besar juga saiznya dari kebanyakan restoran-restoran lain. Namun harganya murah. Saya kecewa kerana tukang masak mereka silih berganti, menyebabkan citarasa masakan mereka tidak konsisten. Setiap kali saya ke sini, pasti saya akan pesan supaya tumis agak lama supaya saya tidak merana cirit-birit. Bagaimanapun jika tukang masak berpengalaman yang bertugas pada malam tersebut, hasilnya pasti mencengkam kalbu. 


 CHAR KOAY TEAW TOK WI

Apabila Tok Wi membuka restoran char koay teaw berhadapan Masjid Batu 2, Simpang ke Taman Ular sebelum berpindah ke Kampung Paya, Balai Baru. Ia menjadi viral kerana kesedapan masakan nya. Sesiapa yang tidak pernah makan di Tok Wi dianggap tidak up-to-date. Sehinggalah kualiti perkhidmatan, layanan pelanggan dan kualiti makanan itu sendiri merundum akibat dari sikap egois mereka. Saya penah banned restoran Tok Wi kerana bersikap acuh tak acuh kepada pelanggan disebabkan sambutan luar biasa pada masakannya. Mungkin bagi mereka, 2 orang pelanggan yang kecewa tidak akan mendatangkan apa-apa kerugian bagi mereka.

Sejak berpindah, kedainya hanya diraikan oleh pelanggang setia sahaja. Namun boleh saya katakan kualiti masakannya kekal dengan mengunakan udang yang bersaiz besar dengan harga yang agak murah. Walaupun saya telah hentikan kempen ‘banning tok wi’, jarang-jarang sekali saya ke Tok Wi kecuali ada teman dari luar Perlis yang datang untuk cuba masakan unik di sini. char koay teaw Tok Wi terkenal dengan kuah yang banyak dan perkhidmatan yang cepat. Konsep seperti kawasan 'rehat dan rawat' yang diadaptasi di kedai makan kampung ini kurang mesra pelanggan. Maknanya mereka tidak akan layan tempahan atau urusan pembayaran makanan anda selagi anda tidak bangun sendiri ke kaunter.

Jika anda pulang dari Padang Besar lewat petang dan tiba di kawasan Balai Baru, Beseri, bolehlah anda singgah di char koay teaw Tok Wi untuk mencubanya.

Rabu, 20 Mei 2015

AKU INGIN KEMBARA LAGI



DR. MAZA adalah satu-satunya tokoh yang rapat dihati saya selain wira-wira muzik berat yang begitu lama mendiami sanubari ini. Sebenarnya saya dambakan seorang ‘ustaz hero’,  lama saya dambakan personaliti sebegitu dibumi Malaysia. Sememangnya ummah ini tidak pernah kering dari tokoh agamawan yang hebat dan tokoh akademik, tetapi DR. MAZA unik, dia terasa begitu dekat dengan kami orang-orang Perlis, walaupun sebelum beliau dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perlis lagi. Saya sukakan gaya bahasa Melayu nya yang petah dan tertib, saya sukakan cara pemakaian beliau yang merentas bangsa selagi menjaga aurat dan adab, saya sukakan juga cara pemakanan beliau yang mendidik (ada foto dia makan restoran Western high class) bukan mengherdik, kuliahnya sarat dengan mesej ilmu dan penekanan dalil al Quran serta Sunnah menjadi tunjang hujah, Dr. MAZA kelihatan seperti neo salafi tetapi hakikatnya dia tidak jumud fesyen, dia sangat lantang tetapi masih terbatas juga tegurannya apabila melibatkan kroni, saya paling suka sifat keras tapi tenang yang dipamerkan beliau apabila muncul khilaf dan tomahan dari masyarakat umum. Bagi saya dia ‘hero’ saya, insan yang suka membela ketulenan beragama namun tetap ada kelemahan tersendiri.

Ada pihak yang membenci dan melemparkan bermacam andaian terhadap beliau, seperti beliau tidak tawaduk kerana menaiki kereta mewah pemberian kerajaan, memakai jam tangan dan pakaian berjenama mahal, serta gilakan populariti di facebook. Bagi saya dia pemikir islam yang sangat versatile dan moden. Ada apa kesalahan jika mampu memakai barangan mahal dan berkualiti? Begitulah juga dengan tuduhan berfahaman ‘wahabi’ yang secara positifnya memberi saya keinginan untuk mengkaji apakah ketakutan yang diwar-warkan pada wahabi itu? 


Saya menjadi poser buat kali ketiga (pertama Mille Petrozza, kemudian Mustafa Daood) apabila meminta Dr. MAZA untuk menandatangani buku ini semasa syarahan hadis 40 (Al-Arba’in An-Nawawiyah) di Masjid Alwi semata-mata sebagai modal untuk mendekatinya. Walaupun sebenarnya bagi saya tandatangan ini tiada sebarang nilai.

Buku ini adalah himpunan artikel tulisan beliau selama 11 bulan mengikuti program ‘fellowship’ di Oxford Centre for Islamic Studies, Oxford, England. Ia adalah coretan daripada apa yang beliau lihat dan rasa, lantas disimpulkan semua itu melalui kefahamannya. Saya sukakan penulisan beliau kerana beliau akan mengupas setiap situasi itu dengan mengolahnya mengikut resam Melayu dan diseragamkan dengan kefahaman Islam yang universal. Paling saya suka bagaimana beliau menyelaraskan hujah dengan pengunaan hadis dan nas dari al Quran yang tepat.

Banyak kita baca tulisan-tulisan agamawan, pakar motivasi, ahli politik yang mengunakan keratan hadis dan al-Quran yang tidak selaras dengan apa yang mereka sedang pertuturkan. Ia memberi wajah yang salah tentang Islam. Ia memberi gambaran yang lemah tentang agama!

Dr. Maza juga rajin membuat analisis pergolakan agama dengan membuat rujukan dari sirah para sahabah dan Khalifah, termasuk juga tokoh-tokoh ilmuan dari agama-agama lain sebagai perbandingan dan teladan.

30 tajuk telah dirakamkan dalam buku ini dengan kupasan yang sangat hebat. Ia himpunan pemikiran dan pengembaraan yang indah untuk dihayati. Terdapat juga foto-foto peristiwa dan rajah penerangan bagi menambah pemahaman anda yang dimuatkan didalamnya. Harganya juga luar biasa murah: RM17.00 sahaja. Harus dimiliki bagi mereka yang dahagakan jawapan intelek kepada persoalan agama yang luas.

“Ada apa aku dan dunia ini? Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung daripada panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya” (Riwayat al Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani)

Jumaat, 15 Mei 2015

MENJEJAK TAN YONG PO, SETOI

Ban Tan Yong Po, Satun atau asalnya Kampung Tanjung Pauh, di daerah Setoi adalah kawasan pedalaman yang jauhnya kira-kira 60KM dari pintu pagar sempadan Wang Kelian. Bagi yang belum tahu, Setoi suatu ketika dahulu ditadbir oleh Kesultanan Islam Kedah. (rujuk artikel mengenai Setoi yang pernah saya tulis dahulu >> sini).

Tanjung Pauh, sebuah kampung nelayan mula dijejaki oleh pencinta makanan, setelah kebanyakan orang dari Perlis dan Kedah mula meneroka kawasan ini selaras dengan kegilaan mengulas makanan di laman sosial. Ramai yang gemar mencipta nama sebagai antara yang pertama sampai di cerok ini. 

Dari perangkaan penduduk Thailand tahun 2014, Tan Yong Po atau Tanjung Pauh dihuni oleh 1’111 orang (231 keluarga). 97% penduduknya adalah Muslim manakala 3% adalah penganut Buddha. Hampir keseluruhan penduduk Tanjung Pauh bekerja sebagai nelayan dan penoreh getah.

Untuk sampai ke sini anda akan merentas kawasan paya bakau yang luas dan seterusnya ladang-ladang getah. Ketika dipekan Satun tadi, saya terpandang satu billboard besar yang memuatkan gambar Raja Muda Perlis bersama rakan-rakan, mungkin ada Dr. Maza juga yang turut serta dalam aktiviti ziarah warga Muslim di Satun dengan mengayuh mountain bike! (Bangga dengan Tuanku, tetapi tidak sempat ambil foto!). Anda boleh juga ke Tanjung Pauh melalui jalan laut dengan menaiki bot di jeti bersebelahan Pasar Besar Satun. 


Bukanlah saya menghina, ketika saya tiba disini kebanyakan jalan-jalan utama masih belum diturap, laluan baru (belum diturap) ditepi laut kira-kira 10KM kelihatan belukarnya baru sahaja kerjakan oleh jentolak, lampu-lampu jalan mengunakan sistem solar, manakala rumah-rumah renek berdinding buluh bertaburan merata-rata. 


Terdapat sebuah masjid (selayaknya surau), tiada stesen minyak, bank, kedai runcit 24 jam, pencawang elektrik, café, kedai alat telekomonikasi atau klinik. Sebenarnya saya berasa pelik apabila Penguasa Thailand menobatkan Tanjung Pauh sebagai komuniti contoh atau digelar “Satun Model” kerana penduduk-penduduk Muslim disitu tidak melibatkan diri dalam aktiviti keganasan, seperti di Yala, Narathiwat dan Pattani. Maka bagaimana mereka dapat tahu hal itu?

Sebuah modul bernama ‘Community Policing” yang menempatkan beberapa anggota polis yang menyamar sebagai penduduk baru di Tan Yong Po akan bersosial dan berkerja seperti orang awam selama 3 bulan bagi mengesan ancaman. Jika ternyata tiada ancaman, mereka akan memperkenalkan diri dan menganjurkan forum bersama penduduk bagi mengetahui keperluan dan masalah untuk dibawa kepada kerajaan. Dikatakan Tanjung Pauh adalah kawasan persembunyian bagi penjenayah-penjenayah pemerdagangan dadah yang menjadi buruan polis. Mereka akan melarikan diri ke sana disebabkan ia kawasan terpencil, manakala kebanyakan nelayan mesra pengunaan dadah. Menurut laporan media, konsep modul “Community Policing” telah berjaya mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah di Tanjung Pauh sepenuhnya.

Apa yang menjadi persoalan saya, kenapa komunti contoh ini tidak mendapat penbangunan sewajarnya selama ini? Dan disebabkan para pelancong semakin gemar untuk melawat dan menikmati hidangan makanan laut di Tanjung Pauh, kerajaan Thailand mula membina infrastruktur penghubungan bagi merancakkan industri tersebut. Ya, mungkin ia akan meningkatkan tahap ekonomi penduduk setempat. Tetapi jika tidak dibina sekolah pendidikan formal, tidak diberi peluang untuk menjadi penjawat awam, tiada kemudahan perubatan dan pengangkutan awam. Malah tiada sistem pembentungan. Mana mungkin mereka itu komuniti muslim contoh?

Penduduk Tanjung Pauh akan kekal dalam kemiskinan, berpendidikan pondok (tak salah.. tetapi pendidikan itu jadi tradisi tanpa ikhlas), memotong getah dan memukat ikan dan menguasahkan kedai makanan laut serta tom yam, jika kerajaan Thailand hanya tumpukan kepada pembasmian gerakan kemerdekaan negara Islam dan pembasmian dadah.

Bunthai mengajak saya ke sini untuk makan tengahari, memandangkan hari ini Jumaat saya cadangkan agar kami ke sana sebaik selesai solat Jumaat. Bagi pengila makanan seperti Bunthai, mengembara beratus-ratus kilometer hanya untuk menjamah sepinggan pulut ayam merupakan hobi nya. Saya sekadar ikut. Lagipun saya suka ziarah saudara-saudara muslim dikawasan-kawasan pedalaman kerana banyak teladan yang boleh dipelajari. 



Mulanya kami terus ke pelantar ikan Had Sai Yoaw Nuar, terdapat dua restoran yang dibina atas pelantar. Seperti kebanyakan kedai makan disekitarnya, mereka menyajikan makanan laut segar yang masih hidup (ketam, belangkas dan udang) dan boleh dipilih di kolam. Bunthai kurang selesa dengan tahap kebersihan di sini lalu kami ke kawasan pantai yang lebih indah pemandangannya. Saya tidak tahu nama restoran ini kerana tidak pandai membaca tulisan Siam, tetapi ia bersebelahan Lanta Restoran yang turut mempunyai gazebo buloh. Hanya ada dua restoran ditepi pantai yang menyediakan gazebo dari buluh, mempunyai kemudahan surau dan tandas. Pulau Langkawi jelas kelihatan dari pantai Tanjung Pauh. 


 
Kami menempah 2 ekor kari ketam, 4 ekor kerabu sotong bertelur, sayur campur dan dua teh ais. Semuanya RM51. Bagi saya, rasanya biasa-biasa sahaja. Mungkin saya mampu masak kari ketam itu lebih sedap.


Kami tiba di sempadan Wang Kelian jam 6.50 petang, namun pintu pagar Thailand telah ditutup, maka kami mengembara hampir 200 kilometer lagi untuk keluar melalui pintu sempadan Padang Besar. Percayalah, hari ini kami telah mengembara hampir 500 kilometer demi 2 ekor ketam dan 4 ekor sotong. Hahaha!

Sabtu, 2 Mei 2015

SKIN TRADE (2015)


Bila Sly, Arnie, Liam Nesson, Mel Gibson, Kevin Costner masing-masing kekal mahu menjadi wira dan produktif dengan karya mereka. Mungkin juga aktor kelas B ini mahu buktikan beliau juga boleh bangun semula atau pun dia terinspirasi dengan kegigihan mereka-mereka itu. Walaupun telah cuba menulis sendiri jalan ceritanya, malah membiayai terbitan filem ini, dan meletakkan diri sendiri sebagai watak utama, Dolph Lundgren kekal ditahap B.

Tengok sahaja jalan cerita ini saya tersenyum sendirian, malah seperti terbayang-bayang berbagai-bagai filem kisah polis yang telah dihasilkan sebelum ini. Paling mudah, filem Hong Kong. Malah apa yang anda boleh lihat dalam filem ini ia saling tak tumpah seperti adaptasi filem Jackie Chan yang bertugas sebagai polis Hong Kong yang berkerjasama dengan Interpol bagi menumpaskan kongsi gelap antarabangsa. Bezanya, Tony (Tony Jaa) adalah anggota polis Thai yang berkerjasama dengan Nick (Lundgren) polis dari New York yang bangkit menuntut bela apabila rumah beliau diserang penjenayah hingga mengorbankan anak serta isterinya (namun apa yang dia tidak tahu anak gadisnya dilarikan, hanya isterinya sahaja dibunuh). Penjenayah terbabit adalah Dragovic (gangster Serbia lakonan Perlman – ingat Hellboy?) yang Nick berkas dalam pertempuran sebelum itu dan Nick juga telah membunuh anak bongsu Dragovic semasa operasi itu. Bagaimanapun suaka politik yang kuat telah membebaskan Dragovic dan beliau melarikan diri ke kubu mereka di Asia Tenggara.

Nick yang parah dan berbekalkan passpot palsu serta beberapa pucuk pistol berangkat ke Bangkok dan tercetuslah pertarungan hebat dan akhirnya bergabung polis hero Thai, Tony. Watak Tony Jaa bagi saya tidak sedikit pun membantu kerana apa yang dilakukannya serta gaya tempurnya sudah terlalu banyak di kitar semula, ia sama sahaja dalam beberapa filem lakonannya sebelum ini (kecuali Furious 7 yang kelihatan lebih buas), bagi saya watak Tony bersama ‘dubbing’ suara orang lain itu amat membosankan. Jelas kedengaran sangat suara ‘bapuk’ original bila dia bercakap Thai tetapi berlainan bila cakap Inggeris. Micheal Jai White (ingat Spawn? Undisputed?) yang hebat bertarung itu sengaja dimasukan sebagai twist untuk dipertaruhkan bersama Tony Jaa sebagai FBI yang jahat, agen kepada Dragovic. 


Dipendekkan cerita, gabungan Tony dan Nick berjaya membuat skirmish di pengkalan Dragovic berdekatan sempadan Kemboja. Dragovic dan konco-konco berjaya dibunuh. Nick walaupun ditikam dan terperangkap pula dalam letupan, sedar-sedar dah kembali hidup sihat sejahtera dan mengembara seluruh Thailand untuk menjejaki anaknya.

Saya banyak ketawa ketika menonton filem Skin Trade ini, mungkin Sly atau Jason Statham juga begitu? OK, sepatutnya begini line-up nya, Tony (Tony Jaa), Nick (Micheal Jai White) dan pegawai FBI jahat Reed (Lundgren). Ha! Baru betol!

Nota: Skin Trade bermaksud pemerdagangan manusia untuk perhambaan seks, buruh paksaan atau pelacuran.

2.5/5 Bintang

Jumaat, 1 Mei 2015

FURIOUS 7



Tidak perlulah saya ceritakan sinopsis atau sejarah filem ini yang kebanyakan pembaca pasti dah tahu, kecuali saya. Saya didesak teman wanita untuk membeli DVD Fast & Furious 6 sebelum ini, maka itulah perkenalan saya dalam filem aksi berkereta ini. Furious 7 adalah sekuel kepadanya.

OK, selain dipaksa untuk menonton filem ini pada hari pertama ditayangkan, (teman wanita sanggup ponteng kerja untuk rebut tempat di cinema) saya hanya teruja untuk melihat kerja-kerja arahan James Wan (Pengarah filem kelahiran Malaysia yang terkenal dengan filem The Conjuring dan The Saw). Bagi teman wanita pula, biasalah, siapa James Wan pun dia taktau? Nama sebenar Toretto pun taktau? Tyrese Gibson pun dia kata Samuel Jackson, Kurt Russell lagilah dia kenal? Yang depa tau gila kereta cantik dan hero handsome? Konsep yang sama macam wanita dan bolasepak lah… girl’s logic.

Untuk singkatkan ulasan, saya puji aksi pertarungan yang memang pantas dan mendebarkan. Itu sahaja. Selebihnya adalah filem Tamil yang dilakonkan aktor Hollywood. Percintaan sejati hingga ke syurgaraya, kesetiaan si aduka serta lafaz kasih sayang agung si dewi menyasarkan titisan airmata penonton, sang satria dan pertualang bongkak dengan kegagahan serta masing-masing puji diri sendiri sebelum bertarung, anti-graviti dan anti-fizik, kereta mampu terjun parachute tanpa kawal, bangunan runtuh tapi hero rileks je, bom meletup, tibai muka dengan besi tak luka sikit pun, kereta hancur tapi hero tak cedera ciput pun, Statham tendang meja hancur macam kertas, macam-macam lagilah yang sebelum ini hanya boleh dibuat Bollywood telah diadaptasi ke Fast & Furious.



Paul Walker (watak O’Conner) terbunuh dalam nahas jalanraya ketika filem ini masih separuh siap membuatkan jalan ceritanya terpaksa dirombak semula dan dengan mengunakan teknik berkomputer wajah Walker dipadankan pada tubuh dua orang adiknya Cody dan Caleb yang menghabiskan babak-babak lakonan watak O’Conner. Teknik berkomputer juga boleh dikesan pada beberapa aksi kemusnahan kereta.

Filem ini menelan belanja sebanyak USD150 juta. Dan disebabkan kegilaan terhadap filem ini makin menjadi-jadi, belum pun pawagan habis menayangkannya, sekuel berjudul Fast 8 telah diumumkan!