Sabtu, 25 Mei 2013

SOYLENT ZINE (ISSUE # 1) - MALAYSIA


Melihat cetakan permulaan zine ini seolah-olah memberi harapan baru kepada dunia zine UG tempatan. Rasanya sudah tersangat lama rasanya kita tidak bertemu dengan zine metal dari Malaysia yang benar-benar bertekad untuk menghasilkan zine yang professional tanpa hilang prinsip bawah tanah itu sendiri. Zine lagenda dari pulau mutiara yang saya kenang sehingga hari ini adalah BRUTAL NOISE. Soylent zine merupakan pewarisnya sekaligus meletakkan standard baru dalam penerbitan zine tempatan.

Soylent dipetik dari sebuah filem sains fiksyen/seram berjudul Soylent Green (1968) yang mengisahkan keadaan dunia yang pada waktu itu bergantung pada sumber makanan dalam tin yang dinamakan Soylent Green. Menariknya Soylent Green adalah daging manusia yang dikitar semula sebagai kawalan pencemaran dan lebihan populasi manusia ketika itu.

Kali terakhir saya melhat zine-zine yang mempunyai kualiti cetakan dan input ‘rajin’ sebegini rupa di dalam DEADHEAD zine, sebelum itu hanya dipelopori oleh NOCTURNAL SLAVES, MINTAKATULBURUJ, RAHAB dan CLEWONE. Tahniah saya ucapkan kepada sidang redaksi Soylent zine yang mampu menyunting zine ini dengan pengisian yang padat, font (mungkin Arial) yang mesra mata, soalan-soalan yang santai dan berinfomasi (sebahagian temubual adalah sumbangan dari aktivis UG serata dunia seperti Chan Shek Weng, Christian Barbieri, Brian Straight). Pada saya temubual bersama Bizzarre Charlie Alien, Possessed, Cauchemar, Machetazo, Fondlecorpse dan Kam Lee adalah yang terbaik. Dan lebih menarik The Goregnome dari Fondlecorpse yang melakukan interview bersama ‘bapa death metal’, Kam Lee. Jika anda tidak tahu kenapa Kam Lee saya ishtiharkan sebapa ‘bapa death metal’, rujuk artikel ini.

Zine ini lengkap dengan Meja Kandungan, Pendahuluan kata dari editor, ulasan muzik, dan host The Jenglot yang memberi mukadimah bagi setiap temubual. Bagi pasaran yang meluas, Soylent mengunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

Sesuatu yang menarik mengenai zine ini, ia disunting oleh pasangan suami isteri Zuul Scum dan Jill Girardi. Kedua-duanya fanatic filem seram klassik, illustrasi seram klassik, muzik metal yang turut bertemakan sedemikian rupa. Ia mempengaruhi reka letak zine ini menjadi lebih menarik dan kental seramnya (horror!). 


Peningkatan yang saya harapkan pada masa depan adalah ruang reka letaknya akan mempunyai ruang untuk bernafas (kadang-kadang sedikit foto, latarbelakang hitam dan font yang kecil, memenatkan mata, namun mungkin dilakukan untuk perkiraan muka surat!?). Dan saya juga harapkan setiap isu perlu diselitkan sebuah kumpulan tempatan jika benar anda mahu metalheads tempatan untuk turut menyokong zine anda. Perlu adanya give and take di sini.

Saya tabik sekali lagi pada Soylent kerana mempu menjual zine ini dengan harga RM8 termasuk kos penghantaran dimana rata-rata zine lain di Malaysia dijual dengan harga yang sama atau LEBIH tetapi menyediakan kandungan yang boleh dikhatam dalam masa 15 minit serta cetakan fotokopi.

Isu pertama Soylent ini ditujukan sebagai penghargaan kepada lagenda death metal, Fondlecorpse yang mana jika anda inginkan pakej zine ini bersama 2 trek sampler cd Fondlecorpse yang dicetak secara professional hanya dengan harga RM15 sahaja.

Pasangan Zuul dan Jill turut menguruskan sebuah kedai metal bernama Deadbeat yang juga merupakan sebuah syarikat rakaman dan telah menerbitkan beberapa album kumpulan tempatan dan antarabangsa.

Terbukti perkahwinan rentas bangsa memberi banyak manfaat sejagat! :)

Deadbeat Shop, Lot 2B-04-05, 4th Floor Komtar, Georgetown, 10000 Penang, Malaysia


Selasa, 21 Mei 2013

BLACKFIRE DALAM AEDES ZINE 1989


Menurut ramai pengkaji dan aktivis muzik bawah tanah, Aedes Zine adalah zine pertama wujud di Malaysia yang mana isu pertamanya diterbitkan pada tahun 1987 namun ia disangkal oleh si editornya sendiri, saudara Joe Kidd yang mengatakan sebuah zine bernama HURU-HARA telah lahir lebih awal dari Aedes zine. Aedes telah lama berkubur namun kaedah, reka letak, keunikan dan teknik temubual beliau boleh menjadi ‘pedoman’ buat editor-editor masa kini yang ingin meneruskan tradisi media bawah tanah ini.

Joe Kidd kini meneruskan kegiatan muzikal beliau bersama kumpulan punk rock paling kontroversi di Malaysia, CARBURETOR DUNG dan giat menulis dalam laman blog nya http://ricecooker.kerbau.com/ dan mengusahakan kedai nya Ricecooker.

Disini aku muatkan temubual beliau bersama BLACKFIRE di dalam Aedes zine isu # 3 yang diterbitkan pada 1989. Aedes adalah khazanah muzik ektrim tanahair.






PEREMPUAN YANG PATAH HATI (JARGON BOOKS)


Saya menonton filem Les Misérables sebelum terus melanjutkan masa lapang hari ini dengan membaca pula buku Perempuan Yang Patah Hati karangan Rasydah Othman. Dengan cuaca diluar sana hujan sepanjang hari, keadaan menjadi sangat depresif, suram dan penuh seni. Les Misérables adalah sebuah filem muzikal yang romantic serta padat dengan drama. Begitu juga kandungan buku ini.

Perempuan Yang Patah Hati, seperti tajuknya buku ini sarat dengan puisi, sajak, nukilan dan coretan dwi-bahasa (Bahasa Melayu dan English) Rasyidah Othman yang menjurus kepada emosi yang suram, gothik, murung, dan takdir yang mungkin sekali adalah berdasarkan pengalaman dan naluri penulis sendiri. Berdasarkan susun ayat dapat dihidu pengaruh penulisan beliau turut datang dari ahli falsafah, ahli sufi dan novelis Barat.


Rasyidah turut memuatkan ilustrasi-ilustrasi kerja tangan beliau pada beberapa puisi terpilih yang membuktikan beliau berbakat dalam kedua-dua bidang. Penulisan dan lukisan.

Beliau banyak bermain dengan kata yang sedih, hati lara dan suratan pertemuan dua insan. Anda juga akan bertemu dengan berdozen perkataan dan seperti Aphrodite, Ophelia, Gibran, Tuhan, dan malaikat.

Buku ini diterbitkan pada tahun 2011 oleh Jargon Books dengan harga RM15.

“Kerana aku ini hanyalah separuh dari perempuan-perempuan yang deritanya mengulung ke syurga, dan berpura-pura menjadi utuh. Cinta itu tidak pernah mati melainkan angkara diri yang tidak tahu aturan cara untuk memeliharanya. “ – Rasyidah Othman

Ahad, 19 Mei 2013

RANJAU METAL ZINE (ISSUE # 5)


Ranjau Metal adalah di antara zine yang paling lama bertahan dari Pahang atau boleh jadi zine tertua yang masih hidup di Semenanjung Malaysia selain Virus zine, Hermyth zine, Sangwitok zine? Saya memuji usaha saudara Azahar dalam terus memperjuangkan media tradisi bawah tanah di era serba moden ini, Azahar juga merupakan seorang aktivis Underground termasyur di Raub kerana usahanya membangunkan kegiatan muzik metal di sana di samping menjadi distro tunggal di kawasannya. Beliau juga adalah penyokong kuat segala produk yang saya terbitkan sejak dari dahulu lagi dan saya amat terhutang budi padanya.

Namun itu tidak menjadi penghalang buat saya untuk memberi kritikan membina kepada Ranjau Metal yang disunting beliau. Saya berharap beliau menerima pandangan ini dengan hati yang terbuka demi penambahbaikan zine ini. Saya sendiri sewaktu menyunting Kemenyan Fanzine pernah melalui zaman ‘crap’ dan cikai. Saya pernah melalui zaman typewriter serta era gunting dan lekat (cut and paste) pada tahun 90’an dahulu.

Menampilkan 7 temubual dengan kumpulan LOBOTOMY, MILITANT ATTACK, AJAL, TAMMAT AL QUBRA, WRECKÄR, ZARQUM dan VIOLATOR dengan gaya pertanyaan yang hampir sama. Azahar bermain selamat dengan memberi soalan-soalan asas serta tipikal. 


Saya ingin menasihatkan, walaupun hampir semua kumpulan menjawab dengan teliti dan padat. Jika benar Ranjau sebuah zine tradisional, reka letak adalah amat penting untuk memberi tarikan dan aura kepada zine ini. Ia hambar dan terlalu ringkas. Tiada foto yang rare dan unik, tiada manipulasi ‘font’ dan kerja-kerja grafik yang berseni (seperti page frame, columns atau header), dan tiada kulit keras atau glossy (kedekutnya! binding tape pun takda. Haha!).

Saya amat berharap di era yang penuh dengan kemudahan software dan teknologi ini dimanafaatkan oleh sidang editor selepas ini. Dan elok juga disemak semula typo error sebelum diterbitkan zine ini kerana saya perasan banyak juga kesalahan kata dan ayat tertinggal dalam temubual Wreckär. Mungkin juga dalam temubual dengan kumpulan lain. Jadi ini menimbulkan sedikit ralat terhadap kenyataan kumpulan tersebut.

Terima kasih juga buat Azahar kerana memuatkan komik pendek Facebreaker yang dilakarkan oleh saya.

Saya menyokong zine ini kerana usaha beliau dalam mengekalkan tradisi zine bawah tanah di Malaysia adalah sesuatu yang sukar untuk diteruskan pada zaman ini. Bagamanapun usaha tersebut perlu ditingkatkan agar Ranjau bukan sahaja dikenang sebagai antara zine fotokopi tertua tetapi kualiti isi kandungan dan reka letak nya boleh menjadi acuan kepada zine-zine baru.

Hubungi: Azahar, No. 117 Felda Sungai Koyan 1, 27650 Raub, Pahang (Tel: 012-3673303)

Selasa, 7 Mei 2013

PASAR MALAM SADAO



Sebenarnya kami terjumpa pasar malam Sadao ini secara kebetulan semasa pulang dari Hatyai beberapa bulan yang lalu. Setelah melihat suasana yang agak happening, aku buat temujanji semula dengan Duha untuk ke Sadao pada hari ini, Rabu. Pasar malam Kangar pun memang setiap hari Rabu tetapi dah bosan. Apa salahnya kita ke tanah seberang. Lawatan sambil belajar.

Sadao ini terletak kira-kira 10 km dari pekan Ban Da Nok atau Danok yang begitu popular pada orang Malaysia kerana industri hiburan yang disediakan untuk para pelancong. Sebenarnya tiada apa yang istimewa di Danok. Kelebihan pekan ini adalah padat dengan pusat penyundalan dan urutan, selebihnya hotel dan motel memenuhi setiap lorong dan jalan. Inilah tarikan terulung di sini.

Dua dengan aksi Aquaman


Aku sendiri sejak berkurun lama menetap bersebelahan dengan negara hiburan ini. Pada 13.3.2013 lalu adalah kali pertama aku menjejakkan kaki ke bumi Danok ini. Itu pun setelah gitaris aku, Zizie Row yang kemaruk sangat mahu ke sana sebaik tiba dari Kuching.

Pertamanya, ini adalah kali pertama aku masuk ke Thai melalui Bukit Kayu Hitam dan isytihar kenderaan di situ dan kena maki kerana salah tempat tandatangan.

Ok. Sekarang aku kongsikan sebuah analisis, kenapa pegawai-pegawai kerajaan Thailand cenderung bersikap sombong dan pembengis tanpa musabab berbanding orang awam Thai yang sering kita baca dalam media-media lembut budi bicara dan mesra?





Cuba lihat bagaimana korupsi menguasai jabatan kerajaan di sana. Setiap kali anda berurusan di kaunter immigresin Thai jarang sekali anda terlepas dari memberi tips. Ya ‘tips’ jika bukan duit tip RM1 tersebut pasti anda perolehi resit untuk urusan kerajaan atau dicop ‘PAID’ dapa dokumen tertentu. Ia hanya duit tips. Tetapi andai kata anda terlupa memberinya atau sengaja pura-pura tidak memberinya. Jarang sekali anda terlepas! Pasti disergahnya ‘seringgit’!

Pernah mereka ucap terima kasih?

Jika anda ucap terima kasih atau thank you. Pernah mereka balas ‘welcome’?

Pandang muka anda pun belum tentu. Oleh itu, orang Malaysia kita lebih berbudi bahasa dan baik budi bicara secara MAJORITI nya.

Ok. Anda tahu mengapa kebanyakan pegawai-pegawai kejaan dan golongan berpendidikan membenci kita? Sebabnya jika kita sendiri pun ditempat mereka sudah pasti kita membenci ‘bangsa pemusnah’ yang datang ke negara mereka untuk melampiaskan syahwat, mengomol wanita-wanita mereka walaupun itu adalah pendapatan negara. Dari segi maruahnya. Mereka terhina.

Maka dengan hal itulah, kita lebih lagi yang lelakinya sering dicemuh oleh golongan ini. Dan silap hari akan menerima nasib yang malang ketika di sana.

Ok, kita teruskan ke pekan Sadao. Ia sebuah pasar malam kecil dikuasai peniaga baju dan kasut bundle dari Pattani. Nasib kami kurang baik pada senja ini kerana hujan renyai yang turun memaksa kebanyakkan peniaga berkemas dan pulang awal.

Kami pulang dengan sedikit kecewa. Kami singgah sebentar di Ban Da Nok untuk makan pulut ayam dan roti canai. Datang ke Thailand semestinya tidak lengkap jika anda tidak singgah di 7 Eleven. Mengapa? Ratusan jenis minuman di situ. Hehehe. Sila cuba.








Ok, Analisis aku yang ke dua. Bagaimana ingin mengetahui status ekonomi sesebuah negara berjiran itu lebih hebat melalui masakan? Hahaha. Ok, begini. Negara yang lebih maju mampu membawa menu dan masakan dari negara jirannya ke negaranya tanpa hilang keasliannya. Mungkin juga sebijik seperti asli. Mari kita lihat, berapa banyak masakan Thai, Tom Yam, Som Tam, Pulut Ayam, dan sebagainya yang hanya boleh di dapati berhampiran dengan rumah kita.

Ok, mari kita lihat roti canai. Ya.. kadang-kadang kita boleh jumpa beberapa kedai di Thailand yang menyediakan roti canai, malah ketika di pekan Krabi tempoh hari kami mencubanya. Tetapi mereka gagal. Hahaha! Penah anda jumpa laksa? Satay? Roti jala? Hehehe.

Ahad, 5 Mei 2013

HIMPUNAN KISAH BENAR TAPI PELIK (TELAGA BIRU)



Dr. Zahazan Mohamed merupakan antara pendakwah dan ulama kegemaran saya. Ini merupakan buku pertama oleh beliau yang saya beli yang mana sebelum ini saya lebih suka mendengar kuliah dan ceramah oleh beliau sahaja. Kisah-kisah di dalam buku ini disusun dan dipetik berdasarkan kitab-kitab sejarah yang muktabar yang merekodkan kisah luar biasa yang didatangkan oleh para nabi, para sahabat dan para wali dengan izin Allah SWT menjadi al-bayyinat dan al-ayat, iaitu bukti tanda-tanda kebenaran dakwah mereka. Terdapat juga kisah-kisah Israiliyat menceritakan kisah-kisah yang terjadi pada bani Israel dengan maksud untuk mengambil pengajaran, nasihat dan dijadikan teladan. 

Semuanya disusun kemas dengan bahasa yang mudah dan penuh hikmah bersama-sama ilustrasi ringkas. Ada rujukan fakta dibawah setiap muka surat dan glosari sebagai rujukan kitab dan penulis asal. Antara kisah popular yang mungkin anda penah dengar adalah kisah Nabi Musa berguru dengan Nabi Khidir, Air keluar dari jari-jemari Rasulullah SAW, Pokok-pokok yang datang kepada Rasulullah SAW, Bulan terbelah, Khalifah Umar memasak untuk rakyatnya, dan sebagainya.

Kisah-kisah lain adalah lebih hebat dan luar biasa dan amat menakjubkan. Buku ini amat wajar dimiliki dan dicadangkan kepada para rakan taulan. 

Lebih hebat kisah-kisah dalamnya kebanyakan mengembalikan kita kepada zaman dakwah Rasulullah dan kisah nabi-nabi sebelum syariat nabi SAW. Kita dapat lihat kebanyakan kaum jahiliyah, musyrikin, yahudi beriman pada Allah, mengakui Allah adalah tuhan mereka tetapi menyekutukan dan berlaku syirik. Maka dengan itu, nabi dan rasul diutuskan untuk memberi keterangan hakiki. Bahkan umatnya turut berjuang dakwah bersama bukan mempertikaikan ‘Allah’ itu milik siapa?

Telah jelas Allah itu Tuhan yang wajib disembah dan yang satu. Malah sebelum Muhammad diangkat menjadi nabi lagi, kaum Quraisy telah kenal Allah itu adalah Tuhan. Cuma mereka syirik dan enggan menerima syariat.

 

Sayidina Umar r.a (Khalifah yang menguasai semua negara Islam ketika itu) berasa bertanggungjawab terhadap orang yang susah dan dizalimi. Pada masa yang sama, beliau tidak berasa teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman kepada orang yang enggan menunaikan kewajipan agama. Beliau tidak memilih kasih (berat sebelah) dalam perkara berkaitan hak-hak Allah.


Pernah satu ketika, ada laporan sampai kepadanya bahawa anak gabenor Mesir lantikannya iaitu Amru bin al-‘Ash r.a telah memukul lawannya yang mengatasi beliau dalam perlumbaan kuda. Alasannya ialah beliau ibnu al-akramin (anak orang yang mulia) sedangkan pemuda Qibti itu merupakan rakyat biasa. Sayidina Umar r.a menjemput kedua-dua pihak yang terlibat dan setelah mengesahkan kebenaran tragedi itu, maka beliau menyuruh lelaki Qibti itu bertindak balas terhadap anak gabenor kerana perbuatannya. 


Sebagai tambahannya, Amru turut dicemeti oleh Umar r.a seraya beliau mengumandangkan kalimah yang hebat; “Sejak bilakah kamu boleh menjadikan manusia sebagai hamba walhal ibu-ibu mereka telah melahirkan mereka dalam keadaan merdeka?”.