Isnin, 27 Oktober 2014

MASAK LEMAK KETAM PAWA JANGGI


Saya namakan masak lemak ketam ini sempena misteri sebuah kawasan yang dipanggil Tasik Pawa Janggi di Beting Beras Basah, Perak yang sememangnya tercatat dalam sejarah Melayu. Penemuan tasik ini diriwayatkan pada 1528 apabila pembesar Perak mengadap Sultan Mahmud Shah, pemerintah terakhir Melaka yang bersemayam di Kampar, Sumatera. Pembesar Perak memohon supaya seorang putera dijadikan pemerintah Perak yang tidak mempunyai Sultan. Permintaan itu diperkenankan dan Raja Muzaffar dititah menjadi pemerintah Perak pertama. Namun ada juga riwayat lain yang mengatakan Tasik Pawa Janggi yang dimaksudkan dalam sejarah Melayu itu adalah Segitiga Bermuda. Wallahu'alam. Jom masak.

BAHAN-BAHAN:
1kg ketam laut
1 tin susu krimer (boleh juga diganti santan)
2 labu bawang merah
1 ulas bawang putih
3cm kunyit hidup
1cm halia
3 batang serai
1 sudu asam jawa diperah dalam segelas air (boleh ganti asam 3 keping)
1 sudu cuka epal
Garam secukup rasa
5 biji cili burung
1 biji telur itik

 
CARA MEMASAK:

Potong ketam sama tengah dan pangkas hujung sepitnya ( saya tiru teknik sebuah restoran Siam) cara begini membuatkan kuah masak lemak anda terkumpul cantik dalam kulit ketam, manakala isi sepitnya mudah dikopek nanti.

Bawang putih, bawang merah, kunyit, halia ditumbuk lumat. Masukkan ke dalam periuk bersama susu dan serai yang diketuk pangkalnya kemudian panaskan api hingga mendidih.

Masukkan ketam, air asam jawa, cuka epal dan garam. Tambahkan susu jika perlu. Pastikan ketam tenggelam keseluruhannya dalam kuah.

Kacau kuah supaya tidak pecah minyak. Seterusnya pecahkan telur itik dan terus kacau hingga larut.

Tambahkan perisa, belimbing buluh atau nenas jika mahu.

Ketam anda masak apabila ia berubah warna.

Sedia untuk disajikan.


TAMBAHAN:

Sajian ini sangat mudah dibuat. Tidak perlu menumis dan bahan-bahannya ringkas.

Tasik Pawa Janggi juga dipanggil sebagai Tasik Pauh Janggi dikatakan tempat terletaknya sebuah lubang tiada dasar. Di atas lubang itu ada seekor ketam raksasa yang menyebabkan terjadinya air pasang dan surut serta pusaran di lautan apabila ia keluar mencari makan dan kembali duduk di atas lubang tersebut.

Adakah ianya mitos?
Pada awal 15 Oktober lalu, pemilik sesawang Weird Whitstable, Quinton Winter memuat naik sebuah imej satelit yang melintasi Kent harbor, England dan mengejutkan ramai pihak. Adakah itu adik beradik ketam Pauh Janggi? Namun pakar grafik mengatakan ia boleh disunting dengan mudah mengunakan Photoshop. Lihat imej dibawah.


Band atmospheric metal VOCIFERATION ETERNITY dari Ipoh telah merakamkan album “Ocean Myth” (1996) yang memuatkan lagu “The Lake Pauh Janggi”.

Rabu, 15 Oktober 2014

ANNABELLE (2014)


Kisah ini difilemkan memandangkan sambutan luar biasa terhadap filem seram The Conjuring arahan James Wan, anak kelahiran Kuching Sarawak yang disifatkan telah mengembalikan semula keseraman dipangung wayang. The Conjuring kononnya kisah benar dipetik dari salah satu kes-kes yang dikendalikan oleh pemburu hantu popular Ed dan Lorraine Warren. Begitu juga Annabelle yang ditulis berpandukan kes yang diuruskan oleh mereka. Tetapi ia telah dicantikkan lagi untuk dikomersilkan. Annabelle ditulis oleh Gary Dauberman, diarahkan oleh John R. Leonetti dan tetap dibiayai oleh James Wan. Ok, jom!

Kisah ini digarap pada era 70-an yang mana kumpulan-kumpulan ajaran sesat seperti yang diketuai oleh Charles Manson sedang bermaharajalela di Amerika Syarikat. Pasangan John dan Mia Form adalah sebuah keluarga yang taat pada agama, Mia sedang sarat mengandung anak sulung ketika itu. Suatu malam Mia tersedar dari tidur setelah mendengar jirannya menjerit. John yang dikejutkan oleh Mia terus menyiasat kejadian tersebut dan mendapati jirannya Higgins telah mati dibunuh. Mia yang berlari kembali ke rumahnya untuk menghubungi polis tidak mengetahui pasangan pembunuh tersebut telah berada di dalam rumahnya. Namun ketika si pembunuh lelaki cuba membunuh Mia,  suaminya dan pihak polis telah tiba dan menembaknya. Manakala si pembunuh wanita membunuh diri sambil memegang anak patung yang dihadiahkan John pada siang hari tersebut. Wanita tersebut sempat mengukir simbol pelik pada dinding rumah Mia manakala darahnya mengalir ke dalam mata anak patung tersebut.

Walaupun ditikam pada bahagian perut, kandungan Mia Form disahkan selamat oleh doktor. Manakala pihak polis melaporkan pasangan pembunuh tersebut adalah Annabelle Higgins dan teman lelakinya. Mereka membunuh keluarga sendiri kerana terpengaruh dengan ajaran sesat. Pihak media dan polis menyifatkan mereka sebagai orang gila.

Mia dan John kembali ke rumah mereka, namun gangguan demi gangguan misteri melibatkan anak patung tersebut mula terjadi. Seperti mesin jahit elektrik yang hidup sendiri, gangguan siaran televisyen, anak patung berubah tempat dengan sendirinya, kerusi malas berayun sendiri dan sebagainya. Menyedari sesuatu yang tidak kena pada patung tersebut, Mia akhirnya meminta John membuang anak patung tersebut.

Suatu hari John terpaksa keluar daerah diatas urusan kedoktorannya. Dapur rumah mereka terbakar sendiri, ketika melarikan diri Mia dapat rasakan sesuatu menarikannya ke dalam api. Mujur beliau diselamatkan oleh jiran-jiran. Mia selamat melahirkan seorang anak perempuan, Leah di hospital dan trauma dengan kejadian itu, Mia memohon John agar membeli rumah baru yang merupakan sebuah apartment. 


Mereka pun berpindah. Kejutan pertama berlaku apabila Mia Form terjumpa anak patung tersebut yang comot seperti terkena api bersama barang-barang lain didalam sebuah kotak. John menyatakan dia telah pun membuangnya. Namun mereka memutuskan untuk menyimpannya. Sejak itu berbagai-bagai gangguan yang lebih hebat berlaku pada Mia. Mereka cuba mendapatkan nasihat Father Perez yang berpendapat mereka pasangan yang cekal dan harus bersabar dan menghadapi ujian itu. Akhirnya Mia menghubungi detektif yang mengendalikan kes pembunuhan tersebut yang memaklumkan kepada Mia bahawa Annabelle Higgins dan teman lelakinya menyertai kumpulan penyembah syaitan yang digelar Disciples of the Ram. Pembunuhan mereka juga merupakan satu upacara menyeru syaitan. Namun bagi detektif tersebut ia hanyalah perbuatan mengarut oleh orang-orang gila. Sejak dari itu Mia mula mencari buku-buku berkaitan demonology dengan bantuan rakan baiknya Evelyn, seorang pemilik kedai buku tersebut.

Kemuncak episod seram berlaku ketika Mia turun ke basement untuk membuang sampah. Ketika itulah dia terlihat kelibat syaitan yang memanipulasikan kegelapan, patung dan berbagai objek lagi untuk mencetuskan panik. Kelibat syaitan juga kini muncul di dalam rumah Mia. Mereka akhirnya memanggil Father Perez. Father Perez memaklumkan ada 2 orang pakar (Ed dan Lorraine Warren) dalam bidang tersebut namun mereka masih berada di luar kawasan. Justeru itu beliau berpendapat adalah lebih baik patung itu dibawa dan disimpan di gereja yang mungkin dapat mengurangkan penguasaan syaitan. Namun Father Perez cedera parah ditolak oleh entiti yang tidak kelihat sebelum sempat dia menjejakkan kaki ke gereja. John yang berkerja di hospital sempat bertemu Father Perez yang memberi amaran supaya anak dan isterinya diselamatkan kerana syaitan mahukan jiwa mereka. Tanpa paksaan tetapi melalui tipu daya.

Manakala Mia Form dan Evelyn dirumah telah diserang oleh kelibat yang menyerupai Father Perez, anak Mia disembunyikan dan berbagai-bagai ayat provokasi ditulis pada dinding-dinding. Ayat-ayat tersebut berkomunikasi dengan Mia. Syaitan inginkan Mia terjun dari tingkap jika mahu anaknya selamat. Ketika Mia cuba membunuh diri dengan melompat dari tingkap. John sempat menariknya. Namun, tanpa mereka sedari Evelyn telah mengambil tempat Mia dan melompat dari tingkap dan mati. Evelyn sebelum ini merupakan seorang wanita yang patah hati di atas kematian anak oleh kerana kecuaiannya. Evelyn sering berpendapat jangka hayatnya yang panjang ada tujuan tertentu. Mungkin itulah penyebab Evelyn sanggup berkorban untuk Mia. Leah kembali dijumpai, manakala patung tersebut lenyap begitu sahaja. Polis berpendapat ada orang mencurinya.

6 bulan selepas kejadian itu, seorang wanita ditunjukkan telah membeli anak patung tersebut disebuah kedai antik sebagai hadiah harijadi anaknya yang sedang menuntut di kolej jururawat. Ia berakhir disitu.

KISAH ANNABELLE SEBENAR

Kisah Annabelle yang dicatatkan ada bermula dari pembelian sebuah anak patung Raggedy Ann Doll oleh seorang wanita untuk dijadikan hadiah harijadi kepada anaknya, Donna yang sedang menutut jurusan kejururawatan. Donna tinggal bersama rakannya Angie disebuah apartment. Angie yang mula-mula sekali sedar sesuatu yang aneh mengenai anak patung tersebut. Sehinggalah akhirnya mereka berdua mula menyedari anak patung itu sering berubah tempat sendiri, pernah suatu ketika Angie mendapati patung tersebut berdarah. Rakan mereka Lou yang membenci patung tersebut penah bermimpi dicekik oleh patut tersebut. Manakala setiap kali mereka pulang bekerja, anak patung yang ditinggalkan di katil akan berada di ruang tamu. Sehingga akhirnya mereka bersetuju untuk membawa patung untuk ke suatu upacara séance yang mengatakan apartment yang mereka huni itu terdapat roh kanak-kanak bernama Annabelle Higgins yang berkeliaran sehinggalah mereka membawa anak patung tersebut. Roh Annabelle dikatakan tertarik untuk berdamping bersama Donna dan Angie kerana sifat mereka sebagai jururawat yang suka berbakti dan penyayang. Donnie dan Angie bersetuju untuk membiarkan Annabelle bersama mereka. Namun semakin pelik ganguan yang mereka alami terutamanya rakan lelaki mereka, Lou.

Akhirnya mereka mendapat perhatian Ed dan Lorraine Warren. Paderi dipanggil untuk menjampi serapah dan mereka mengambil patung Annabelle tersebut pulang untuk disimpan. Ed melalui penjelasannya mengatakan tiada roh manusia yang menghuni anak patung tersebut sebaliknya syaitan. Dan Ed juga mengatakan syaitan juga tidak merasuk anak patung, tetapi dia hanya mempergunakan anak patung itu supaya orang percaya roh kanak-kanak menumpang di dalamnya. Targetnya adalah jiwa Donna. Ed dan Lorraine Warren mengalami kesukaran membawa pulang anak patung tersebut ke rumah mereka dengan berbagai-bagai ganguan, begitu juga apabila di rumah mereka. Patung tersebut turut berubah-rubah dari bilik ke bilik sehingga Ed terpaksa memanggil seorang paderi Katolik untuk menjampinya. Paderi tersebut mengalami kemalangan parah sewaktu pulang dari rumah Ed. Akhirnya Ed membina sebuah kurungan khas kepada patung itu. Dan berpendapat syaitan tersebut masih ada disamping patung itu menunggu masa untuk bertindak semula.

Annabelle yang sebenar

Patung tersebut masih berada di Occult Museum milik mereka di Monroe, Connecticut yang kini diselenggara oleh menantu mereka, Tony Spera. Kisah patung Annabelle ini turut dijadikan ilham dalam penghasilan karekter patung Chucky dalam filem Child Play.

RUMUSAN

Banyak yang menilai filem ini sebagai biasa-biasa sahaja. Tetapi bagi saya kepada mereka yang tahu menonton genre ‘satanic cult’ akan merasakan ke-sempoi-an filem ini. Filem ‘satanic cult’ bukan seperti subgenre horror yang lain seperti makan budak, gigit kepala putus, mayat kejar orang dan sebagainya. Saya suka bagaimana paderi Perez menjelaskan bahawa syaitan yang muncul memanipulasi keadaan, bukan melibatkan roh sesiapa pun. Itu hanya sandiwara. Kalau dalam Islam pun, kita setuju dengan pandangan itu. Sebaliknya filem di Malaysia yang ditulis dan diarahkan orang Islam di Malaysia pula menghidangkan khurafat roh balas dendam. Oleh itu syabas Gary Dauberman yang merealisasikan hujah ini dalam filem barat.

Yang kedua, Gary Dauberman berjaya mengeksploit kisah patung Annabelle ini dengan olahan idea dia sendiri. Maknanya, cerita Annabelle yang direkodkan hanya ganguan pada dua orang jurururawat yang tidak melibatkan sebarang kematian. Dia menulis jalan cerita fiksyen sebelum dari kisah jururawat, ditambah drama pembunuhan, bunuh diri, trauma, dan sebagainya untuk lebih kesan. Pelakon utama, yang turut bernama Annabelle digunakan sebagai pelaris cerita ini. Penonton lebih emosi bila melihat wanita cantik dalam ditimpa musibah. Itu strategi antarabangsa.

Saya menonton filem ini di panggung wayang hari ini bersama 6 orang penonton lain. Suasana hening dan agak merisaukan. Hahaha.

Ahad, 12 Oktober 2014

AKSI REAKSI 2: DOKUMENTASI DUM DUM TAK


Industri muzik Malaysia masih belum trending dengan kemunculan autobiografi daripada pemuzik atau artis-artis tempatan. Jika ada pun, siapa mahu membacanya? Saya merasakan pemuzik seperti RAMLEE SARIP, M.NASIR, SHIELA MAJID, ELLA, AZMI BAHARI, JOE KIDD, layak mempunyai autobiografi. Autobiografi adalah sebuah dokumentasi perjalanan seni yang disunting oleh empunya badan sendiri.

Hebatnya DUM DUM TAK, sebuah kumpulan punk rock politikal dari ibu negara, mereka telah mempunyai buku perjalanan karier mereka sendiri walaupun ditubuhkan hanya pada tahun 2006. Dan tidak menghairankan juga, apabila seorang yang intelek seperti Nizang yang rajin menulis dan mendokumentasikan setiap gerak seni mereka berjaya menyunting buku sebegini buat kenang-kenangan dan rujukan kepada punk rocker tempatan baru atau lama. Ini kerana kerja yang tersusun kemas begini perlu dijadikan contoh, jika tidak pun, motivasi bagi untuk anda melakukan yang lebih baik lagi.

Pada mulanya saya hanya menyangkakan buku ini sekadar kerja ‘syok sendiri’ seperti yang dikatakan oleh penulis sendiri. Namun setelah membaca helai demi helai, banyak pula input-input yang ditulis bukan sahaja dari pandangan dan kenangan peribadi beliau, malah meliputi fakta dari kejadian semasa, perlakuan pengiat muzik punk, sejarah muzik punk dari kampung halaman beliau hinggalah ke zaman ke gemilangan Annexe Central Market. Sesuatu yang menarik dan membuatkan saya begitu leka serta santai membacanya.

Pada tahun 2006-09 saya masih berkerja di Kuala Lumpur dan pernah beberapa kali lepak di Bau Bau Café bersama Shammir, Basement Records. Rizzie (gitar) pernah menjadi tukang masak di Bau Bau Café dan Aiman (dram) pernah membantu Joe Kidd menguruskan kedai punk, The Ricecooker yang terletak bertentangan Bau Bau Café. Tetapi ketika itu saya langsung tidak pernah mendengar nama Dum Dum Tak.

Dipengakhiran buku ini dimuatkan temubual-temubual pilihan antara anggota Dum Dum Tak bersama zine-zine dan stesen radio. Manakala prakata buku ini ditulis oleh Hishamuddin Rais, blogger kontroversi Tukar Tiub yang merupakan penyokong tegar mereka.

Buku ini dicetak secara professional oleh Alternatif Press pada 2013 dalam saiz yang comel serta dimuatkan beberapa foto dan flyers yang bersejarah.

Saya tidak pasti akan harganya kerana naskah ini dihadiahkan oleh Nizang. Sila ke blog mereka;

http://dumdumtak.blogspot.com

USRAH DAN DA’WAH: AL IMAM HASSAN AL BANNA


Buku ini diterbitkan pada tahun 1979, merupakan petikan dari sebahagian tulisan al Imam Hassan al Banna bertajuk “Nizamul Amru Wa Risalatutta’aim”.

Buku ini tidaklah setebal mana pun, hanya 5o mukasurat dengan harga RM3.50. Tetapi apa yang disampaikan dan segala amanat dan nasihat terkandung di dalamnya begitu tinggi nilainya. Saya mengalirkan airmata membacanya. Begitu lemah pergorbanan saya terhadap pengakuan iman ini.

Buku ini harus dimiliki dan dibaca oleh setiap orang yang ingin bergelar pendakwah. Bukan hanya kaki kongsi perihal mengarut dan sensasi tentang gerakan da’wah di laman sosial. Da’wah itu memerlukan pengorbanan bukan hanya pertarungan jari-jemari papan kekunci.

Al Imam Hassan al Banna dilahirkan pada tahun 1906 di Mesir. Pada usia 12 tahun beliau menjalani latihan di badan “Jama’ah Al Suluk Al Akhlaki” yang diantara kegiatan badan ini ialah mengenakan tatatertib dalam bentuk denda/hukuman pada ahlinya yang mengeluarkan kata-kata cacian dan maki hamun kepada ahlinya atau perbuatan yang menyalahi agama. Ia antara faktor membawa keperibadian mulia kepada beliau. Pada tahun 1922 beliau menjadi ahli Jamaatul al Safiah yang berjuang memelihara prinsip akhlak Islam dan menentang gerakan missionary Kristian di Kaherah. Ketika itu beliau banyak dipengaruhi ajaran al Imam al Ghazali.

Dikenali dengan seorang yang rajin dalam pelajaran, luasa pandangan, gemar ilmu tasawuf, sejarah Rasullulah SAW, dan kisah perjuangan pahlawan yang mempertahankan tanah air dan agama. Pada 1923 di usia 16 tahun beliau memasuki Darul Ulum, satu yayasan yang merupakan institusi pengajian tertinggi ketika itu merangkumi pengajian tradisional dan akedemik moden. Maka beliau sebagai seorang anak desa yang intelek jelas melihat pergolakan parti politik dan aliran-aliran yang menentang agama dicetuskan oleh gerakan Kamal Artaturk.

Dari kebimbangan itu beliau mula giat berdakwah dengan mengaturkan ceramah-ceramah agama bukan sahaja di masjid-masjid tetapi disegala macam tempat terutamanya kedai-kedai kopi. Usaha berdakwah di kedai-kedai kopi itu telah membawa hasil yang amat besar sekali. Malah hubungan dan sokongan terhadap beliau semakin bertambah.

Setelah mendapat ijazah dari Darul Ulum dan berkhidmat sebagai guru, beliau membawa kaedah berdakwah di kedai kopi yang dilakukannya di Kaherah ke bandar Ismai’liah. Akhirnya pada Mac 1928 beliau telah menubuhkan organisasi Al Ikhwan Muslimon yang akhirnya berkembang pesat dan subur di Kaherah. Pada tahun 1948 Al Ikhwan Muslimon telah diharamkan oleh pemerintah Al Nukrasyi dari parti al Sa’di kerana dituduh merancang pemberontakan menumbangkan kerajaan. Cawangan-cawangan Al Ikhwan Muslimon ditutup dan harta bendanya di sita. Mereka dituduh sebagai musuh ketat negara yang cukup lengkap dengan persediaan senjata, hospital-hospital, sekolah-sekolah, kilang-kilang dan syarikat perniagaan yang kukuh.

Pada waktu Zohor 12 Februari 1949, al Imam Syed Hassan al Banna telah ditembak dan meninggal dunia di hospital oleh polis rahsia kerajaan kerana menuntut bela atas kematian Perdana Menteri yang telah dibunuh oleh seorang mahasiswa yang bertindak atas daya usahanya sendiri kerana marahkan pembubaran Al Ikhwan Al Muslimon.

Berikut saya petik sedikit perutusan beliau;

LANDASAN

“Orang-orang yang menyampaikan risalah Tuhannya (Allah) dan takut hanya kepadaNya tidak kepada yang lain, cukuplah Allah sebagai penghitung segala amal dan makhluknya” – Q.S Al Ahzaab: 39

“Katakanlah! 
Hanya sebuah wasiatku kepadamu, Iyalah, kamu akan menghadap kepada Allah berdua-dua dan sendiri-sendiri. Kemudian renungkanlah dalam-dalam. Tidak ada sifat gila pada sahabat kamu itu (Muhammad). Dia hanyalah seorang pembawa peringatan buat kamu dihadapan adzab yang pedih.

Katakanlah! 

Upah yang kuharapkan dari kamu adalah buat kamu. Balasan jasa buatku terserah kepada Allah, kerana Dia menyaksikan segala sesuatu.

Katakanlah! 

Sesungguhnya Tuhanku yang Maha Mengetahui perkara ghaib mewahyukan kebenaran kepadaku.

Katakanlah! 

Telah datang kebenaran, dan kepalsuan tidak akan memulai sesuatu untuk mengalahkan kebenaran dan tidak akan boleh mengembalikannya.

Katakanlah! 

Jika aku sesat, maka kesesatan itu buat diriku sendiri, dan jika aku terpimpin, maka itulah wahyu dari Tuhanku, sesungguhnya Dia Maha Mendengar yang dekat." – Q.S Saba’: 46-50.

ENAM PEGANGAN

1. Agama hanya akan dapat dirasakan oleh orang yang menegakkan ia dalam dirinya.

2. Bahagia dan sa’adah hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keyakinan, kebenaran dan keadilan.

3. Kemenangan dan kejayaan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban, kuat menahan penderitaan dan kepapaan.

4. Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya diberikan kepada mukmin yang mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

5. Berdirilah dengan keyakinan dan berjuang, kerana makna dan guna hidup terletak pada keyakinan dan perjuangan.

6. Belajarlah memfanakan diri. Gunakan untuk kepentingan cita dan agama.

Jumaat, 10 Oktober 2014

THE HOMESMAN (2014)


Cuti sempena Aidil Adha ini banyak saya habiskan dengan menonton filem. Maklumlah baru mula nak bercuti. Orang lain dah mula masuk kerja.

Filem yang diadaptasi dari novel dengan tajuk yang serupa, mengisahkan seorang wanita Mary Bee Cuddy (lakonan Hilary Swank) dari sebuah komuniti gereja Methodist di Nebraska yang ditugaskan membawa 3 wanita kurang siuman ke sebuah gereja di Iowa, bagi dikembalikan kepada keluarga masing-masing. Miss Cuddy seorang wanita yang mempunyai gaya hidup sistematik, berpegang teguh pada agama namun tiada lelaki yang mahu mengahwininya walaupun dia mempunyai harta dan rajin. Kebanyakan lelaki menganggap Miss Cuddy seorang yang bossy.

Kisah zaman koboi ini saya sangka akan mempunyai aksi liar seperti filem-filem Clint Eastwood, sebaliknya filem ini sarat emosi. Tiga orang wanita yang akan dihantar pulang ke kampung mereka tersebut masing-masing mempunyai kisah hitam dalam keluarga, boleh dikatakan dalam istilah kita ‘gila meroyan’. Ketika Miss Cuddy pergi mengambil kereta kuda yang diubahsuai dari gerabak keretapi yang ditempah oleh pihak gereja, dia terserempak dengan seorang tua yang gantung di sebatang pokok di atas kuda. Kaedah membunuh cara koboi, apabila kuda itu lapar, ia akan bergerak meninggalkan tuannya terjerut dipokok.

Lelaki tersebut, George Briggs (Tommy Lee Jones) seorang misfit yang bergendelangan membuat masalah serta tempat telah diberi peluang oleh Miss Cuddy untuk hidup lagi jika dia mahu berkhidmat dengannya. Briggs bersetuju dan berjanji akan menemani Miss Cuddy dan membantunya menghantar 3 wanita itu ke Iowa. Briggs turut dijanjikan dengan bayaran 300 dollar jika tidak melarikan diri. Upah yang begitu lumayan ketika itu.

Perjalanan mereka mencecah hampir sebulan dan melalui berbagai-bagai rintangan cuaca, red Indian, penculik, begitu juga karenah tiga wanita gila tersebut. Briggs bagaimanapun berpegang pada janjinya hingga menyebabkan Miss Cuddy mula menyimpan harapan pada lelaki tua yang kusut masai tersebut. Suatu malam Cuddy melamar Briggs untuk dikahwini dengan sepenuh harapan. Tetapi si tua kerepot tersebut menolaknya mentah-mentah, menyebabkan hati Cuddy hancur luluh dan hilang pedoman. Dengan tiba-tiba pada malam itu juga Cuddy menyerahkan maruahnya kepada Briggs.

Bagaimanapun keesokan harinya, Miss Cuddy didapati telah mengantungkan dirinya di pokok. Ironinya, dia yang menyelamatkan Briggs ditali gantung tetapi hari ini dia yang membunuh diri. Briggs yang terkejut dengan kejadian itu, menyalahkan tiga wanita gila tersebut. Setelah mengkebumikan Cuddy dihutan dan mengambil wang-wangnya. Briggs meninggalkan wanita-wanita gila tersebut di hutan tanpa sedikit pun sesal. 


Namun setelah beberapa jauh, ketiga-tiga wanita tersebut tetap mengikut Briggs yang menyebabkan dia simpati dan berubah fikiran lalu meneruskan perjalanan membawa mereka kembali ke Iowa sehingga sampai ke destinasinya. Tiba di sana Briggs menceritakan kejadian tersebut pada pihak gereja dan mendermakan semua kuda-kuda, gerabak kepada pihak gereja. Dia berfoya-foya dengan duit upahnya. Briggs merahsiakan kejadian Miss Cuddy membunuh diri sebaliknya mengatakan Cuddy mengalami demam panas dan meninggal dunia. Dalam masa yang sama, Briggs sedar dia dan seluruh dunia telah mempersia-siakan seorang wanita yang sempurna seperti Cuddy.

Tetapi Briggs tetap Briggs seorang yang tiada kesal setelah berjumpa botol whiskey.

Filem ini diarahkan oleh Tommy Lee Jones sendiri, sebuah lagu runut bunyi dipersembahkan oleh beliau sendiri dan dibiayai oleh Luc Besson, penulis merangkap pengarah yang terkenal dengan genre sci-fi.

Bintang: 4/5

Khamis, 9 Oktober 2014

THE EQUALIZER (2014)


Denzel Washington memainkan watak sebagai Robert McCall, pemalsuan identiti seorang pesara komando Black Ops yang memencilkan diri sebagai pekerja am di sebuah gudang perkakasan rumah. Rutin hidupnya yang tenteram selama ini, berdisplin, sederhana serta obses dengan ketepatan masa terganggu apabila seorang gadis Russia dikejiranan dalam ancaman. Mulanya McCall hanya menganggap Alina seperti kebanyakan gadis lain yang datang ke Boston untuk mengejar cita-cita dan terpaksa mengadai maruah demi mencari nafkah. Di suatu malam McCall sedar Alina telah diperangkap oleh sindiket pelacuran mafia dari Russia.

Apabila Alina yang telah dipukul teruk oleh mafia kerana enggan melayan pelanggan. McCall dengan mengunakan wang simpanannya cuba untuk menebus Alina supaya dibebaskan. Namun ketua mafia, Slavi enggan menerima jumlah hampir USD10 ribu tersebut kerana Alina masih muda dan boleh mengaut lebih banyak keuntungan menyebabkan McCall terpaksa membunuh Slavi. Pantas, bersih dan tanpa sebarang bukti. Polis menganggap ia sebagai perbalahan gangster merebut kawasan. 


Tanpa McCall sedari mafia yang dibunuhnya mempunyai hubungan diplomatik yang sangat kuat dan dibawah kendalian Godfather di Russia bernama Pushkin. Orang kanan beliau, Nikolai, seorang bekas polis risikan khas Russian Spetnaz yang kejam telah dihantar ke U.S bagi menyiasat dan mengambil alih kegiatan mafia tersebut. Maka, bermulalah babak-babak pertarungan old-school yang perlu anda tonton. Dari pertarungan kombat tangan kosong, kemusnahan besar-besaran, hinggalah membunuh dengan gerudi elektrik. McCall walaupun berkali-kali ditanya oleh sesiapa pun akan berdiam diri, penontonlah yang menyahut “The Equalizer” di cinema oleh kerana jasanya menstablikan keharmonian kejiranan yang dihuninya.

Denzel Washington bergabung semula dengan Antoine Faqua (pengarah Training Day) yang memang tidak pernah kering idea dalam genre pesara komando/polis dan konspirasi politik seperti ini. Hairan juga kenapa filem Denzel Washington bersama Mark Wahlberg, 2 GUNS sebelum ini yang padat dengan aksi lasak dan jalan cerita yang mencabar juga tidak begitu ‘meletup’ di cinema?! 

The Equalizer adalah adaptasi dari siri TV 80-an.

Bintang: 4/5