Jumaat, 22 Ogos 2014

THOR 2: THE DARK WORLD (2013)


Percaturan Warner Bros untuk memfilemkan karektor-karektor komik mereka nampaknya menjadi seperti yang dirancang dan membuahkan pulangan ratusan ribu dollar bak saham yang sedang meletup. Dari satu persatu; Hulk, Ironman, Thor, Captain America, The Avengers, manakala S.H.E.I.L.D dipanjangkan dalam bentuk siri TV mendapat tarikan jutaan penonton. Kesinambungan setiap filem-filem itu, kesemuanya bukan mudah-mudah untuk menemui titik noktah. Warner Bros akan mengumpul duit, duit dan duit mungkin untuk selama-lamanya.

Saya bukanlah peminat wayang Jula Juli Bintang Tujuh, malah saya menganggap hikayat kedewaaan hanyalah mitos. Tetapi setelah menonton THOR, timbul pula keinginan untuk melihat kesinambungan THOR 2: The Dark World dari segi nilai kesenian dan kreativiti jalan penceritaan.

Bagi yang belum menonton THE AVENGERS, anda harus menontonnya terlebih dahulu, kerana jalan cerita THE AVENGERS (kombinasi superhero yang diilhamkan oleh direktor S.H.E.I.L.D Nick Fury bagi menentang ancaman kepada bumi) telah dicanang kemas selepas Captain America. Jika anda terlepas Captain America dan The Avengers ia pasti menjejaskan pemahaman anda terutamanya pada plot-plot jenaka yang dimuatkan.

Dinaratifkan ribuan tahun (millennia) yang lalu, angkasaraya dikuasai kegelapan yang dihuni oleh Dark Elves diketuai Malekith (dilakonkan oleh aktor hebat Mark Strong, dia ni selalu memang watak muslim). Malekith dari dunia yang dikenali sebagai Svartalfheim tidak mahu berkongsi alam semesta ini dengan makhluk lain dan merancang untuk mengunakan senjata jenis cairan yang sangat berkuasa digelar Aether. Datuk kepada Thor, King Bor yang memerintah Asgard dan penjaga Nine Realms (umpama 9 cosmos) ketika itu berperang habis-habisan menentang Dark Elves dan akhirnya berjaya mencuri Aether yang menyebabkan kekalahan Malekith seterusnya mereka melarikan diri dan berhibernasi disuatu dimensi tersembunyi. Kuasa Aether yang terlalu hebat tidak dapat dimusnahkan, akhirnya senjata itu dibenamkan ke satu tempat yang dalam dan rahsia. Kisah Dark Elves umpama mitos di Asgard.

Ok, kembali ke bumi, lebih tepat London. Dr. Jane Foster baru pulih dari angau tergilakan Thor dan kecewa ditinggalkan. Jane sedang cuba untuk mencari cinta baru tetapi dikejutkan dengan fenomena luar biasa yang dikesan alat-alat kajian beliau. Manakala Dr. Erik Selvig yang pernah dipergunakan Loki untuk mencipta portal membawa tentera Chitauri ke bumi (rujuk The Avengers) menjadi taksub dengan penemuan fenomena luar biasa tersebut dan berjaya merungkai jawapannya. Namun beliau telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam hospital sakit mental. Loki sebagai penjenayah yang banyak mengorbankan manusia di New York (rujuk The Avengers) telah ditangkap dan dihukum penjara seumur hidup di Asgard.

Hendak dijadikan cerita ketika meninjau di tapak penemuan aktiviti paranormal itu, Jane telah ditarik ke dimensi lain, tempat rahsia yang menempatkan Aether. Seterusnya Aether menyerap masuk ke dalam tubuh Jane sebagai hos. Saat Aether berjaya menyerap kedalam tubuh Jane, Malekith dan tentera-tenteranya kembali bangun setelah kuasa itu menyeru mereka. Thor yang sebelum ini sibuk dengan tugasnya sebagai dewa perang yang ditugaskan untuk mengembali keamanan ke seluruh Nine Realms menjadi cemas kerana dengan tiba-tiba Jane hilang dari radarnya. Thor bingkas turun ke London dan mendapati Jane dalam keadaan celaru serta memiliki kuasa luar biasa. Thor membawa Jane pulang ke Asgard untuk dirawat dan mendatangkan kemurkaan ayahnya Odin.

Akhirnya Odin sedar kuasa Aether telah merasuk Jane dan tanpa mereka sedari, Malekith dan bala tenteranya telah sampai di Asgard dan menyerang habis-habisan untuk mendapatkan Jane. Frigga, Dewi Asgard yang juga ibu kepada Thor terbunuh kerana mempertahankan Jane. Malekith juga cedera dipanah petir kerana kekuatan beliau belum pulih. Dark Elves merancang serangan seterusnya.

Namun Thor telah mengambil keputusan berkerjasama dengan adik gilanya Loki untuk membalas dendam. Loki yang mempunyai kuasa penyamaran dan tipu helah serta mengetahui portal rahsia untuk ke Svartalfheim dilihat sebagai kelebihan untuk melancarkan skirmish dengan mengunakan umpan Jane.


Manakala bumi dan alam semesta kini sedang mengalami kejadian-kejadian pelik ini kerana 9 Realms sedang berada dalam kedudukan selari yang menyebabkan pertindihan portal yang memberi kelebihan pengangkutan, komunikasi, dan sebagainya. Malah hubungan telefon bimbit boleh berlangsung antara Svartalfheim dan bumi. Fenomena ini hanya berlaku setiap 5000 tahun.

Pertarungan di Svartalfheim berjaya membebaskan Jane dari kuasa Aether, namun Malekith berjaya merampas semula kuasanya manakala Loki terbunuh. Thor walaupun sedih amat berbangga dengan pengorbanan Loki, yang mana dia tidak sedar Loki telah mempermainkannya dengan kemahiran sihir hologram.

Ketika Thor dan Jane ke bumi untuk menumpaskan Dark Elves, Loki pula kembali ke Asgard merampas tahta dari Odin dan mengunakan kuasanya merubah fizikalnya kepada bentuk Odin semata-mata mahu menjadi dewa yang mengusai 9 cosmos. Thor dengan bantuan Dr. Erik Selving dan alatan saintifiknya berjaya menewaskan Malekith dengan konsep yang hampir sama dengan The Avengers/ Transformers/ Spacecop Gaban dan lain-lain filem yang melibatkan kejahatan dari ruang angkasa.

Bantuan jenaka dari Darcy, (pembantu Jane) berjaya menceriakan suasana. Kadang-kadang anda tertanya-tanya dimanakah The Avengers ketika itu?

Bintang: 3/5

Pengaruh Thor dalam metal: rujuk muzik Einherjer, Amon Amarth, Enslaved, Thor's Hammer, Thyrfing, Forefather, Kampfar, Turisas, Unleashed atau yerp.. band tempatan Ravenlord.

Selasa, 19 Ogos 2014

ESCAPE PLAN (2013)


Filem genre ‘melarikan diri dari penjara’ yang merupakan kegemaran saya sepanjang zaman adalah LOCK UP, yang kali pertamanya saya tonton dalam Dunhill Blockbuster ketika masih sekolah rendah. Ia masih segar diingatan dan simpati saya pada watak Sly masih menebal. Hehehe.

Hukum untuk menonton Sly melarikan diri dari penjara untuk filem ini HARUS bagi saya. Stallone sebagai Ray Breslin adalah bekas pendakwaraya yang menukar kerjayanya setelah sebuah peristiwa hitam berlaku padanya. Penjenayah yang didakwanya telah melarikan diri dan menyebabkan kecelakaan pada isteri dan anaknya. Trauma dan terdorong dengan peristiwa itu, Breslin telah mempelajari kemahiran-kemahiran survival dan beladiri seterusnya menubuhkan firma khusus untuk memastikan setiap penjara anti-bolos. Ray Breslin telah diberikan mandat oleh jabatan koreksional persekutuan untuk membuat analisis kawalan penjara-penjara yang mana beliau akan diberi identiti palsu, menyamar sebagai penjenayah dan cuba membolosi setiap penjara yang ditugaskan. Obsesi Breslin untuk memastikan setiap penjenayah tidak dapat bolos membuatkan dia terkenal dan satu-satunya jurutera dalam bidang ini.

Suatu hari seorang peguam kononnya dari pihak CIA datang ke firma Ray dan membida satu kontrak bernilai USD5 juta agar Ray membolos sebuah prototaip penjara paling hebat kawalannya di dunia. Ray akan diberi sebuah kata kunci pembebasan jika berputus asa untuk melarikan diri dari penjara tersebut. Namun polisi firma Ray tidak digunapakai. Kerajaan tidak akan kontrak keselamatan, melarang Ray berhubung dengan kakitangan nya dan maklumat lokasi penjara tidak boleh dinyatakan kerana fungsi penjara itu bersifat melenyapkan terus hubungan penjenayah dengan dunia luar.

Apa yang Ray tidak tahu, rakan kongsinya Lester Clark telah memerangkapnya. Penjara yang dipanggil The Tomb itu dianggap anti-bolos dan mendapat kelulusan kerajaan dan terjual untuk negara-negara lain jika Ray tidak dapat keluar dari penjara itu. Malah rakannya telah besekongkol dengan warden penjara Mr. Hobbes agar tidak melapaskannya walaupun Ray telah memberikan kata kunci pembebasan kerana sudah tidak tertanggung lagi didera. Lester Clark dijanjikan bayaran USD5 Juta setahun jika Ray menghabiskan usianya dalam The Tomb. Ironinya, penjara yang dihuni Ray adalah rekaanya sendiri.


Seperti kata azimat filem ini, “No One Breaks Out Alone”, Ray dibantu oleh Arnold Schwarzenegger (juga seorang agen menyamar) dan Faran Tahir (Taiko dadah Muslim bernama Javed) dan Sam Neill (doktor bertugas yang mula sedar penganiayaan yang dilakukan kepada Ray Breslin setelah menemui buku karangan Ray dibilik warden, yang mana Ray dengan tepat memberi isi kandungan dan mukasurat sewaktu mendapat rawatan di biliknya).

Sly dan Arnie berjaya melarikan diri manakala Javed terbunuh ketika rusuhan berlaku dibabak akhir. Sly berjaya membunuh nemesis nya dan kembali membalas perbuatan Lester Clark. Watak rapper 50 Cent sebagai staff Ray Breslin sesuai dengan namanya. Watak 5 kupang sahaja.

Bintang: 4/10

Sabtu, 16 Ogos 2014

THE ART OF THE STEAL (2013)


Saya berpendapat filem tulisan dan arahan Jonathan Sobol ini adalah karya agung. Jika anda pengemar filem yang mempunyai jalan cerita yang sentiasa berkembang dan berakhir dengan kesudahan yang tidak disangka-sangka. Anda pasti sukakan filem ini. The Art of The Steal seperti tajuknya mempunyai rangkaian teka-teki, jenaka bersahaja dan senarai aktor-aktor yang berbakat tinggi seperti Jay Baruchel, Matt Dillon, Terence Stamp, Jason Jones dan ramai lagi.

Buat kali keduanya aktor veteran, Kurt Russell melakonkan watak pelagak ngeri yang mana sebelumnya sebagai pembunuh psiko bernama Stuntman Mike dalam filem DEATH PROOF. Filem ini mengisahkan Crunch Calhoun yang disabotaj oleh adik tirinya Nicky dalam satu projek mencuri lukisan di Poland. Setelah keluar penjara Crunch menjadi stuntman di fun fair dan akhirnya merancang untuk mencuri sebuah kitab setelah bertemu semua dengan Nicky.

Saya rasa rugi jika saya membocorkan jalan ceritanya. Elok anda tonton sendiri The Art Of The Steal jika anda suka plot-plot seperti Ocean Eleven. Tetapi itu perompak yang mengunakan modal yang besar, kumpulan Crunch hanya mengunakan helah dan kekuatan ikatan persahabatan. Sesuai untuk riadah keluarga.

" hanya artis yang hebat dapat mencipta konspirasi yang sempurna..."

Bintang: 4.5/5

DIVERGENT (2014)


Filem dystopia ini sebuah karya yang ringkas namun mempunyai mesej yang kuat terhadap politik dunia ketika ini. Divergent sesuai bagi mereka yang berfikir luar dari konteks kerana aksi-aksi yang dipaparkan sebagai hiburan ringan sahaja. Divergent boleh dikatakan sebuah usaha memartabatkan liberalism yang memberi ruang kebebasan untuk berhak dalam segala perkara termasuk agama. Agama bukanlah sesuatu yang diperlukan lagi. Ia hanya sebuah nilai yang boleh dituruti juga suka atau ditolak jika bosan.

Mengisahkan sebuah kota di masa hadapan yang mana pemerintahnya menentukan segalanya bagi menjaga keharmonian sejagat. Malah terdapat sebuah tembok pemisah antara metropolitan itu dengan dunia luar yang mana rakyatnya tidak perlu ambil pusing apa yang berada diluar tembok itu. Rakyatnya pula terbahagi kepada 5 kelompok yang mempunyai tugas dan fungsi masing-masing. Mereka akan bertugas dan berkhidmat seperti yang diajar dan diarahkan setiap hari hingga ke akhir hayat. Mereka yang tidak serasi dengan mana-mana kumpulan akan disisihkan dan menjadi puak gelendangan.

Kisahnya bertukar cemas apabila seorang remaja perempuan Triss Prior tidak termasuk dalam mana-mana kumpulan tersebut yang dipanggil Divergent. Divergent merupakan mereka yang bijak, mempunyai kendiri yang tinggi dan dapat menentukan keputusan sendiri serta mampu berdikari. Inilah yang merisaukan kerajaan. Mereka ini berani bangkit mempersoalkan hak, mengkritik dan memberontak.


Seperti yang berlaku di Malaysia, kerajaan Barisan Nasional yang menguasai tapuk pemerintahan takut dengan kelompok begini, mereka akan cuba mengekalkan keadaan yang telah sedia ada, jika rakyat bodoh dan lembab tetapi keadaan tetap harmoni, biarlah berlaku korupsi dan kegawatan ekonomi, langkah untuk mengekalkan kuasa dan keadaan selesa buat pemerintah akan dilaksanakan. Mereka tidak mahu rakyat banyak tanya, banyak komplen, banyak permintaan. Namun, saya merasakan begitu juga jika parti pembangkang seperti PAS atau PKR yang menguasai negara, pasti keadaan yang selesa buat mereka akan turut diperjuangkan bagi mengekalkan kuasa biarpun rakyat menjadi tidak produktif dan menjadi mangsa.

Seperti kata Kate Wisnslet pada akhir babak pergelutan dengan Prior “seperti mana kamu sanggup mati memperjuangkan apa yang kamu rasa betul. Begitu juga saya”. 

Bintang: 3/5

SABOTAGE (2014)


Apabila Sly (Sylvester Stallone – idola saya! :)) tidak henti-henti memerah idea untuk mewujudkan The Expandables dan produktif dengan kerja seni wayangnya. Tuan Gabenor nampaknya cuba untuk turut kembali aktif sebagai hero aksi lasak. Penerbit nampaknya cuba untuk mengunakan formula yang sama bagi mengilap semula hero-hero tua mengunakan kaedah Sly. Bintang veteran dijadikan ketua sesuatu kumpulan menentang penjenayah tanpa batas dan penuh gaya. Tetapi ia kurang menjadi bagi Arnold Schwarzenegger. Kemunculan beliau setakat ini hanya sesuai sebagai pelakon pembantu sahaja. Begitu juga filem ini. Walaupun penerbit dan pengarah telah cuba mengumpulkan sebuah kumpulan yang cuba diolah setiap karekternya sehabis baik, lasak dan samseng. Ia nampak murah, selekeh dan tidak aggressif. Jika dulu kita mengkritik apabila Sly menghidangkan kita episode pertama The Expandables kerana seolah-olah kurang berbisa. Kini setelah muncul filem-filem hero veteran seperti ini, kita dapat rasakan The Expandables adalah antara hasil terbaik Sly di usia emas ini. Sabotage tidak sesekali boleh menandinginya.

Jika anda seorang metalhead, hasil kerja Stallone dan Arnie boleh disimpulkan seperti hasil kerja Ariffeen Shyaithan dibandingkan dengan kerja Jaie Jokhannaz lah!. Mudah cerita! Haha!

Sabotage diolah dengan sedikit twist yang mana Arnie mengetuai sebuah kumpulan elite DEA menumpaskan drug cartel. Dalam satu operasi menyerahkan taikun dadah kepada pihak berkuasa Mexico, kecuaian mereka telah menyebabkan taikun itu terbunuh dan mengakibatkan anak serta isteri Arnie dibunuh kejam sebagai membalas dendam.

Dalam satu operasi menumpaskan drug cartel Arab, Arnie dan kumpulannya telah mencuri AS10 juta dan mendapati seseorang dari mereka telah membelot dengan mangambil wang itu terlebih dahulu dari paip pembentungan dibawah rumah agam penjenayah Arab itu. Bermula dari situ seorang demi seorang ahli kumpulan mereka mati kerana selisih faham dan tuduh menuduh. Akhirnya rahsia kehilangan duit itu terjawab apabila Arnie sendiri memberi tahu ahli kumpulannya yang terakhir dan membunuhnya, bahawa beliau lah yang mensabotaj ahli kumpulannya sendiri demi menuntut bela kematian anak dan isterinya. Arnie mengambil wang tersebut untuk membeli/merasuah pihak berkuasa Mexico bagi mendapat maklumat mengenai pembunuh isteri dan anaknya. Aksi penutup semestinya adegan ala cowboy. Arnie seorang lawan semua penjenayah dalam sebuah bar di pekan Mexico.

Pujian harus diberikan pada aksi tembak menembak yang nampak realistik dan mendebarkan. Itu sahaja.

Bintang: 2/5

Jumaat, 15 Ogos 2014

THE WOLF OF WALL STREET (2013)


Filem ini wajib tonton kerana lakonan cemerlang dan garapan ceritanya adalah genius. Saya menontonnya sebanyak 3x kerana kekaguman pada jalan cerita dan kehebatan watak Jordan Belfort bawaan Leonardo DiCaprio. Leonardo menggondol Anugerah Golden Globes kategori Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem ini.

Filem ini mengisahkan seorang pemuda Jordan Belfort (dari kisah benar Jordan Belfort sendiri) yang memulakan kariernya di Wall Street sebagai broker saham pada awal 90-an. Belfort dari seorang yang naïve mendapat tunjuk ajar dari mentor nya bagaimana untuk berjaya dalam perkerjaan yang memerlukan hubungan pelanggan yang tanpa henti, kemahiran komunikasi dan menipu serta kaedah menangani stress: dadah, onani dan orgy (parti seks), yang mana ia menjadi ketagihan dan punca kejatuhan beliau. Karier Belfort musnah dihari pertama beliau mendapat lesen menjadi broker di Wall Street akibat taikun kewangan dunia, Rothchild (beberapa pendapat Islam & Yahudi menganggap beliau agen Dajjal) menutup saham-saham nya. Belfort akhirnya mendapat kerja di sebuah firma kecil dan kerana ketekunan dan kecekapan beliau menjana pendapat melalui penipuan beliau akhirnya mempunyai firma sendiri. Firma beliau ditakbir dengan kaedah luar biasa seterusnya menjadi perhatian FBI kerana sering menganjurkan parti liar apabila mendapat keuntungan besar, bebas melakukan seks dan pengunaan dadah didalam pejabat dan akhirnya terlibat dalam pemerdagangan mata wang. Sejak itu beliau dikenali sebagai The Wolf. 


Belfort akhirnya kecundang disebabkan ketagihan seks, dadah dan kegagalan mengurus kakitangan yang merupakan rakan-rakannya.

Awas The Wolf of Wall Street tidak sesuai langsung untuk ditonton bersama kanak-kanak atau bersama keluarga. Ia dikategorikan sebagai sebuah ‘komedi hitam Amerika’ mempunyai banyak adegan blowjob, doggie, OT, malah turut memaparkan babak Belfort menyedut kokain dilurah punggung seorang pelacur. Filem ini dinobatkan antara yang paling banyak mengunakan perkataan ‘fuck’ di dalam skripnya.

Kontroversi muncul disebalik kejayaan filem ini kerana penerbitnya Riza Aziz yang merupakan anak tiri kepada Perdana Menteri Malaysia telah membelanjakan USD100 juta (RM326 juta) bagi pembikinan filem ini, termasuk tuduhan sebuah ‘portal pro-pembangkang’ yang mendakwa kos itu dibiayai oleh ibunya. Berita itu mencetuskan kritikan terhadap Perdana Menteri yang sering menyeru rakyat Malaysia untuk berbelanja dengan bijak dan berhemah berikutan meningkatnya harga bagi beberapa barangan sejak tahun lalu.

Bintang: 5/5

A MILLION WAYS TO DIE IN THE WEST (2014)


Saya membeli DVD ini hanya kerana Liam Nesson. Dan kali terakhir saya menonton filem yang dibintangi beliau adalah Non-Stop yang boleh dikatakan ‘hanya’ gabungan dan perkembangan kembara watak polis/agen super yang dilakonkan beliau sebelum ini. Dari watak-watak mahaguru dan dewa yang dilakonkan beliau dengan cemerlang (malah Micheal Bay meminta juru animasi beliau mengolah ‘bahasa tubuh’ Optimus Prime dalam Transformers meniru gaya Liam Nesson) beliau dibayar melakonkan watak Clinch Leatherwood dalam A Million Ways To Die In The West iaitu sebagai, penjenayah terkenal dan penembak paling tepat pada ketika itu.

Liam Nesson mendapat hidayah memeluk Islam setelah kembali dari Turki dari rakaman filem Taken # 2pada tahun 2012. Tetapi beliau memilih bersikap sederhana dan tidak terlalu membicarakan kepada media dalam akidahnya mungkin kerana sudah masak dengan propaganda Hollywood apabila bintang-bintang mereka memilih Islam berdasarkan karier beliau yang dibayangi taikun-taikun perfileman Yahudi.

Filem ini digarap dan diarahkan oleh Seth Macfarlane yang juga memegang watak utama sebagai Albert Stark, pengembala biri-biri dalam sebuah pekan di Arizona. Filem komedi aksi yang berlatarbelakangkan zaman Cowboys di tahun 1882 ini tidak sesuai untuk tontonan keluarga kerana dialog-dialog yang kurang sopan dan babak-babak yang tidak bermoral. Iyalah, zaman wild west. Albert Stark digambarkan satu-satunya manusia yang baik budi ketika itu, membenci keganasan, pencinta sejati, dalam erti kata lain naïve. Dalam satu pergaduhan yang berlaku di Saloon, Albert telah menyelamatkan Anna (Charlize Theron) dari dihempap dua lelaki yang jatuh ketika bergaduh, seterusnya mereka berkawan rapat. Albert yang ketika itu ditinggalkan kekasihnya kerana memilih jejaka kaya dan bermisai (misai adalah status ketika itu) banyak menghabiskan masa bersama Anna. Beliau tidak tahu bahawa Anna adalah isteri kepada Clinch Leatherwood yang diarahkan bersembunyi di situ. Sehinggalah kedua-duanya jatuh cinta da perkara itu dapat dihidu oleh Leatherwood yang sedang menjalankan aktiviti rompakannya di daerah lain. 


Jalan ceritanya mudah tetapi jenaka-jenaka kasar di dalamnya yang membuatkan ia tidak mesra keluarga. Edward lakonan Giovanni Ribsi, rakan baik kepada Albert misalnya seorang tukang kasut yang bercinta dengan seorang pelacur bernama Ruth di Saloon. Edward akan menunggu Ruth melayan 10-15 pelanggan sehari dengan hati yang terbuka setiap hari untuk keluar temujanji. Dalam satu babak, Edward berjanji untuk menghantar Ruth awal kepada tokey Saloon kerana ada pelanggan yang ingin meliwat Ruth. Peliknya, pasangan ini menganggap seks sebelum kawin adalah dosa besar kerana beranggapan mereka adalah penganut Kristian yang baik. Begitu juga Albert ketika berada dalam situasi cemas, memohon kata terakhir kepada Leatherwood dengan mengatakan beliau seorang Muslim dan memerlukan sebutan tertentu sebelum mati. Sebaliknya beliau menyanyikan sebuah lagu seperti azan. Ia mungkin lawak bagi mereka. Dan satu lagi lawak berkaitan agama apabila babak cemas berakhir, Anna menerkam Albert dan bertanya ‘betulkah kamu Arab? ‘. Albert menjawab ‘takdalah’. Kemudian Anna membalas ‘ saya seorang Yahudi.. jika tidak krikk!” (sambil menunjukkan isyarat potong leher).

Penampilan ‘bodoh sebentar’ tetapi istimewa dalam A Million Ways To Die In The West seperti kebanyakan filem komedi yang lain adalah penampilan Doc Brown yang sedang membaiki DeLorean dalam sebuah kandang kuda, kehadiran Ryan Reynolds sebagai cowboy dalam Saloon yang terbunuh dalam masa 4 saat dan yang terakhir Django (Jamie Foxx) membunuh tokey funfair yang menyediakan permainan target hamba kulit hitam.

Keseluruhan filem boleh dikatakan ok.

Bintang: 2.5/5

Khamis, 14 Ogos 2014

WARM BODIES (2013)


Saya kanak-kanak yang membesar di era 80-an yang takjub dengan filem mayat hidup atau zombie. Night of Living Dead, Return of the Living Dead, Brain Dead, Re-Animator adalah filem-filem kegemaran kanak-kanak seperti saya yang akhirnya apabila tua mejadi metalhead. Hehe.

Apa yang ingin saya tegaskan disini. Saya telah amat arif dengan filem zombie yang mempunyai penceritaan yang ringan dan lebih menumpukan kepada kesenian solekan dan aksi berdarah (gory scenes). Secara ringkasnya, semua filem mayat hidup berkisar tentang bahan kimia yang terdedah pada manusia atau mayat, membuatkan ia hidup semula dan memakan otak. Faham?

Di Malaysia, kita baru mengalami ‘demam zombie’, penerbit dan pembikin filem mula mencuba untuk memfilemkan kisah mayat hidup, dan mungkin pakar solekan zombie dan hantu telah kembali dari menuntut dan bersedia untuk berkhidmat dalam industri filem tempatan. Seperti biasa kita sentiasa terlewat dan suka meniru.

Warm Bodies mengejutkan saya, seperti filem mayat hidup, FIDO(2006) yang saya tonton suatu ketika dahulu. Keduanya mempunyai jalan cerita yang sangat tulen dengan plot-plot dan baris-baris skrip yang kuat lagi menghiburkan. Si pemakan otak telah berjaya diberikan watak yang cukup emosi dalam kedua-dua filem ini. Bagi yang belum menonton Fido, anda harus mencari dvd ini juga!

Saya membeli dvd Warm Bodies ini kerana ilustrasi hadapannya yang cantik dan tertera nama John Malkovich di atasnya. Pasti ini sebuah filem gila, ujar saya. Sebaiknya memainkannya saya sedikit kagum, sinopsisnya begini, “R” adalah mayat hidup yang tinggal dikawasan lapangan terbang bersama-sama mayat-mayat hidup yang lain. Kisah ini seolah-olah di naratif oleh beliau kerana beliau tidak mampu berkata-kata, menunjukkan emosi, dan mengingati masa lalu, semuanya terhad baginya. Ia adalah kata hati seorang yang telah mati, namun atas sebab yang tidak diketahui ia hidup dan gemar memakan otak. “R” gemar mengumpul barang-barang yang dijumpanya dan turut mempunyai sahabat karib walaupun setiap hari mereka hanya dapat berkata “eats” itu sudah cukup bagi mereka untuk menghilangkan bosan jika tiada manusia untuk dimakan.

Dalam pada itu terdapat sejenis makhluk lagi digelar “Boney”, yang wujud apabila sifat-sifat fizikal kemanusiaan lenyap pada seseorang mayat hidup, mereka berevolusi menjadi “Boney”. Lebih ganas dan pelahap. 


Dalam satu serangan ke atas sekumpulan manusia, R telah memakan otak seorang lelaki yang merupakan salah seorang teman istimewa kepada seorang gadis, (Teresa Palmer) dalam kumpulan itu. Dari situ kita faham, obsesi mayat hidup terhadap otak disebabkan ia memberi harapan baru buat mereka. Setiap kali otak-otak manusia dimamah, mereka mampu mengimbau kembali setiap memori-memori di dalam otak manusia itu membuatkan ia umpama dadah yang membuatkan mereka ketagih. R melihat kenangan indah lelaki tersebut bersama Julie dan terus membuatkan beliau jatuh cinta pada Julie yang cantik dan memiliki personaliti yang menawan kalbu. Dengan tidak diduga, R melindungi Julie dan melarikan Julie ke rumahnya yang merupakan sebuah pesawat. Di situ dari ketakutan, Julie mula menerima R sebagai mayat hidup yang ingin menolongnya. Manakala dalam kebingungan, R mula menyimpan perasaan terhadap Julie dan menipu Julie untuk tinggal bersama-samanya beberapa hari kononnya bagi melindunginya dari rakan-rakannya dan Boney. Mereka melalui detik-detik romantis bersama. Saya suka runut bunyi untuk filem ini yang sangat bersesuaian dan penuh drama. Ketika ini saya mula tertanya-tanya mengapa banyak cakap pula si R ni walhal tadi cakap mulut tu mereput. Mata R pun dah mula berkedip-kedip, pada awal tadi static terbeliak aja matanya?

Suatu hari Julie tetap melarikan diri kembali ke markas manusia yang dipimpin oleh seorang Jeneral (Malkovich) yang juga ayah kepada Julie. Hal ini amat menyedihkan R dan beliau bertindak untuk mencari Julie dengan bantuan rakan-rakannya. Ketika itu, suatu perasaan lain telah muncul dalam diri mereka. Jantung-jantung mereka mula berdenyut dan mereka mula berkomunikasi walaupun lembab. Ini memberikan petanda positif yang membawa maksud sistem badan mereka mula melawan virus dan kesan kimia yang menjangkiti mereka. R menjadi harapan mereka untuk membawa berita ini kepada Julie dan menyakinkan ayahnya, bahawa mayat-mayat hidup ada peluang untuk kembali menjadi manusia.

Namun berita ini tidak disukai kumpulan-kumpulan Boney dan akhirnya tercetuslah peperangan diantara mayat hidup, Boney dan manusia. Tindakan mayat-mayat hidup yang mempertahankan askar-askar akhirnya memberi keyakinan kepada ayah Julie untuk membantu mereka.

Mayat-mayat hidup akhirnya diterima dunia dan menjalani kehidupan biasa bersama manusia. R hampir pulih sepenuhnya dan menjadi kekasih Julie.



Beberapa hari lalu saya ke Popular untuk meninjau buku-buku baru, sempat saya lihat Novel ini ditempat paling laris minggu ini. Selepas menelaah beberapa bahagian, rupanya novel ini telah diterbitkan sejak 2010 lagi, kandungan dan perceritaan di dalam novel ini lebih indah dan penuh puitis. Mungkin mesej sufi yang disampaikan beliau? Siapa tahukan?. Mayat hidup yang memusnahkan dunia juga akan tunduk pada kuasa cinta dan kasih sayang.

Bintang: 3/5

SENI DINDING DOA UNTUK PALESTINE

Saya tidak pandai dalam kesenian dinding ini, malah saya benar-benar seorang beginner dalam scene wheatpaste ini. Rujukan saya kebanyakan datang dari Youtube dan motivasi saya untuk meluahkan idea ini datang dari Redrum (Penang) yang aktif mempamerkan hasil seni mereka yang bermotifkan anti-korupsi, anti-peperangan, kemanusian dan kedamaian.

Berikut adalah antara yang dapat saya dokumentasikan sepanjang proses membuat wheatepaste di dinding Faithcraft Studio, Repoh, Perlis. Sesiapa yang lalu dikawasan ini, jangan malu-malu untuk datang mengambil foto dan sebarkan rasa benci kita kepada negara Yahudi tidak sah yang sedang menindas dan membunuh rakyat Palestine serta merampas Masjidil Aqsa dari umat Islam.








Selasa, 12 Ogos 2014

CLAEYS OLD FASHIONED HARD CANDIES


Saya jumpa gula-gula ‘sekolah lama’ ini disebuah kedai perkakasan pertukangan di dalam Mid Valley, KL. Saya memang seorang yang meminati kerja-kerja pertukangan. Jadi, apabila menjumpai gula-gula yang dijual dalam kedai pertukangan seperti ACE Hardware ini menimbulkan satu persoalan. Mungkin Claeys adalah gula-gula kegemaran tukang-tukang kayu & besi dan tukang paip di Amerika, siapa tahu? Hahaha. Ataupun, mungkin anda boleh bertukang dengan lebih baik lagi dengan memakan Claeys Candies? Hahaha.

 
Menurut maklumat yang tertera, Claeys Candies dicipta pada tahun 1919 dan rasanya kekal sama hingga ke hari ini. Pihak Claeys Candies sanggup mengantikan semula gula-gula mereka jika tidak segar dan tidak enak dengan syarat anda memulangkan semula baki gula-gula, bungkusan, maklumat bila dan tempat anda beli gula-gula tersebut. Amboi.

Hanya ada perisa Root Beer dan Natural Lemon di Ace Hardware ini. Saya memilih Root Beer, walaupun tiada tanda halal JAKIM kerana ia di import dari  USA, saya yakin kerana setelah meneliti kandungannya hanya sugar, sirap jagung, perisa tiruan, dan pewarna caramel. Sifar garam, lemak tepu, lemak trans, kolestrol dan serat. 

Gula-gula ini dengan sengaja tidak dibentuk dengan sempurna kerana ingin mengekalkan bentuk tradisionalnya. Ia kelihatan seperti gula batu dengan warna gelap. Ia lambat larut dimulut, rasa root beer nya sangat tebal dan jika pada awal tahun 90-an anda pernah makan gula-gula produk tempatan perisa cola. Ia tidak banyak beza dengan Claeys Candies ini.

Sabtu, 2 Ogos 2014

MENJEJAKI PATTANI DARUSSALAM


MUSAFIR MERENTAS PATTANI, SUNGAI KOLOK, RANTAU PANJANG KE KOTA BHARU

Saya sebenarnya telah lama ingin menulis mengenai Kesultanan Melayu Pattani dan apa yang mereka hadapi zaman berzaman. Tetapi kelayakan untuk menulis bagai tidak saya miliki kerana saya belum pernah menjejak kaki ke wilayah tersebut yang asalnya adalah sebuah negara berdaulat. Mana tidaknya negara, mereka pernah mempunyai Sultan dan kerajaan sendiri yang lebih awal dari kerajaan Melaka. Keinginan untuk mengembara ke sana saya pendam hari ke hari hinggalah pada hari Raya keempat 1435H bersamaan (Khamis) 1 Ogos 2014 ini tanpa sebarang perancangan rapi dan keadaan tergesa-gesa. Saya bersama seorang sahabat lama, GG Buntal tergerak hati untuk ke Kelantan dengan meredah wilayah bergolak Selatan Thailand ini. Saya dan GG Buntal telah berkawan sejak 22 tahun yang lalu. Masing-masing dengan haluan sendiri, GG Buntal aktif dengan dunia sukan motor dan dagangan alat ganti motor manakala saya dengan kerja sosial. Kami bertemu semula secara kebetulan kerana urusan mengimport alat ganti motor dari Thailand dan secara kebetulan kami terdetik untuk mengembara ke Kelantan melalui jalan Siam. Namun bagi saya perjalanan ke Pattani adalah yang utama dan sangat diidamkan. Kami berdua tidak pernah ke Pattani sebelum ini. 

SOSIAL DAN PENGARUH MASYARAKAT PATTANI

Bercerita mengenai Pattani, sebagai orang Perlis kami memang tidak asing lagi dengan masyarakat Pattani. Suatu ketika dahulu, arwah datuk saya mengupah orang-orang dari Pattani apabila tiba musim menanam padi di sawahnya. Restoran masakan panas di seluruh Kedah-Perlis hampir semuanya dikuasai mereka selain restoran India. (hatta hingga ke Mekah jika anda mahukan masakan Melayu ia diusahakan oleh orang Pattani). Malah banyak orang-orang Perlis mempunyai sanak-saudara dan keluarga dari rumpun Pattani. Hebatkah Pattani? Memang hebat! Mereka diantara Kerajaan Melayu-Siam paling tua di nusantara, merupakan pusat pemasyhuran institusi pondok yang digelar “CERMIN MEKAH”. Kehebatan orang Pattani dilihat dari bagaimana mereka mempertahankan bahasa Melayu, rakan-rakan Siam saya sendiri memaklumkan ada beberapa kampung di Pattani yang langsung tidak mahu bertutur dalam bahasa Thai. Wanita-wanita mereka mempertahankan hijab sebagai identiti dan fasyen kebanggaan. Mereka memartabatkan sekolah-sekolah pondok. Meletakkan ulama ditempat yang tinggi. Kebanyakan mereka tinggi budi bahasa, dan jarang sekali kita jumpa orang Pattani yang ‘bachul’ dikalangan lelaki. Jati diri mereka yang kuat pada akar umbi Islam hingga setiap orang Siam yang beragama Islam pasti dipanggil orang Pattani. Dan darah kepahlawanan mereka yang agung dibuktikan dengan kewujudan pusaka Meriam Seri Pattani, Silat Gayong Pattani dan juga Tomoi.

Walaupun kebanyakan gadis-gadis Pattani yang berhijrah ke Malaysia rosak menjadi tempat mangsa penyakit sosial dan tempat melampias nafsu lelaki-lelaki tempatan. Jangan kita meletakan mereka semuanya di kelas yang sama. Saya pernah bertanya, kenapa mereka tidak bersetuju dengan kerajaan Thailand selain memperjuangkan kemerdekaan atau menuntut hak autonomi ke atas Pattani. Mereka menjawab, Thailand bertindak mendiskriminasi penduduknya mengikut agama. Wilayah Pattani mundur dari kemajuan, anak-anak Pattani walaupun cemerlang akademik dan berpendidikan tinggi hanya berpeluang tipis untuk mendapat pekerjaan di sektor kerajaan apatah lagi pentadbiran. Warga Pattani lebih digalakkan menceburi bidang pertanian. Manakala anak-anak muda bergantung pada Malaysia samada melibatkan diri dalam dagangan barang atau berhijrah untuk berkerja di Malaysia.

SEJARAH KEJATUHAN KERAJAAN MELAYU PATTANI

Menurut Nik Anuar Nik Mahmud (Pensyarah Sejarah dan Pengerusi Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, UKM). Kerajaan Pattani Darussalam wujud sejak abad ke -19 dan dicemburi oleh jiran terdekatnya, Kerajaan Sukho-Thai. Walaupun berusaha beberapa kali untuk menaklukinya, mereka gagal sehinggalah akhirnya mereka berjaya menakluki negara Pattani pada tahun 1785 dengan bantuan British. Manakala Sultan Kedah, Sultan Abdullah menyerahkan Pulau Pinang kepada Kompeni Hindia Timur Inggeris pada tahun 1786 sebagai ganjaran bagi mempertahankan Negara Kedah dari Sukho-Thai. Sebaliknya British membelot apabila Thai menyerang pada 1821. Gerakan anti-Thai bermula di Kedah, pejuang Melayu Kedah dan Pattani berjaya membebaskan Kedah-Pattani pada 1830-an, tetapi campurtangan kompeni yang membuat sekatan di Kuala Kedah (seperti yang diriwayatkan oleh Sherard Osborn, bukunya The Blockade of Kedah in 1838) berjaya melumpuhkan pejuang Kedah-Pattani. Sheikh Daud bin Abdullah al Fatani, ulama besar Pattani bangkit dengan fatwa jihad ke atas Thai yang dianggap kafir harbi (kafir yang menganggu negara Islam) menyemarakan perjuangan Melayu yang menyebabkan British mengkaji semula kerjasamanya dengan Thai. Dalam sejarah Kedah menceritakan Mufti Kedah, Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani mengutus surat kepada Sheikh Abdus Sahamad di Mekah memaklumkan umat Islam Pattani sedang berjihad mempertahankan agama dan watan (negara) mereka. Sheikh Abdus Sahamad kembali ke Pattani bersama beberapa orang panglima Melayu untuk membantu gerakan jihad . Ada catatan menyatakan Sheikh Abdus Sahamad berfungsi bukan sebagai panglima tetapi bertindak sebagai ulama sufi bertasbih, bertahmid, berzikir dan berselawat mengiringi para panglima berperang. Bagi pengikut tasawwuf mereka mendakwa Sheikh Abdus Sahamad ghaib dalam peperangan. Bagi yang tidak. Sheikh Abdus Sahamad dikhabarkan gugur sebagai syuhada.

Kebangkitan jihad yang tidak pernah luntur itu telah mengugat perdagangan kompeni di Melaka. Gabenor Negeri-Negeri Selat, Bonham menasihatkan Rama III menyerahkan kembali kuasa memerintah kepada Raja Melayu. Tanpa sokongan kompeni Thai tidak akan dapat menahan kebangkitan pejuang Kedah-Pattani. Atas nasihat itu, pada tahun 1842 Rama III mengembalikan kuasa kepada Raja-Raja Melayu.

Pada hujung abad ke-19, kedamaian mula tergugat apabila Chulalongkorn bertekad menghapuskan pemerintahan Raja Melayu dan mengantikan dengan sistem ‘Thesaphiban’. Raja-Raja Melayu membantah dan malah merayu British di Negeri-Negeri Selat dan Negeri Melayu Bersekutu untuk membantu dan menghalang Thai, jika tidak mereka akan meminta bantuan kuasa-kuasa Eropah yang lain. Gabenor Frank Swettenham berjanji untuk berunding dengan Chulalongkorn namun gagal, sebaliknya Chulalongkorn menangkap Raja-Raja Melayu atas tuduhan derhaka dan bersubahat dengan kuasa asing. Maka sejak 1902 Pattani dan beberapa negeri sekitarnya telah ditadbir oleh Gabenor Thai. Raja-Raja Melayu ditipu lagi. British kemudiannya mengiktiraf Pattani, Narathiwat, Yala, Setul, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu sebagai The Siamese Malay States walaupun sedar orang Melayu menentang.

Bagaimanapun kebimbangan orang Melayu akan bangkit berjihad dengan bantuan kuasa Eropah yang lain, membuatkan British mendesak Thai menyerahkan kesemua negeri Melayu itu kepadanya. Namun Thai hanya bersetuju menyerahkan Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah kepada British. Perjanjian penyerahan di Bangkok pada 10 Mac 1909 menyaksikan Sungai Golok dijadikan sempadan baru antara Thai dan Tanah Melayu. Pattani terpisah dengan negeri-negeri Melayu yang lain, dan mereka menjadi rakyat Thai secara paksa kerana ketika itu penaklukan diterima pakai undang-undang antarabangsa untuk memiliki jajahan. Pattani menjadi mangsa undang-undang antarabangsa yang tidak adil.

Orang Pattani seterusnya menerima layanan buruk apabila ditakbir sebagai koloni bukan sebagai sebahagian dari Thailand, zaman pemerintahan Field Marshall Pibul Songgram, seorang tentera dan pelampau nasionalis telah memaksa orang Melayu menukar nama, bercakap bahasa Thai dan mengamal kebudayaan Thai termasuk menghormati patung Buddha yang bertentangan dengan akidah Islam. Orang Melayu yang ingkar akan dihukum berat. Selalunya yang menjadi mangsa adalah para ulama.

Bagaimanapun peluang untuk pembebasan kembali bersinar apabila Thai bersubahat dengan Jepun menyerang Tanah Melayu, Burma dan merampas semula Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah pada 1943. Orang Pattani percaya apabila tamat perang, Thai akan dihukum British dan dapat membebaskan Pattani.

Apabila perang tamat pada 1944, pemimpin Pattani merayu kepada British supaya mereka dibebaskan dan dicantumkan dengan Tanah Melayu. Tetapi ditolak atas alasan mereka bukan rakyat British. Lagipun British memerlukan Thai sebagai negara penampang apabila munculnya pemberontakan Parti Komunis Malaya. Tanpa Thai, British akan menghadapi kesukaran untuk mengalahkan komunis.

Keadaan darurat itu telah digunakan Thai untuk menindas dan menekan pemimpin Melayu. Guru Haji Sulung, ulama Pattani terkenal ditangkap dan dibunuh hanya kerana memohon status autonomi kepada Pattani. Tengku Mahmud Mahyideen yang memperjuangan percantuman Pattani dengan Tanah Melayu diracun hingga maut. Askar Thai membunuh penduduk kampung tidak bersalah seperti di Kampung Belukar Samak dan Dusun Nyior. Masyarakat dunia tidak ambil peduli walaupun rayuan demi rayuan dikemukan pada PBB, Liga Arab, Pakistan, Mesir dan lain-lain. Malah mereka dinasihat meninggalkan Pattani dan berhijrah ke Tanah Melayu jika tidak tahan berada dibawah pemerintahan Sukho-Thai.

Orang Pattani adalah masyarakat yang sabar dan beriman. Tuntutan pembebasan mereka dituduh sebagai usaha untuk mengganas. Ketidakadilan yang diterima membawa kepada tertubuhnya pertubuhan-pertubuhan yang memperjuangkan kemerdekaan Pattani, seperti Barisan Revolusi Nasional, Barisan Nasional Pembebasan Pattani, Pattani United Liberation Organisation dan banyak lagi yang bermula sejak 1960-an.

Perjuangan orang Melayu Pattani jika dikaji, begitu banyak persamaan dengan penindasan saudara-saudara kita di Chechen yang bertarung dengan kuasa hebat Russia dan Palestine yang menentang kuasa buas Zionist Israel. Bagaimana anda rakyat-rakyat Malaysia mahu membantu Palestine? Sedangkan saudara serumpun bersebelah negara ini dibunuh dan dihina pun kita tidak mampu berbuat apa-apa? Bahkan hendak berkelana ke dalam wilayah yang penuh dengan kereta kebal, kubu, artileri pun anda dah fikir hidup dan mati?

Tolonglah kembali ke realiti. Sedar kemampuan diri.

PERJALANAN

Kami masuk ke Thailand melalui pintu sempadan Padang Besar kira-kira jam 4.00 petang mengunakan Triton dan minyak yang telah diisi penuh. Pintu sempadan Padang Besya (sebelah Thailand) dikawal oleh pihak tentera disebabkan terdapat rusuhan dari penyeludup-penyeludup petrol dan diesel disitu beberapa hari lalu. Tiada siapa ditembak dan dikasari kerana ia bukan melibatkan sentimen agama. Keuntungun penyeludupan subsidi minyak pula berpihak kepada Thailand. Maka perusuh terselamat. Disebabkan kami belum pernah ke wilayah Pattani dan tidak mempunyai kelengkapan GPS. Kami ke kedai telekomunikasi untuk membeli sim kad telefon Thailand. Saya telah mempunyai sim kad DTAC yang saya beli semasa ke Bangkok untuk menonton tour BEHEMOTH yang masih aktif dan hanya perlu tambahnilai. GG Buntal mendaftar AIS yang dikatakan laju capaian internet dan GPRS bagi kawasan Selatan Thai. Hampir sejam kami di kedai dan cuba untuk mendaftar dengan bantuan jurujual kad tersebut namun tetap gagal. Kami bergerak ke Ban Khlong Ngae yan popular dengan pasar pakaian terpakai (bundle) dan memecut dengan kelajuan 100-120 kmph menyusuri jalan kampung/dusun. Disepanjang perjalanan kebanyakan penduduk beragama Islam, kegiatan ekonomi mereka tertumpa pada ladang getah, hasil dusun, menganyam atap nipah, membina gazebo buluh, terdapat sebuah masjid agam yang sedang dalam pembinaan di kawasan pedalaman ini. Seni binanya indah, pintu gerbang di ukir 2 bilah keris gergasi tercacak ke tanah dan 2 buah meriam Seri Pattani di luar gerbang. Rasanya anda boleh singgah dan bersolat disini pada Hari Raya Aidil Adha nanti. Kami sampai di daerah Nathawi kira-kira jam 5.20 petang. Talian DTAC saya langsung tidak mempunyai capaian bermula disini hingga sepanjang perjalanan, begitu juga talian AIS milik GG Buntal yang hanya boleh membuat panggilan tetapi langsung tiada capaian internet. Memandangkan GG Buntal bukan metalhead, terpaksalah saya mendengar radio Era dan Sinar FM. Ya, sejak tentera memerintah Thailand, rangkaian radio Malaysia boleh didengari dari seluruh wilayah selatan Thailand. Mungkin pihak tentera Thailand menaiktaraf sistem capaian gelombang radio bagi mengesan aktiviti-aktiviti pemisah. 










Bagi yang tidak peka, sebuah bom kereta telah diletupkan di pekan Betong minggu lalu dan seorang bilal ditembak ketika perjalanan pulang dari masjid beberapa minggu lalu. Wilayah Pattani tidak akan aman seperti yang dijanjikan pemisah Pattani, kekejaman tentera Thai yang membunuh beramai sanak saudara mereka di Matsayit Krue Se (masjid Kerisek), Masjid al-Furqan dan Tak Bai pasti akan dituntut bela. Darah dibayar darah. Jadi disepanjang perjalanan kami hingga ke Nathawi ini, boleh dikatakan kami telah melepasi hampir 20 sekatan tentera, berselisih dengan berbagai-bagai kereta perisai, jeep dan trak yang lengkap dengan senjata berat. Sekatan juga dilakukan dilorong-lorong kampung. Boleh dikatakan kebanyakan tentera bersikap agak mesra, iyalah setiap sekatan hanya menempatkan 4-5 orang tentera. Jika mereka bersikap bengis dan sombong dikawasan asing bagi mereka sudah tentu buruk padahnya. Bukan mereka yang memerhati gerak laku penduduk. Sebaliknya gerak geri mereka yang dipantau penduduk. Silap langkah pasti maut. Begitu juga kami sebagai rakyat Malaysia, tentera boleh sahaja menembak kami tanpa sebarang sebab. Thailand dibawah pemerintahan mereka. Pattani kawasan merah. Tembak! Jika salah letakkan senjata api pada mayat sebagai bukti si mati adalah penganas. Tetapi kita orang Melayu Islam, kami megah. Maut hanya Tuhan yang tentukan. Kebanyakan penduduk memberikan kerjasama yang baik bila ditanya panduan jalan walaupun papan tanda jelas. Kami hanya ikut arah ke Narathiwat. 2 orang penduduk yang kami tanya, kedua-duanya ada parang tersedia di dalam bakul motorsikal. Menandakan mereka sentiasa sedia untuk sebarang kemungkinan. 











MASJID KERISEK

Hajat untuk bersolat di sini akhirnya dimakhbulkan Tuhan. Rasa gembira tidak kepalang bila melihat kelibat rumah ibadat ini dari jauh. Hari ini juga menempatkan sebuah tapak pasar malam bersebelah masjid ini. Suasana agak meriah. Tempat ini menjadi seolah-olah kawasan tarikan pelancong, banyak remaja-remaja tempatan yang riadah disini. Kebanyakan gadis-gadis masih lagi memakai pakaian hari raya. Saya menunaikan solat jamak Zohor-Asar di sini. Kolah air wuduk nya masih mengunakan sumber air telaga. Dindingnya jelas mencoretkan kisah perjuangan panglima Islam. 





















Menurut sejarah dari sarjana Thailand, Masjid Krue See dibina pada tahun 1583 dan pembinaannya terbengkalai kerana perebutan kuasa antara Sultan Pattani dan adiknya. Manakala lagenda siam pula memberi elemen khurafat dengan mengatakan masjid ini tidak dapat disiapkan kerana terkena sumpahan adik kepada pemerintah Pattani ketika itu kerana tidak restu abangnya memeluk agama Islam. Manakala penduduk sekitarnya terdiri dari masyarakat Jawa, Melaka dan Arab.

Manuskrip Hikayat Siantan, menyebut tentang seorang bangsawan dari China yang bernama Lim Tai Kim melarikan diri ke Siantan kerana konflik diraja dan diberi perlindungan oleh Sultan Johor. Pada usia 22 tahun beliau berangkat ke Pattani dan memeluk Islam dan menukar nama kepada Ya’qub. Beliau berkahwin dengan kerabat Diraja Pattani bernama Raja Cik Cahaya. Oleh kerana kebijaksanaan yang dimiliki, beliau telah dilantik menjadi Syahbandar dan turut menjadi arkitek pembinaan masjid Kerisek. Pelat Pattani menyebabkan Ya’qub menjadi Aqub, Aqub, Aguk dan lama-kelamaan kekal sebagai Tok Aguk. Tok Aguk meninggal dunia pada tahun 1568 dan dikuburkan di Tanjung Aguk.

Sejarah Negara Kedah (suatu ketika dahulu Kedah adalah negara) merakamkan Tun Syaaban ( lebih dikenali sebagai Hang Tuah) pernah berkhalwat dan iktikaf di masjid Kerisek sewaktu dalam operasi mengejar rombongan Raja Bersiong yang melarikan diri ke Siam. Maka tidak hairanlah masjid Kerisek turut dikenali sebagai “Pintu Gerbang Hang Tuah”.

Jika ditanya adakah saya mempercayai kewujudan Tun Syaaban? YA. Saya percaya kisah beliau digarap sebagai mitos kerana menjadi ancaman kepada monarki dan seterusnya penjajah Belanda, British, juga tidak mahu kisah patriotik dan kepahlawanan beliau menjadi aspirasi kebangkitan orang Melayu.

Kisah kepahlawanan memang sudah tertulis di tanah Pattani, Raja Haji pahlawan dunia Melayu paling agung juga pernah belajar agama dari Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Pattani. Kehebatan Raja Haji mengalahkan Tun Syaaban/Hang Tuah dan pahlawan nusantara yang lain kerana kebolehan beliau berperang bukan sahaja di daratan tetapi juga di kawasan maritim. Kisah beliau juga tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta.

Kajian dari sarjana UKM, menafikan teori masjid kerisik adalah sebuah bangunan yang tidak siap. Tinjauan mereka menunjukan konsep binaan dan susunan batanya mirip Timur Tengah manakala gerbang dan tingkap menyerupai konsep moor di Sepanyol. Nama Kerisek juga dikesan mempunyai mempunyai pengaruh Jawa kerana ulama-ulama Jawa turut datang belajar di Pattani selain di Pasai, Acheh. Nama Gresik di Surabaya yang terdapat makam Syeikh Malik Ibrahim (wali Songo) mirip kepada Krisik di Pattani. Terdapat persamaan antara Masjid Kudus yang dibina Sunan Kudus dan Masjid Kerisek. Pintu gerbang Masjid Kudus mirip binaan Gapura, malah mereka mengunakan putih telur mengantikan peranan simen bagi menyusun batu bata.

Apa yang benar-benar menaikkan nama Masjid Kerisek bukan kaedah binaan, bukan Hang Tuah, bukan Sheikh Abdus Sahamad, bukan Tok Aguk. Tetapi ia adalah tragedi berdarah yang menjadi parut dan titik kebangkitan jihad gerilla yang tidak akan padam lagi.

Pada 2002 risalah seruan jihad di Pattani telah dikeluarkan seorang guru bagi memperingati generasi muda mengenai tanggungjawab mereka terhadap agama dan tanahair. Pergerakan ini telah dikesan kerajaan Thai dan pada 28 April 2004 sejarah telah merakamkan peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Masjid Kerisek. Peristiwa ini berlaku sewaktu jemaah baru sahaja menunaikan solat, tiba-tiba mereka dikepung oleh tentera Thai. Mereka dengan kejam membunuh jemaah masjid Kerisik yang tidak bersenjata walaupun perintah General Chaovalit hanya mengepung dan berunding. Perintah bunuh datang dari istana Raja Thai melalui General Panlop Pinmanee. Seramai 34 orang pemuda Pattani berumur 16 hingga 34 tahun telah gugur syahid. Mereka ditembak dengan senjata berat. Malah helicopter Apache turut digunakan untuk menjatuhkan bom di kubah masjid. Korban ini menjadikan api perjuangan pembebasan rakyat Pattani semakin marak. Kejadian ini berlaku semasa pemerintahan Perdana Menter Thaksin Sinawatra.

Seandainya peristiwa ini tidak melibatkan orang Melayu Islam, sudah tentu penyelesaian yang lebih baik akan diambil. Ini dibuktikan dengan apa yang sedang berlaku di Bangkok. Walaupun penunjuk perasaan merampas kereta perisai dan merampas Parlimen tetapi mereka masih belum ditembak dan dianiaya.

Jika anda pernah membaca travelog saya ke Setol @ Satun sebelum ini mengenai kecantikan gadis di sana. Apabila menjejakkan kaki ke Pattani hari ini. Tidak boleh disangkal lagi, kata-kata orang itu salah. Gadis-gadis dari wilayah Pattani ini lebih cantik dan anggun pada pandangan saya.

Kami berhenti di Masjid Kerisek kira-kira 30 minit sebelum meneruskan perjalanan. Dan singgah di Tesco Lotus untuk membeli makan ringan dan minuman. Kira-kira 1 KM dari Tesco Lotus (bukan hypermart tetapi kedai runcit biasa) Nathawi ini terdapat 7 Eleven, yang saya kira satu-satunya perusahaan franshais yang terdapat (mungkin ada lagi di dalam-dalam kampung, tetapi mustahil?) di daerah Nathawi, Thepa dan Nong Chik. Begitu juga dengan stesen minyak, jika anda mempunyai masalah pundi kencing. Sudah tentu bahaya. Boleh dikatakan kubu tentera lebih banyak dari fasiliti awam di sini. Anda akan sedari betapa sukar untuk kita jumpa sekolah pendidikan sekular, stesen bas, stesen petrol, pondok bas, kedai telekomunikasi, bank atau mesin ATM, bengkel kereta (tetapi ada sebuah kedai half-cut trak dan 4x4 di Yaring atau Sai Buri), atau restoran esklusif. Kebanyakan kedai-kedai makan di sepanjang jalan diusahakan oleh orang Islam, jadi jangan risau untuk singgah. Tetapi kebanyakannya hanyalah warung seolah-olah zaman purba seperti filem-filem Melayu klassik. Namun saya pasti makanannya sedap sekali. 








Wilayah Pattani adalah kawasan Thailand paling kaya dengan sumber dan menurut laporan dari blogger Siam, hampir 35% bahan export Thailand diperah dari wilayah ini. Namun Pattani yang beratus tahun ditadbir Thailand tetap kekal sebagai daerah paling mundur dan termiskin di sana.

Dari pemerhatian saya pada setiap kubu-kubu dan sekatan tentera yang mana kami terpaksa lalui hampir 50-60 sekatan. Sukar untuk saya terima jika kerajaan Thai menyatakan segala yang mereka buat ini adalah sesuatu program bagi mencapai perdamaian. Ini bukan lagi politik biasa atau isu perkauman sebaliknya ia adalah konflik agama. Jika tidak masakan kubu-kubu kebanyakannya didirikan di wat-wat, manakala jika anda amati segala siri pembunuhan yang berlaku pasti media dan kerajaan Thai akan kaitkan dengan pemisah. Pihak tentera akan melaporkan siri-siri pembunuhan seperti tembakan rambang di masjid al Furqan di Narathiwat ( pada 8 Jun 2009 – 11 orang jemaah mati di tembak ketika sedang rukuk) adalah rancangan pemisah Pattani untuk mengapi-apikan kebencian antara pengikut Buddha dan Islam. Dan yang terkini pada hari pertama bulan Ramadhan pertempuran telah berlaku mengakibatkan kematian 3 orang anggota polis daerah Takbai, 10 orang lelaki bersenjata turut merampas rifle dan pistol mereka. Insiden pada tahun 2014 ini bermula tegang kembali apabila 3 orang kanak-kanak berumur 3-9 tahun ditembak mati didepan rumah selepas pulang dari masjid pada Februari lalu. Ibu mereka yang sedang mengandung dan ayah juga ditembak di rumah tetapi terselamat. Rentetan dari itu, bermula kejadian membalas dendam, seorang isteri anggota polis ditembak dan dibakar ditengah pasar.

Jika dikaji semula dan kefahaman tentang apa yang dilakukan orang pemisah Pattani adalah jihad, bahkan tiada seorang pun yang AKAN SETUJU jika dikatakan pelampau Islam yang membunuh orang Islam sendiri ketika sedang solat di rumah ibadat sendiri. Nabi Muhammad sendiri melarang tenteranya membunuh orang KAFIR yang berlindung di rumah ibadat mereka ketika peperangan. Ia hanyalah putar belit media dan kerajaan Thai bagi menghalalkan operasi mereka dan mereka sendiri melabelkan pemisah Pattani adalah golongan yang sesat dalam kefahaman Islam.

Seperti Amerika yang menyerang Iraq dan Israel yang menyerang Palestine. Pihak Thai mengiklankan kepada dunia bahawa mereka dipihak yang betul dan bukannya penakluk yang kejam. Bagaimana Amerika mengambarkan tentera-tentera mereka kononnya berlaku ehsan, berbudi-bahasa dan suka membantu penduduk-penduduk setempat digambarkan agar mata-mata asing kabur sebagaimana mereka mengaburi kesan sejarah kerajaan Pattani yang merdeka. Boleh dikatakan setiap kubu-kubu tentera yang utama, mereka akan hiasi dengan billboard yang menunjukan tentera-tentera Thai bersalaman dengan ulama-ulama, tentera makan ais krim bersama kanak-kanak, tentera membantu warga emas malah di satu tempat itu, (kalau tidak silap daerah Yaring ) terdapat satu poster kartun tentera dengan wajah yang comel dengan tangannya menunjukkan simbol ‘I LOVE YOU’. Anda fikir ini membantu? Poster-poster ini dapat menghilangkan apa yang mereka lakukan pada kanak-kanak, masjid, orang-orang kampung yang tidak berdosa dan tidak bersenjata?

Saya mendapat tahu kebanyakan ahli-ahli keluarga mangsa-mangsa yang dibunuh turut melarikan diri ke Malaysia kerana bimbang akan diburu bagi menghapuskan generasi yang bakal bangun menuntut bela dan berjihad. Oleh sebab itu kerajaan Thai sering menuduh kerajaan Malaysia menyokong dan menaja pihak pemisah Pattani.

Kembali pada daerah Yaring, Yarang, Mayo, Panare, Sai Buri sebelum tiba ke daerah Takbai dan Ba Cho. Kami melalui kawasan bersebelahan pantai. Alangkah seronoknya jika mempunyai kenalan di daerah ini atau kawasan ini dibangunkan dengan pekan-pekan kecil yang mempunyai kemudahan-kemudahan hotel atau sebagainya. Namun jika anda bertolak awal pagi dari Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam rasanya tidak mustahil untuk anda melawat pandai-pantai di Yaring dan Panare. Antara kawasan pantai yang sempat saya lihat petanda arah di jalan-jalan adalah Talo Kapo Beach, Panare Beach, Wadsukri Beach dan banyak lagi. Ketika menyusuri daerah-daerah ini merentas kampung-kampung seperti Ban Donrak, Ban Tanyong, Ban Kala Poe, Ban Batu, Ban Cha Pa Ko, Ban Ka Lu Pae, yang menjadi satu hiburan menyebutnya ada satu macam perasaan gembira bila melihat masjid yang unik-unik dan ada yang sangat besar dan megah berdiri di setiap 1KM.

Itu baru anda lihat di jalan besar, sebenarnya di dalam kampung yang rapat-rapat rumahnya pun ada terselit masjid. Kami sebenarnya tersasar jauh ke dalam kampung ketika di masjid Kerisek tadi dan terpaksa bertanya arah kepada orang tempatan untuk keluar semula ke jalan besar. Semua orang di sini baik-baik belaka apatah lagi bila tahu kami dari Perlis. Keadaan dalam kampung di sini mengingatkan saya seperti suasana di Indonesia.

Ketika kami makin menghampiri Takbai, Ba Cho ketika itu jam Malaysia dah menghampiri 9.00, kami berhenti disebuah masjid untuk ke tandas dan meneruskan perjalanan penduduknya sedang menunaikan solat Isyak. Sebenarnya di jalan raya waktu itu hanya ada kami, ini sedikit sebanyak memberi kegusaran. Jadi jika anda ke daerah berdarah ini terutamanya Takbai, yang menyaksikan 85 orang penduduk terbunuh ketika mengadakan demonstrasi tanpa sebarang senjata. Mahkamah Tinggi Thailand memutuskan tiada siapa bersalah dalam hal tersebut. Bagi keluarga si mati mereka diberi pampasan wang untuk membayar nyawa yang terkorban. 


Kami memasuki gerbang Sungai Kolok @ Golok kami ditahan dan diperiksa beg oleh tentera yang mengawal di situ. Kesukaran apabila mereka tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris hanya bahasa Siam. Jadi saya terpaksa mengunakan bahasa isyarat untuk menerangkan kandungan beg dan arah tuju kami. Namun segalanya berjalan lancar. 
Kami melintasi Sungai Golok dan Immigresin Thai-Malaysia Rantau Panjang tanpa sebarang pemeriksaan dan tanpa ada sedikit rasa gusar. Benarlah khabar orang sebelum ini yang mengatakan pintu sempadan di sini lebih mudah bolos. Tentera-tentera Thai seperti kakitangan Immigresin dan Kastam kita. Sama sahaja. Leka dengan android dan smartphones masing-masing. Jam ketika itu menunjukan waktu 9.20 malam. Waktu yang sesuai untuk aktiviti penyeludupan kerana semua kakitangan kedua-dua pihak di sempadan sedang sibuk untuk mengetip kad tamat tugas. Bukan di Rantau Panjang sahaja malah ia pemandangan biasa disemua pejabat-pejabat dipintu sempadan. 




Terdapat sebuah stesen Petronas sebaik sahaja melepasi pinta sempadan. GG Buntal turun melepaskan hajatnya yang lama tertangguh. Lega benar. Saya sendiri hairan bagaimana beliau mampu menahan sepanjang pejalanan. GG Buntal kurang berminat turun dari traknya setiap kali kami berhenti. Dia lebih rela tahan kencing dari turun. Entah apalah yang difikirkannya?. Kesempatan berehat sebentar di stesen minyak, GG ambil peluang update facebook beliau. Lama beliau luah perasaan.

Kami berhenti di beberapa kedai makan disepanjang jalan untuk ke Kota Bharu yang berbaki 35KM lagi. Semuanya habis dan penuh. Benarlah kata beberapa rakan Kelantan yang saya hubungi, kesesakan lalu lintas di Kota Bharu masih di tahap kritikal. Kami membatalkan hasrat ke Wakaf Che Yeh kerana keadaan yang sesak dan padat.

GG Buntal seorang tidak berminat untuk mencuba penginapan yang baru, baginya BBP Hotel yang disewanya 2 bulan lalu di kawasan TESCO KB itu adalah cuba selesa. Jadi kami menghala ke situ. Banyak anak-anak tempatan dari kelab-kelab kereta masing-masing berkumpul, melaram dan bergambar di situ. Restoran-restoran dikawasan tersebut juga penuh dengan pengunjung. Kami akhirnya menemui satu-satunya restoran yang kurang pelanggan. Restoran Top Pizza. Ia bukan sahaja menyajikan makanan barat, tetapi semuanya ada. GG Buntal memilih menu istimewa restoran ini, nasi putih, daging bakar dan sup. Manakala saya mencuba chickenchop dan cheesy wedges. Pandangan saya, perkhidmatan yang diberikan adalah cemerlang dan pantas. Chickenchop saya rangup dan molek gorengannya. Sayuran dan hiasan juga tidak keterlaluan. Komen saya cuma pada sos black pepper mereka yang cair, jika ia adalah home made sause. Penambahbaikan perlu dilakukan agar sos itu kelihatan seperti sos. Bukan air berwarna. Manakala GG Buntal hanya memberi komen ‘ kedai ini TERBAIK’! Mungkin kena dengan seleranya. Saya mencuba sekeping daging bakarnya. Fuh! Rasanya seperti satay. 


Bilik katil bujang (2 katil sebilik) dengan harga RM70 telah habis ditempah maka yang tinggal bilik queen bed dengan harga RM110. Kami terima sahaja ketika itu jam pun dah menunjukan hampir 12.00 malam. Sebaik masuk ke bilik GG meberitahu ia adalah bilik yang sama seperti yang beliau sewa RM70 dua bulan lalu Cuma bezanya katil queen dan katil single. Wifi percuma tetapi sekadar dua bar. Kain cadar mungkin tidak disalin. Gatal dan seperti ada pijat. Begitu juga tuala yang kurang bersih. Tiada peti ais mini tetapi ada penghawa dingin.TV disediakan tetapi tiada remote control. Saya menghubungi receptionist, beliau meminta saya sendiri turun (kami ditingkat 2, tiada lift) untuk ambil remote sendiri. Khidmat pelanggan yang kurang memuaskan walaupun tiada wang cagaran dan pantas. Harapnya kali terakhir saya menginap di BBP Hotel. Berakhir sudah perjalanan seharian kami sejauh 340 KM dari Padang Besar ke Kota Baharu menerusi wilayah Pattani. Perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa 4 jam 20 minit tetapi mencecah 6-7 jam oleh kerana terlalu banyak dari sekatan pihak tentera. 






Kami bangun awal pagi. Cadangnya mahu bersarapan pagi dengan Rimie, IN TORMENT / BLASPHMACHINE, maklumlah dah sampai Kota Bahru teringin juga mahu bertemu divisi Kelantan Metal Army. Malangnya beliau tidak membalas sms dan tidak angkat telefon. Mungkin masih dalam selimut. Kami lupakan Rimie dan terus ke Pasar Siti Khatijah. Lagipun itu sahajalah tempat yang kami tahu.

Makan sarapan pagi di Medan Selera Pasar Siti Khatijah, membeli beberapa senjata tradisional dan terus bergerak ke Rantau Panjang dan berada di pintu sempadan kira-kira jam 1.00 tengahari, saya minta GG Buntal singgah di Masjid Beijing untuk mengunakan tandas. Langsung saya terlupa yang hari ini adalah penghulu segala hari kerana kebanyakan orang yang singgah kelihatan seperti mereka yang dari tanah seberang. Saya benar-benar terlupa. Jika tidak pasti saya ambil kesempatan untuk mendengar khutbah di sini. Beberapa kali saya singgah di masjid di kawasan Kelantan sebelum ini (luar Kota Bahru), imam mereka mengunakan bahasa baku untuk membaca khutbah Jumaat, bukan loghat Kelate seperi yang dikhabarkan. 












Sempadan Malaysia kalau lalui hanya dengan mengangkat tangan. Pada waktu siang begini, pemandangan sempadan dari atas jambatan Sungai Golok memberi tafsiran yang jelas mengenai betapa sukarnya membenteras penyeludupan sejata api, petrol dan diesel, beras, pil kuda di kawasan ini. Sungai Golok yang memisahkan kedua negara langsung tidak membawa apa-apa makna. Kegiatan penyeludupan berlaku di depan mata. Jika operasi cegah penyeludupan dilakukan, kegiatan mereka akan terhenti sebentar dan bergerak semula aktif dalam beberapa hari. Saya harus memberi tabik hormat kepada kerana pada hemat saya pihak Kastam, Immigresin, UPP dan ADK Padang Besar lebih teliti terhadap setiap orang yang keluar masuk sempadan. 












GG Buntal seperti biasa lupa jalan. Kami bertengkar mencari pintu gerbang keluar ke Narathiwat dan akhirnya jumpa juga. Kami melalui jalan semalam dan memecut dengan lancar. Tiba di daerah Sai Buri baru apabila melihat penduduk-penduduk setempat beramai-ramai pulang dari masjid barulah saya sedar bahawa hari ini adalah Jumaat. Patutlah pihak tentera mudah sahaja angkat membenarkan kami melalui setiap sekatan kerana waktu tersebut penduduk tempatan sedang menunaikan solat sunat Jumaat.

Saya sangat berhasrat untuk singgah di Masjd 300 Tahun di kampung Talo Mano, Tambun Subo Sawo, Narathiwat. Namun GG Buntal singgah di masjid lain yang hanya 1 KM dari Masjid 300 Tahun yang dibina oleh Wan Hussein Az-Sanawi pada tahun 1624. Masjid ini didirikan dengan kayu sepenuhnya dan hanya mengunakan kekunci tanpa sebarang paku. Menara azannya mempunyai pengaruh senibina Cina. Saya sedikit kecewa namun melihat GG Buntal yang seperti biasa tidak mahu turun-turun dari kenderaan. Saya faham situasinya. Akhirnya kami bertemu dengan sebuah stesen minyak di Talo Mano ini. 









Menyusuri semula Masjid Kerisek yang terletak di sebelah kiri jalan. Suasana masih meriah di situ, sepanjang jalan kembali ke Perlis selain berselisih dengan berpuluh-puluh kereta kebal, trak tentera, tentera bermotosikal dan komando berjalan kaki, kami melihat remaja-remaja tempatan masih memakai baju Melayu, baju kurung dan kebaya cantik-cantik bersiar sekitar kampung. Suasana Aidilfitri masih dirasai di sini. Kami turut berselisih dengan sekumpulan pengayuh basikal mountain bike (mungkin orang Malaysia?) atau mungkin juga orang tempatan kerana ketika itu hari mula gelap dan mereka masih berada di kawasan ladang getah. Jika orang luar pasti mereka dalam keadaan agak tegang kerana jauh lagi destinasi mereka untuk sampai ke satu-satu pekan kecil.

Kami bergerak hingga ke Ban Na Ket. Saya ingat lagi di simpang tiga Ban Na Ket yang dekatan Sekolah Ban Na Ket itu kami sepatutnya mengambil arah kanan, tetapi GG Buntal tetap mara menghala ke Yala. Katanya mahu melihat pekan Yala, saya turuti kerana tidak tahu yang sebenarnya beliau dah hilang arah. Rupanya di daerah Yala lebih ramai tentera dikerahkan untuk mengawal keadaan setelah sebuah bom kereta diletupkan baru-baru ini. Hampir setiap 500 meter di pekan Yala pasti ada trak tentera, kereta kebal dan sekatan tentera. Apabila tiba di sempadan Yaha apabila GG Buntal bertanya arah kemana mahu dituju, barulah saya tahu. Beliau dah sesat. Kami hanya menurut kata hati hingga ke sebuah kedai 7 Eleven di pekan Yaha. Petunjuk arah ketika itu menunjukan sempadan Betong hanya 110 KM sahaja lagi. Saya bertanyakan kepada penduduk tempatan. Mereka sarankan saya untuk mengikut petanda arah ke Kadang, ke Sa Yoi dan ke Hatyai. Ketika di Saba Yoi melepasi kawasan pergunungan yang menjual kristal bukit dan kami terpaksa berhenti di hutan untuk membuang air kecil. Jam ketika itu mencecah 5.00 petang. Kami turuti petua tersebut hinggalah akhirnya kami kembali ke Nathawi dan kembali lega. Kami telah tersasar lebih 137 KM selama 3 jam. Namun dapat juga kami tinjau bagaimana keadaan di Yala, Yaha dan Saba Yoi sebagai pedoman dan pengalaman untuk masa depan. 




Kami seterusnya memecut ke Ban Da Nok untuk makan malam steamboat di situ. Hajat GG Buntal untuk menjamu selera steambout sejak bulan Ramadan lalu pun terlaksana. Biasa saja bahan dan rencahnya, bagi saya di Perlis lebih hebat malah harganya lebih murah. Bayangkan harga yang dikenakan RM24 seorang. Itu belum masuk minuman. Jika di Kangar, hidangan dengan lauk yang sama hanya dikenakan RM10 – RM13 dimana-mana restoran steamboat. Oleh itu,jangan sesekali ke sini. Bagi yang belum pernah cuba daging bakar, pulut durian atau pulut mangga. Bolehlah mencubanya di sini.

Kami keluar mengikut pintu Sempadan Bukit Kayu Hitam dan sampai di Kangar jam 10.30 malam. Saya menyimpan hajat untuk menyambut Aidil Adha tahun ini di Pattani.

~Raimi