Sabtu, 26 Disember 2015

AKU NABI ISA! REFLEKSI WAD SAKIT JIWA (PTS MILLENNIA)


Dr. Rozanizam Zakaria menulis buku ini berdasarkan kes-kes yang dikendalikan beliau semasa beliau bertugas di unit psikiatri, di Adelaide, Australia. Ini tidak bermakna buku ini kaku dengan teori-teori perubatan dan rawatan semata-mata, ia sebenarnya digarap dengan gaya puitis, penuh inteletek dan pengisian rohani menyingkap sisi “gila” seorang insan terpilih.

Amat sukar rasanya untuk mencari tulisan seorang doktor perubatan yang begitu indah susun katanya dan membuat huraian dari aspek akidah dan tauhid secara terperinci melalui kes-kes beliau. Terdapat 10 kes istimewa yang beliau nukilkan dalam buku ini dalam bentuk penceritaan yang meruntun jiwa. Bukan itu sahaja, beliau turut membuat diagnosa terhadap kes tersebut dan memperjelaskan kepada kita melalui terma perubatan, psikososial, fakta statistik terkini, kaedah rawatan atau penamatan kes dan juga rumusan dari kaca mata Islam. Lengkap! Tiada satu bab pun yang gagal menarik minat saya. Satu manual yang hebat untuk pekerja sosial seperti saya. Saya sendiri berhadapan dan menguruskan pesakit jiwa setiap hari sebagai klien, bezanya Dr. Rozanizam Zakaria seorang pakar yang soleh.

Buku ini juga didatangkan dengan pakej rekaletak yang bagus oleh Fadly Halim, pengunaan font yang sesuai malah setiap isi-isi penting diperbesarkan font tersebut atau diolah dengan kerja grafik yang bersesuaian. 


Benar kata seorang rakan, untuk melihat pemikiran seseorang pemimpin, kita baca tulisannya. Buku ini membuatkan saya begitu kagum dengan personaliti Dr. Rozanizam, bagi saya dia seorang yang mempunyai karisma dan berbudi luhur. Saya ingin sekali bertemu dengannya jika ada kesempatan. Pemilihan terjemahan surah al- Quran dan hadis yang dikemukakan sebagai dalil dan nas hujahnya disini begitu tepat bagi merungkai senario yang dialami beliau ketika menangani pesakit-pesakitnya.

Seperti kata beliau sendiri buku ini bukan ditulis untuk bakal doktor, bukan untuk pesakit mental, bukan untuk keluarga pesakit mental. Buku ini ditulis untuk setiap insan yang memiliki kewarasan dan bercita-cita untuk untuk melakukan sesuatu yang bermakna dari nikmat aqal yang dianugerahkan Ilahi.

Aku Nabi Isa! dipilih sebagai buku terbaik bagi tahun 2015 dari blog Khusyuk Kematian!

Ahad, 13 Disember 2015

APAKAH ITU PUISI?


Puisi adalah merujuk kepada susunan kata-kata indah, bermakna dan terikat aturan serta elemen ritma. Ciri umum puisi adalah mempunyai bahasa yang lebih padat, lebih indah, agung dan hidup. Puisi juga mengandung kata-kata perlambangan (metafora). Lazimnya puisi dijadikan sebagai media untuk mencurahkan perasaan, fikiran, pengalaman dan kesan terhadap suatu musibah, kejadian, dan kenyataan di sekitar kita. Puisi Melayu tidak hanya merentas pentas hiburan dan adat malah turut menjangkau hingga ke alam ghaib.

Menggunakan gaya tutur serta pelukisan yang hebat dimana mampu menggerakkan emosi dan imaginasi pembaca atau pendengar. 

Menurut Pendeta Za'ba, puisi ialah karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.

Sabtu, 5 Disember 2015

KNOCK KNOCK (2015)


Makin laris pula Keanu Reeves tahun ini, selepas berjaya menghidupkan babak aksi dalam John Wick, dia cuba untuk membawa watak suami mithali dalam Knock Knock. Filem ini mungkin boleh dikategorikan dalam genre ‘jenayah cinta erotis’. Ditulis dan diarahkan oleh Eli Roth (terkenal melalui filem Sekuel Hostel) Knock Knock tidaklah sehebat Hostel walaupun dibintangi Keanu dan 2 aktress rupawan dari Sepanyol, Lorenza Izzo dan Ana de Armas. Malah Rotten Tomatoes hanya bagi 1.5 bintang aja!

Plot penceritaan mudah sahaja, Evan (lakonan Reeves) adalah seorang arkitek berjaya terpaksa tinggal sendirian kerana kecederaan bahu manakala isteri dan anaknya berkelah dipantai sempena Hari Bapa. Malam selepas permergian isteri dan anaknya, dua wanita psiko Genesis dan Bel datang kerumahnya dan dengan segala tipu helah dan godaan mereka berjaya menjerat Evan untuk berlaku curang (ada scene double blowjob, threesome, dilarang menonton bersama keluarga kerana kurang sesuai) dan akhirnya mereka menjerat Evan. Mereka turut memuat naik video seks Evan di facebook. Jika mahu dinilai dari senario yang terjadi, Genesis dan Bel mungkin mengalami masalah mental, mungkin juga mangsa penderaan seksual, dan bergerak mencari mangsa lelaki untuk dihukum jika berlaku curang. Bagi yang menganggap kisah sebegini khayalan atau hanya terjadi di Barat. Anda silap, ia turut terjadi disini dan kes-kes wanita yang mengalami nymphomania juga banyak di Malaysia. Evan tidak dibunuh dan berjaya bertemu semula dengan anak isterinya. Filem ini tiada kena mengena dengan Elizabeth Tan dan ia adalah penambahbaikan dari filem asal Death Game (1977). Filem ini tidak menarik dan menampilkan Keanu Reeves sebagai watak utama langsung memberi sebarang impak. Sekadar filem santai untuk para lelaki miang barangkali?.

2/5

Khamis, 3 Disember 2015

ADAM JUGA SEPI


Suatu malam saya keluar minum malam bersama seorang rakan, dengan suara yang lembut dia berkata “ Rammy, hang saja yang faham perasaan aku, hang tidak pernah puji seperti orang lain demi nak menyenangkan hati aku jika aku berbuat silap. Aku tak suka dengan kerja aku sekarang, aku terpaksa sebab tiada punca lain, aku pun dah berumur 40-an tanpa teman, aku tertunggu-tunggu jodoh aku, sesiapa pun aku terima asalkan dia menyintai aku, buat la satu puisi untuk diri aku”

Dia langsung tidak senyum atau ketawa seperti selalu. Bermakna ia permintaan yang tulus. Oleh itu terimalah puisi ini untuk mu sahabat. Harap kau dan aku nyaman membaca ertinya.

Sabtu, 28 November 2015

BONE TOMAHAWK (2015)


Aktor yang memegang watak Wyatt Earp dalam Tombstone (1993), Kurt Russell kembali menyandang watak sheriff dan hero dalam filem Western ini. Berganding bersama Patrick Wilson (The Conjuring) dalam menjejaki semula isterinya yang diculik suku orang asli yang digelar “Troglodytes”, mereka asalnya suku Red Indian buangan yang hidup dalam gua, tanpa bahasa, melakukan sumbang muhrim, kannibal dan pagan

Semuanya bermula apabila seorang perompak yang menceroboh kawasan Troglodytes berjaya melarikan diri ke pekan Bright Hope. Sheriff Fraklin mengesyaki sesuatu yang tidak kena dan menangkap perompak itu, tiba larut malam puak Troglodytes telah memecah masuk balai menculik Timbalan Sheriff bersama isteri Patrick Wilson yang sedang merawat kaki perompak tersebut. Dari anak panah yang ditinggalkan dan maklumat yang diperolehi dari “The Professor” Red Indian, mereka dapat menjangka lokasi suku Troglodytes itu. 

Maka bermulalah operasi menyelamat yang diketuai Sheriff Franklin Hunt dan rakan-rakan, turut membantu John Brooder seorang yang pakar dalam persenjataan dan pembenci Red Indian. Bagi saya ini diantara filem Western yang mempunyai plot penceritaan terbaik dan unik. Tiada yang sepertinya sebelum ini. Malah ia disenaraikan dalam genre ‘seram’. Kenapa? Lihat sendiri bagaimana penyeksaan yang akan diterima mereka setelah berjaya ditangkap suku ini. Hebat, mendebarkan dan pasti mengugurkan jantung anda! Jika anda minat filem koboi dan juga filem seperti Apocalypto, Cannibal Holocaust, The Hills Have Eyes, boleh cuba Bone Tomahawk.

9/10

Isnin, 23 November 2015

PERKAMPUNGAN SUNNAH



Antara jenama kebanggaan rakyat Perlis yang diperkenalkan oleh Mufti Negeri adalah Perkampungan Sunnah, ia bagai sebuah konvensyen yang memuatkan slot-slot pengajian kitab dan ilmu dari awal subuh hingga ke malam. Tanpa membuang elemen santai dan riadah, ia turut memberi ruang kepada aktiviti sukan seperti memanah, berbasikal bersama DYTM Raja Perlis dan Dr. MAZA, pameran, gerai jualan kitab, buku agama dan produk-produk tempatan, Forum Perdana dan juga perkenalan kepada street dakwah melalui kerjasama MRM (Multiracial Reverted Muslims). Ada pihak yang memperlekehkan usaha dakwah dan islah melalui idea ini, termasuk berhujah dengan mengatakan ahlus sunnah sendiri menganjurkan perkara bid'ah melalui 'perkampungan sunnah', kerana bagi mereka tiada 'perkampungan sunnah' di zaman baginda, Rasulullah SAW. 

Saya tertarik dengan penjelasan mudah dari Mohd Hairi Nonchi, 15.11.2015, mengenai bid'ah:

Benarkah bidaah ada dua, bidaah yang baik dan bidaah sesat?

Pertama harus difahami terlebih dahulu maksud bidaah secara bahasa (lughah) dan secara istilah (syarak).

Bidaah secara bahasa ialah segala sesuatu yang baharu yang belum ada contoh sebelumnya. Bidaah dalam konteks ini tidak semuanya haram dan sesat. Sebahagiannya ada yang baik dan diterima oleh syarak.

Manakala bidaah secara istilah ialah segala tatacara ibadah baharu yang tidak diajar dan dianjurkan oleh al-Quran mahupun as-Sunnah Nabi yang sahih. Maka bidaah dari sudut ini tidak ada yang baik. Semuanya adalah buruk, sesat dan dicela syarak.

Ini kerana, semua tatacara ibadah sudah pun diajarkan secara lengkap dan terperinci oleh Rasulullah sebelum wafatnya. Maka tidak mungkin selepas kewafatan baginda, masih ada wahyu yang mensyariatkan suatu tatacara ibadah baharu dan menjanjikan pahala kepada mereka yang mengamalkannya.

Apakah contoh bidaah yang baik?

Contoh bidaah yang baik ialah penggunaan mikrofon (alat pembesar suara) untuk melaungkan azan.

Ia adalah alat yang tidak pernah wujud (bidaah) pada zaman Nabi. Namun oleh kerana ia memberi manfaat kepada manusia dalam melaksanakan ibadah kepada Allah, maka ia adalah suatu yang baik.

Apa yang baharu di sini hanyalah pada alatnya yakni mikrofon, namun tatacara azan (ibadah) tidaklah berubah. Ia tetap sebagaimana asalnya yang diamalkan pada zaman Nabi dan para sahabat.

Contoh lain ialah penggunaan pengangkutan moden ke masjid untuk menunaikan ibadah solat dan ayat al-Quran dalam bentuk digital. Apa yang baharu hanyalah pada alat, bukan tatacara ibadah solat dan lafaz ayat-ayat al-Quran.

Sabtu, 14 November 2015

NATHIAS ZINE # 9 (OKTOBER 2015)


Nathias Zine bermula pada 1993, 4 tahun lebih awal dari Kemenyan Zine yang saya sunting, seingat saya editornya saudara Suffian (dikenali sebagai sering menampilkan kulit hadapan dengan gambar-gambar hantu yang terus dikekalkan hingga ke isu # 9 ini. Saya ingat-ingat lupa, rasanya saya pernah membeli satu isu dan ‘trade’ zine bersama beliau lama dahulu. Nathias jika mahu diikutkan telah berkubur sahaja menerbitkan isu # 8 pada 2001 kerana berpindah beliau ke Kelantan dan sibuk dengan kerjaya. Bagaimanapun beliau masih meneruskan hobinya itu menerusi webzine bergelar Aesthethic Extremity kemudian blog Ekstrim yang masih aktif hingga kini.

Suffian menyatakan semangatnya membakar semula apabila melihat saya menerbitkan semula Kemenyan, sekaligus beliau bertindak mengumpul semua material yang sepatutnya diterbitkan pada 2002 itu dan tanpa ragu-ragu mengumumkan Nathias kembali semula! Ia menampilkan temubual-temubual klassik bersama KULT OF AZAZEL, INTERNAL SUFFERING, KSK, MORTUARY ANCESTOR, HOLY DRAGONS, UGRA KARMA, PERPETUAL, DEMISOR, ANGELKILL dan banyak lagi. Anda juga akan temui bedozen-dozen ulasan terperinci album-album pada awal millennia. Semua ditulis dalam bahasa Inggeris, dan mempunyai reka letak yang selesa pada mata. 

Sokongan ke atas Nathias begitu mengalakkan dan diharapkan beliau dapat meneruskan media bawah tanah ini dalam bentuk cetakan. Perlu dimiliki oleh semua peminat muzik lasak!

Email: nathiasmag@gmail.com
Facebook Nathias Zine

Isnin, 2 November 2015

REPULSIVE REGURGITATION ZINE # 2 (OGOS 2015)


Zine kegemaran saya ini terbit lagi, tidak sangka pula Epul ini begitu komited terhadap penulisan beliau dan semangat dalam mengekalkan kualiti persembahannya. Masih dalam format yang sama dan isi yang padat, Repulsive Regurgitation muncul lagi dengan temubual bersama Josh Landes(Limbs Bin), Dylan Walker(Full Of Hell), Hagamoto Tamocho(Patisserie), Felch "Mike" Beast(Filth), Blake Harrison(Hatebeak), Dom(Pan Del Muerte Records), Jacob Lopez(Drowned), Makoto(Organs Tortured), Pauly(Christ Crusher), Ryan(Meth Leppard), Harvs(Jackson Firebird), Dopi(Bodybag), Semih(Sakatat), Tomoaki(Catasexual Urge Motivation), Susumu(Maggut), Jocke(Entrails), NX5(Active Stenosis) dan menariknya ada juga mukasurat-mukasurat yang disunting dari Phoenix Militia Zine #7 (1987) atas kebenaran Bill Steer sendiri. Bagi mereka yang rindukan zine dengan feel 80-an & 90-an (font mesin taip, suntingan gunting dan tampal) anda harus dapatkan zine ini. Terbaik dan terus dari ladang grindcore!

Sabtu, 31 Oktober 2015

SISI GELAP SEEKOR KUCING

Hari ini satu kajian dari University of Edinburgh and Bronx Zoo telah menyiarkan bahawa kucing mempunyai kegilaan dan akan merancang untuk membunuh tuannya jika berpeluang. Hanya saiz menjadi halangan mereka dari melakukannya. Kajian ini telah dijalankan ke atas 100 ekor kucing termasuk dari spesis kucing belaan, harimau salji, kucing liar Scottish, singa Afrika dan sebagainya.

Saya sukakan kucing kerana keunikan personaliti mereka. Ikuti video ini untuk kenali tabiat dan perilaku mereka selain berlagak comel. hehehe.




Khamis, 15 Oktober 2015

JOHN WICK (2014)


Jika Frank Moses dalam R.E.D adalah pesara CIA yang super hebat cuba dihapuskan oleh CIA sendiri untuk menutup dosa Timbalan Presiden USA dalam satu operasi di Vietnam, dan akhirnya dengan bantuan pihak Russia beliau berjaya membongkar konspirasi pembonekaan jawatan Presiden itu. Filem seperti The Prince, Run All Night dan Home Front turut mempunyai twist seperti John Wick.

John Wick mengisahkan seorang assassin (pembunuh professional) yang telah bersara apabila bertemu jodoh dan hidup normal. Malangnya isterinya meninggal dunia mungkin kerana ‘kanser’ (tidak dinyatakan), bagai jatuh ditimpa tangga, selang beberapa hari kematian isterinya 3 orang penyamun telah memecah masuk rumah Wick mencuri kereta vintaj miliknya dan membunuh anjing yang dihadiahkan mendiang isterinya. Salah seorang penyamun tersebut adalah anak kepada ketua mafia Russia bernama Viggo, lebih mengharukan lagi Viggo adalah bekas majikan John Wick. Viggo mengelar John Wick sebagai “baba yaga”, iaitu hantu.

Bertindak balas dari kemurungan dan dendam, John Wick kembali memulakan operasi memburu dan membunuh. Satu benda yang saya suka adalah aksi bertarung Keanu Reeves yang memang mengingatkan kepada filem aksi John Woo, dengan tambahan nilai kesan bunyi realistik. Maksud saya, TIADA “Kedebush”, “Pooww!”, “ Booakkk!”, semua kedengaran macam bertumbuk dalam keadaan nyata. Bukan macam filem Tamil atau Rocky. Difahamkan hampir kesemua pasukan stunt didatangkan dari pasukan yang menjayakan filem The Matrix. Sentuhan komputer pada mangsa-mangsa tembakan Wick menjadikan persembahan John Wick lebih kejam dan ganas. 


Difahamkan pengarah, Stahelski banyak merujuk filem dari Clint Eastwood, filem Hong Kong serta anime untuk menghasilkan drama pertarungan yang mantap. John Wick boleh mengubat duka bagi yang kecewa lakonan suram beliau dalam filem komikal 47 Ronin (2013) sesuai untuk kanak-kanak dan remaja. Sekual John Wick telah diumumkan sedang dalam proses pengambaran. Mungkin Eva Longoria (penerbit) dapat untung banyak melabur dalam filem ini?

Band rock Keanu Reeves, DOGSTAR masih aktif kah?

Rabu, 7 Oktober 2015

REPULSIVE REGURGITATION (MALAYSIA) # 1



Saya tidak tahu kewujudan zine ini hinggalah sang editor nya, Epul Rikard menghubungi saya untuk ‘trade’, pastilah saya setuju apabila melihat sahaja kualiti yang dipersembahkan. Saya tidak sangka sekali ada editor zine Malaysia yang sanggup melabur sejumlah wang bagi mendapatkan hasil yang baik seperti ini. REPULSIVE REGURGITATION perlu disokong dan dibeli setiap isu akan datang kerana kita tidak mahu media bawah tanah tempatan seperti ini berkubur, malah kita berbangga dengan karya serius seperti ini. Saya dipahamkan dalam tahun ini sahaja isu # 1 ini telah dua kali diulang cetak kerana sambutan yang mengalakkan. Syabas!

REPULSIVE REGURGITATION adalah zine size A5 dengan 230 muka surat yang disunting dengan kaedah cut and paste bersahaja bagi mengekalkan etika underground mereka. Zine ini memfokuskan scene grind/death/noise secara esklusif. Namun jangan risau intipati, perbincangan dan kupasan REPULSIVE REGURGITATION relevan untuk semua metalhead. Dan anda pasti terhibur membaca dan mengenalinya. Menampilkan temubual bersama ahli Carcass, Napalm Death, Agathocles, Warsore, Hellexist, Gore Beyond Necropsy, Albert Mudrian, Nuclearalcoholocaust Records dam banyak lagi.

Bagi edisi pertama ini, editornya dilihat begitu obsessif pada material sulung NAPALM DEATH dan kebangkitan genre grindcore yang dipelopori kumpulan tersebut.

Khamis, 24 September 2015

SIAPAKAH SEBENARNYA MUHAMMAD BIN ABDUL WAHHAB ( AL HIDAYAH )



Buku ini saya beli sebagai memperingati dan memoir kepada Al Marhum Syeikh Wahbah Az-Zuhaili (Syiria), cendakiawan Islam yang dikagumi dunia kerana cerdasan akalnya, seorang ulama tersohor dan pakar dalam perundangan Islam. Sejak kecil bapanya memanggil Dr. Wahbah “Syeikh al-Islam” dan beliau gemar menulis ketika Subuh. Allahyarham telah mengarang lebih dari 200 kitab dan turut menulis lebih dari 500 risalah dakwah serta islah. Dr. Wahbah Az-Zuhaili pergi mengadap Ilahi pada 8 Ogos lalu, kehilangan beliau sangat dirasai oleh umat Islam serata dunia.

Antara fatwa beliau yang saya gunapakai TIDAK wajib berpegang kepada satu mahzab sahaja dari 4 mahzab yang benar. Bagi orang awam adalah afdal mengikut pendapat mufti yang terdiri dari Ahlus Sunnah.

Buku cetakan edisi pertama tahun 2015 ini diterjemah oleh Prof Madya Dr Basri Ibrahim al-Hasani al-Azhari (Universiti Sultan Zainal Abidin, K.Terengganu) yang juga penerima Anugerah Tokoh Penulis Muda Buku Islam 2007 ini wajar dimiliki oleh semua warga Malaysia yang masih paranoid pada gelaran “Wahabi” dan mempergunakan istilah itu sebagai ‘pembunuh hujah’ disebabkan dunia (USA) dan kebanyakan ulama ‘nusantara’ mempromosikan gelaran “Wahabi” sebagai orang-orang sesat, dajjal atau pelampau.

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab walaupun berbagai tomahan yang telah dileparkan kepadanya adalah seorang ulama reformis yang berjaya melakukan “ISLAH” di Semenanjung Tanah Arab dalam bentuk membenteras segala kepercayaan syirik dan amalan yang tidak berdasarkan sunnah. Beliau bukan sahaja seorang ulama yang berjaya menyedarkan masyarakat tentang perlunya kembali pada sumber asal Islam, malah berjaya membuat perjanjian dengan pemerintah Dar’iyyah untuk menjaga sunnah Rasulullah SAW. Sesuatu yang agak mustahil dilakukan ulama moden. Syeikh Muhammad Abdul Wahhab adalah tokoh controversial hingga kini. Ada golongan yang menyokong beliau keterlaluan sehingga apa sahaja yang beliau lakukan dianggap sempurna. Dan ada juga golongan yang menentang beliau keterlaluan hingga melabelkan beliau dajjal, khawarij dan sebagainya. Namun kemunculan beliau merupakan komponen yang membawa kepada pembentukan kerajaan Arab Saudi dan penghapusan dalam berbagai-bagai perkara syirik dan khurafat.

Saya juga baru mengetahui, rupanya memang wujud puak khawarij dikenali sebagai “Wahabiyyah” yang diketuai oleh Abdul Wahhab bin Rustum muncul di Afrika Utara ratusan tahun sebelum era Syeikh Muhammad Abdul Wahhab yang difatwakan sesat oleh ulama-ulama zaman itu. 

Ketakutan ulama dan ustaz negara kita pada wahabi ini mendorong mereka untuk melabelkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dalam isu agama sebahai wahabi. Gelaran yang dipergunakan agar menjauhkan masyarakat dari berguru dan belajar dari ulama dan ustaz berkenaan. Begitu juga kita dapat lihat bagaimana permusuhan penyokong wahabi terhadap golongan sufi apabila tokoh mereka seperti Sayyid Qutub, Hasan al-Banna dituduh sebagai sesat. Yang terkini Arab Saudi mengganggap Ikhwan Muslimin di Mesir sebagai sesat. Ia mengeruhkan lagi keadaan dan menimbulkan panik terutama bagi masyarakat nusantara atau orang Melayu yang bersopan santun dan sukakan adat, serta meminati pengajian ilmu tasawuf dan tarikat. 

Ustaz dan ulama di negara kita juga dilihat banyak mengetengahkan pandangan dan kitab syeikh dan ulama anti wahabi dari pengaruh golongan Ahbasy dan pengikut Hasan as-Saqqaf dari Jordan dengan tuduhan melulu dan tanpa pertimbangan.

Mazhab as Shafie’e dilihat serasi dengan nusantara dan mampu menyelesaikan berbagai-bagai masalah umat kepulauan Melayu. Namun, kemunculan golongan yang dikaitkan dengan wahabi dinegara kita akhir-akhir ini dianggap sebagai ancaman mahzab Shafie’e, boleh dilihat sebagai petanda positif apabila ia telah menarik minat masyarakat untuk mendekati al Quran dan pengajian hadis. Umat Islam mula membanjiri masjid dan surau untuk mengambil tahu isu itu dan ini. Kekuatan dalil dari al-Quran dan as Sunnah. Ustaz-ustaz juga sudah mula memperkasakan diri dengan dalil dan hujah al Quran dan as Sunnah jika mahu mempertahankan sesuatu pendapat dari mahzab pilihan mereka. 

Bagi saya ia sebuah buku yang sangat bagus, melalui pendapat tokoh besar Islam yang tidak melampau ke kiri dan ke kanan supaya pembaca boleh membuat analisis sendiri dalam menilai perjuangan Syeikh Muhammad Abdul Wahhab yang sebenar.

Boleh didapati dimana-mana toko buku, Popular dengan harga RM9.00.

"Umat Islam seluruhnya kehilangan Tokoh Ulama Besar, laksana kehilangan satu bintang yang menunjuk arah perjalanan yang jauh di alam dunia sehingga akhirat, kerana ilmunya, amalan dan perjuangannya melalui tulisan dan lisan . Dr Wahbah Az-Zuhaili Rahimahullah berusia 83 tahun, Allamah bumi Syam atau Syria, kalangan mereka yang benar-benar mewarisi pusaka Anbiya a.s" - Hadi Awang

“Berita kewafatan al-Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili mendukacitakan umat Islam. Suatu kehilangan besar. Sumbangan ilmunya kepada umat di zaman kini amatlah bermakna. Beliau guru kita semua. Semoga Allah menerima segala sumbangan dan jasanya kepada agama dan umat ini." - Dr MAZA

Ahad, 20 September 2015

KEMENYAN: BOOK OV METAL SORCERY, DAPATKAN MELALUI PENGEDAR BERDEKATAN ANDA


KEMENYAN: Book of metal sorcery
Penulis: Rammy Azmi

Himpunan koleksi Kemenyan zine dalam format profesional telah diterbitkan. Menampilkan 58 temubual nostalgia bersama AS SAHAR, IMPIETY, HAYAGRIVA, BETHEL, BAL-SAGOTH, CASTIGATE, BLACKFIRE, CELTIC DANCE, CALLENISH CIRCLE, DEPRESY, DEMONIFICATION, DESASTER, GRIM FORCE, CYPTIC MALEDICTION, ETERNAL MADNESS, LANGSUIR, IRONSWORD, NEBIRAS, VARATHRON, BEHEMOTH, WOLFBRIGADE, SENTENCED dan banyak lagi.

Turut dimuatkan sebagai bonus adalah temubual terkini bersama BLOOD LEGION, MORTUARY DRAPE, DARKTHRONE, ETERNAL ARMAGEDDON, HERETIC ANGELS, BELLIGERENT INTENT dan GRUNDAR PRODUCTION. untuk kepuasan pembaca bagi mengenali bangkit dan tumbang empayar muzik lasak di Malaysia ini. Beberapa artikel, lukisan dan foto-foto unik turut dipersembahkan dalam kualiti cetakan terbaik, 210 mukasurat yang padat infomasi serta nilai etika muzik bawah tanah yang masih dipertahankan.

Kemenyan: Book of metal sorcery ditulis dalam bahasa Inggeris ringkas dan mudah difaham, kualiti cetakan sempurna dan yang pertama seumpanya di Malaysia.

RM40 (termasuk Pos Laju) 
Pembayaran perlu dibuat kepada: 
Ahmad Raimi, Maybank, No acc: 112223207413 seterusnya beri alamat anda ke: 019-2281979 selepas pembayaran.

PENGEDAR RASMI:

KUALA LUMPUR

Metal Shop Uncle Lim, Tingkat 2 Campbell Complex, Jalan Dang Wangi

Basement Records Shop, Bukit Bintang (Facebook, Tel: 011-2432 8562)

Ahmad Nizang, Klang dan sekitarnya ( Facebook, Tel: 0179639316)

PUTRAJAYA, KAJANG dan BANGI
Ah Chuan, ( Tel: 017-2966640)

JOHOR BAHRU

Grundar Production, Larkin (Facebook, Tel: 019-7754600)

PAHANG
Azril, Itna Tsirhc Merchandising, Kuantan (Facebook, Tel: 012-9677581)

SABAH

Mikail Rot, Kota Kinabalu (Facebook, Email: dis_carnage@yahoo.com )

SARAWAK

Zizie Row, Kuching (Facebook, Tel: 016-8935596)

PENANG
Gerakbudaya Bookshop, Georgetown ( website, Tel: +60 (0) 4 261 0282 )


PERAK
Necro X Studio, Ipoh ( Tel: 019-427-1054 )

Isnin, 31 Ogos 2015

MINDA PALING KREATIF TAHUN 1949

Salam kemerdekaan...

Adakah orang Melayu benar-benar ketandusan inspirasi dan idea-idea tulen sejak dari dahulu lagi atau dikongkong dan didorong kuasa asing supaya mencorakkan pemikiran melalui asas yang mereka bina? Ia satu persoalan yang sentiasa bermain dalam minda saya, lebih lagi apabila terbaca beberapa teori daripada golongan nasionalis mengenai orang Melayu malas kerana diprogramkan oleh Inggeris. Apa benar Inggeris yang bersalah menyebabkan Melayu malas walaupun kemerdekaan telah diperolehi sejak 58 tahun lalu?



Melihat keratan akhbar ini, adakah ini idea terunggul seorang negarawan pada tahun 1949? Dan kenapa reka-lukis itu yang dipilih? Umum juga perlu tahu, reka bentuk bendera tersebut perlu mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Ada pihak marah yang marah apabila dikritik mengenai reka-lukis yang mencerminkan minda terjajah ini. Bukankah mengkritik untuk penambahbaikan itu suatu hak dalam demokrasi? 

Saya teringat suatu liputan berita mengenai Angkatan Tentera Malaysia yang berkhidmat dibawah panji-panji NATO ditembak mujahiddin di Afghanistan oleh kerana bendera Malaysia yang dijahit dijaket tentera kelihatan seperti The Stars and Stripes. Peristiwa ini berlaku (mungkin pada tahun 2010, kebanyakan enjin carian sudah tidak mengarkibkan berita ini lagi). Pihak mujahiddin memohon maaf atas kekeliriuan itu namun ia tamparan hebat buat imej negara, dan bagi pemimpin yang ada jati diri. 

Saya seorang patriotik tetapi bukan nasionalis. Menurut George Orwell:

"Nationalism is not to be confused with patriotism. By ‘patriotism’ I mean devotion to a particular place and a particular way of life, which one believes to be the best in the world but has no wish to force on other people. Patriotism is of its nature defensive, both militarily and culturally. Nationalism, on the other hand, is inseparable from the desire for power. The abiding purpose of every nationalist is to secure more power and more prestige, not for himself but for the nation or other unit in which he has chosen to sink his own individuality."

Selamat hari kemerdekaan kali 58, Ya Rabb merdekakan kami dari kemalasan, kelemahan, kedegilan dan ketumpulan akal.

Jumaat, 21 Ogos 2015

KHUTBAH JUMAAT NOUMAN ALI KHAN

Nouman Ali Khan
Lahir pada 4 Mei 1979, Kelahiran Berlin, Jerman
Warganegara: Amerika Syarikat (Dallas)
Pengasas dan CEO Institut Bayyinah
Anak murid kepada Dr. Abdus-Samie Pengasas dan pengetua Quran College,
Faisalabad, Pakistan
Professor di Nassau Community College hingga 2006
Kini aktif dalam aktiviti dakwah peringkat antarabangsa terutamanya berdebat dalam isu Islamophobia.

Saya merasa bertuah hari ini kerana diberi kesempatan untuk mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan Ustad Nouman Ali Khan, atau mesra dipanggil bro NAK di Masjid Negeri, Arau. Gembira juga apabila Mufti Perlis dan Tuanku Raja Muda sangat aktif dalam membawa tokoh-tokoh dakwah untuk diperkenalkan kepada rakyat Perlis dan menimba ilmu dari mereka. Alhamdulilah, semoga Allah memberkati usaha kedua mereka.

Kali pertama saya lihat khatib menyampaikan khutbah tanpa teks sebaliknya dengan membawa senaskah al-Quran sahaja dan memfokuskan hanya kepada 2 ayat dari al Baqarah;

Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim". (Al-Baqarah 2:35)

Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". (Al-Baqarah 2:36)

Benarlah apa yang saya baca mengenai kehebatan bro NAK dalam memberi penafsiran firman Allah SWT dengan begitu indah sekali. Sungguh mendalam dan mengkagumkan. Walaupun fokus utama adalah 2 ayat diatas, beliau turut mengaitkan beberapa lagi ayat dari al Baqarah juga untuk memberi kefahaman yang jelas kepada para jemaah.

Antara yang boleh saya kongsikan:

Manusia seringkali terlupa pada nikmat yang dipinjamkan, sehinggalah pada satu ketika manusia enggan menyerahkan semua apa yang dipinjamkan. Malah disebabkan kegigihan dan kesukaran untuk memperolehi nikmat itu, kita menganggap ia seperti sebahagian dari diri. Dan kita terikat padanya.

Manusia sentiasa terdorong untuk melanggar larangan Allah SWT walaupun pada hakikatnya Dia telah memberikan segala macam benda dan nikmat yang luas dan mengharamkan sedikit hal yang tidak baik untuk manusia. Namun manusia akan tetap menyukai yang haram itu. Kenapa? Lain tidak bukan, adalah tipu daya dan pengaruh dari syaitan. (Bro NAK menjelaskan bagaimana syurga yang luasnya seluruh langit dan bumi dan dipenuhi pohon-pohon berbuah, tidak terkira pokok-pokok, pernahkah anda bertanya dan bayangkan setelah Adam a.s merantau ke seluruh syurga dan menemukan bermacam-macam pokok, dia tetap kembali ke pohon larangan yang satu itu?

Cari harta dengan cara yang baik dan suci untuk beramal jariah. Bro NAK memberi contoh peruncit Muslim di USA yang menjual arak di kedai namun apabila tiba Ramdan mereka rajin bersedekah bagi ‘membersihkan’ duit mereka, begitu juga mereka-mereka yang menipu pelanggan dan mengamal rasuah yang berangkat ke Mekah untuk bertaubat di Kaabah kerana mendapatkan hasil dari jalan salah. Itu semua satu teori yang salah, kerana aturan 1 yang disebut Allah SWT (cari dari jalan yang baik lagi suci) telah anda cabuli. Langkah 2 (sedekah), Langkah 3 (taubat) dan seterusnya itu tidak akan menjadi sempurna dengan kecacatan pada langkah pertama tadi. Oleh itu usaha untuk mencari rezeki yang suci dan halal harus diutamakan. (al Baqarah 267)

Sentiasa gembira dan ikhlas untuk bersedekah kerana apa yang kita punyai adalah hak Allah SWT, dan jangan gusar kerana apa yang diberi hakikatnya kita kembalikan semula pada Allah. Berterima kasih pada yang fakir, miskin yang memohon bantuan pada kita. Bukan mengeji dan menghina mereka kerana Allah SWT memberi peluang untuk anda membuktikan iman melalui mereka. (al Baqarah 268 dan 276)


Raikan orang-orang fakir dan miskin. ( bro NAK menunjukan contoh secara langsung sebaik selesai solat Jumaat apabila ketika menyampaikan bantuan pada asnaf OKU, bro NAK sendiri berjalan mendapatkannya, bukan menunggu OKU itu datang mengadapnya apabila namanya dipanggil) (al Baqarah 262)

Semoga bro NAK dapat kembali lagi ke negeri Perlis dan moga Allah memberkati dan merestui usaha-usaha dakwah beliau. Kebetulan umur kami sama tapi terbukti usia beliau lebih barakah dengan ketinggian ilmunya.

“When seeking knowledge, remember that guidance is the ultimate goal. Having a lot of knowledge is not a sign of guidance from Allah”. –Nouman Ali Khan

Sabtu, 8 Ogos 2015

NORTHERN FIGHT CHAMPIONSHIP



Bila mendapat tahu rakan baik masuk bertanding dalam acara Mix Martial Art peringkat amatur yang buat pertama kali dianjurkan di Kedah saya teruja. Ini kerana saya kenal sangat dirinya. Membuat keputusan untuk bertarung dalam acara kickboxing digelanggang bukanlah satu perkara mudah. Samseng jalanan yang bengis menyinga belum tentu berani naik masuk ke dalam octagon untuk bertempur secara adil. Untuk itu, saya tidak malu untuk mengatakan I’m half the man he is. And I’m totally proud of you, my friend.

Badril atau saya panggil beliau Diken bukanlah natural born fighter, dia nerd, orang pekan, orang mengaji pandai. Saya ingat lagi sekitar tahun 1995-96 ketika saya dipengakhiran sekolah, kami tak pernah risau tentang SPM, malah kami turun belajar tomoi setiap malam dibelakang rumah kru. Ah Chuan lah yang sering memaklumkan Diken sangat-sangat berminat dengan tomoi tetapi susah nak turun belajar kerana keadaan beliau yang masih terikat dengan keluarga ketika itu. Kami budak-budak buas tiada undang-undang bebas buat apa sahaja yang kami suka, jangan sampai tertangkap dan busukkan nama mak ayah, itu dah kira ok. Jadi budak-budak macam saya terdedah dengan dunia tempur jalanan ini lebih awal.

Seingat saya, Diken mula berlatih tomoi sejak tahun 2013, bayangkan dalam jarak 2 tahun, beliau dah berani jejak kaki ke gelanggang. Dan yang bagusnya tentang beliau, walaupun tidak mengikuti sebarang seni mempertahankan diri sebelum itu, beliau menjaga fitness dengan rajin berjogging, tidak merokok dan mengamalkan diet yang sihat. Pentingnya displin itu telah terbukti hari ini! Apabila jelas kelihatan lawan beliau, dikenali sebagai pengamal karate berpengalaman tewas kerana semput dipusingan ke 3 walaupun berjaya membelasah Diken dengan kemahiran dan fokus. Diken berjaya menahan asakan tersebut dengan stamina yang tinggi dan berkekalan.

Lawan Diken adalah anggota polis, Dzulkilee Dennis yang mempunyai berat badan 76 KG dah berusia 35 tahun dari Karate Do Shotoshinkai. 

Saya bukan fighter pro, tetapi apabila diminta untuk memberi amanat sebelum bertarung, melalui apa yang dipelajari dan siapa Diken yang saya kenal. Saya meminta untuk beliau agar tidak terlalu membuat analysis mengenai lawan, jangan memandang terlalu tinggi pada lawan, keep it raw dan simple. Lakukan serangan mudah tetapi lethal. Paling penting jangan lupa element of surprise!

Saya kenal Diken, dia ulat buku dan terlalu memperinci dalam membuat tindakan, dan beliau bukan manusia yang pernah melibatkan diri dalam pergaduhan jalanan. Dia perlu jadi orang lain hari ini dan menghadapi cabaran tanpa beban otak memproses data, sebaliknya hilangkan beban itu. 

Bebaskan perikebinatangan itu.

Sebelum ke dalam octagon, saya menampar muka beliau untuk menaikan kemarahan. Itu satu pesanan dari seorang fighter berpengalaman kepada saya jika gentar untuk masuk menghadapi lawan. Suntik sedikit kemarahan, tampar dan malukannya sebagai motivasi. 
























Rasanya kira-kira 500-1000 orang menyaksikan perlawanan di kompleks membeli-belah The Village Mall itu. Dan perlawanan bermula dengan asakan ganas dilakukan Dzulkilee terhadap Diken hingga menyebabkan beberapa kali beliau terperosok dijaring besi dan terjelempuk di lantai. Kami semua terkejut dan risau. Jelas Dzulkilee mengunakan seluruh kekuatan, mempunyai kawasan target (muka) yang tepat pada sasaran.

Namun, tidak dijangka Dzulkilee mula menunjukkan tanda-tanda lelah dan keletihan pada penghujung pusingan kedua. Walaupun Diken menerima hampir 20 tumbukan di muka, saya sempat lihat beliau berjaya membuat pusingan badan sambil melibas penumbuk ke muka Dzul. Itu ada gaya dan full of surprise.

Alhamdulillah, walaupun teruk digasak, Diken tetap berdiri teguh dan stabil. Dipusingan ketiga, Dzulkilee terjelempuk dilantai dan bersetuju dengan pengadil untuk tidak meneruskan pertarungan kerana kepenatan. Diken dengan rasminya diumumkan sebagai pemenang dan mengharumkan nama The Stadium Fight Team yang menaunginya.

Pertarungan ini pastinya akan merubah dan memberi makna baru dalam perjalanan hidup beliau. Harapnya ia adalah titik permulaan karier beliau sebagai professional fighter.

Dari pertarungan itu, dapat disimpulkan bahawa tidak bermakna jika anda dilahirkan tidak berbakat, maka anda tewas kepada insan tersebut dari azali. Tidak!, bakat akan tewas jika sombong dan malas. Latihan dan ketekunan MAMPU menewaskan bakat.

Seni mempertahankan diri adalah kemestian untuk lelaki. Keberanian melangkah ke gelanggang adalah suatu kehormatan bagi pengamalnya. Ia mencabar keupayaan dan daya tahan diri sendiri, BUKAN lawan. Oleh itu aura karisma mereka akan dapat dirasai oleh orang lain sekitarnya.

Dan yang terakhir, jangan sesekali memukul lelaki dihadapan isteri dan anaknya. Kadangkala ada suatu kuasa pelik meresap dari jauh bila terdengar jeritan mereka!

Tahniah Badril Anuar @ Badril Dickenson.

Jumaat, 31 Julai 2015

SERUAN KEPADA KEMUSNAHAN



Buat kali kedua, saya diminta untuk memberi pandangan mengenai single terbaru dari NILE "Call to Destruction" yang menjadi viral dikalangan peminat muzik lasak yang kurang suka dengan pendekatan mereka yang seolah-olah bersetuju dengan fundementalis Islam.

Ini bukanlah kali pertama NILE, firaun death metal dari USA yang taksub pada Egyptology ini mengetengahkan idea death metal dan mesej Islam yang sebelum ini telah dirakamkan melalui lagu "Kafir!" dalam album "Those Whom The Gods Detest" (2009). NILE dilihat seolah-olah berjaya membawa elemen 'shock rock' yang segar pada era ini untuk menarik perhatian pendengar. Seperti yang pernah dicakapkan oleh Toni Iommi ketika meraikan kejayaan album "Black Sabbath" (1970), pendengar suka ditakutkan dengan elemen ngeri. Kengerian adalah satu bentu hiburan pada hakikatnya. NILE sendiri mengakui sejak lagu "Kafir!" lagi mereka akan terus memanipulasi subjek yang menjadi ketakutan masyarakat dan para remaja Amerika sebagai kejutan. Bagi mereka ia formula yang sangat bertepatan dengan konsep death metal lebih lagi ia melibatkan falsafah yang dianggap ektrim di Barat.

Bagi yang menganggap NILE pro-Islam atau tidak peka dengan umat Islam, keduanya satu pandangan yang mungkin berasas jika dilihat mereka mengambil ilham dari ungkap kata;

“The inspiration for the song itself comes from news reports in 2012 — when radical clerics were calling for the destruction of Egypt’s pyramids. Most of the lyrics to “Call To Destruction” are actual direct quotes from the words of Abd al-Latif al-Mahmoud — whose eloquence and quote-ability are clearly second to none.”

Tetapi pada pandangan saya, mereka hanya berminat pada idea ektrim yang melibatkan apa sahaja subjek dari Timur Tengah. Bagaimanapun, suka saya sebut, NILE telah buat sesuatu yang hebat kerana ia menjadi satu perbahasan rentas bangsa-agama-benua. Moga dengan usaha mereka sama ada dengan sebarang niat itu, ia mencetuskan gerakan mengali hidayah dan menyelidik kebenaran.

Elok jika anda teliti sendiri video berlirik rasmi dari mereka diatas.

NILE = Wahabi. ( hihihi)

Sabtu, 18 Julai 2015

GANGSTER KOLA











  Banyak pakai barang recycle aja untuk renovate rumah.

Tidak pernah terdetik saya akan berpindah ke Kuala Perlis suatu hari nanti. Bagaimanapun, saya tiada pilihan disebabkan harga tanah dan rumah yang mahal di Perlis (lebih mahal dari Kedah) maka saya membuat pinjaman membeli sebuah rumah teres di Kampung Wai, kawasan suburban area yang tidak pernah saya jejaki sebelum ini. Saya membeli atas cadangan Yen @ Dementor, gitaris THE RAVENS kerana harganya yang murah kerana lokasi kurang popular.

Bercakap tentang Kuala Perlis, perkara yang paling sinonim adalah gangster kola dan dadah. Itu yang membuatkan banyak orang tidak suka bergaul dan trauma dengan warga kola. Katanya Kuala Perlis dah banyak berubah? Itu saya olah sebentar lagi.

Saya masih dalam kerja-kerja ubahsuai dan pembaikan rumah ketika ini kerana baru sahaja mengambil alih rumah yang saya telah disewakan kepada Universiti Malaysia Perlis sejak 5 tahun lalu. Sepanjang sebulan saya datang membaiki rumah setiap dua hari sekali, saya boleh dikatakan jarang sekali saya bertemu penunggang motorsikal memakai topi keledar di atas jalanraya. Entah apa alasan, 2 kali longgongkan sampah berulat dan busuk dengan sengaja diletakkan di hadapan rumah saya? Sehinggalah saya bertanyakan hal ini kepada kontraktor sampah, dan dia membantu saya meminta tetangga agar tidak lagi meletakkan sampah di hadapan rumah saya kerana masing-masing dah ada tong sampah. Dan kes yang terkini, perumahan saya mempunyai sebuah gerbang kecil yang menghalang lalu lintas, jadi untuk keluar saya perlu hulur muncung kenderaan lebih sedikit dari lorong saya kerana kereta Volvo 740 agak panjang hadapan. Gerbang itu halang pandangan. Saya ditengking oleh seorang lelaki walaupun saya senyum dan mengangkat tangan padanya. Jelasnya, dia akan menjadi salah seorang tetangga saya nanti. Saya banyak mengelengkan kepala sepanjang tempoh perkenalan di Kuala Perlis ini.

 Tanaman pertama dihadapan rumah saya. Kurma hybrid dari Siam. Sesuai untuk tanah Asia. Genap 4 tahun In Shaa Allah berbuah. Jemputlah datang petik di rumah nanti. Benih kurma ni sepokok RM180.

Baik, ketika saya meminta seorang rakan yang merupakan juruteknik di Unimap sendiri untuk buat pendawaian elektrik, beliau mengeluh panjang. Katanya, ‘aku terkejut hang beli rumah situ. Kalau aku, memang aku tak sanggup, aku fikir panjang kat keluarga dan anak-anak aku. Tak mahu aku bila anak-anak membesar dan bersekolah dengan gangster kola. Rosak anak-anak”. Tambahnya “Kalau nak diikutkan bukanlah ulu sangat kola tu, 12 kilometer ja dari pekan Kangar. Tapi heran aku awat jadi macam tu?”. Katanya menceritakan sebuah kisah rakan sepejabatnya “pernah satu ketika, seorang staff kena kejar dan ditampar oleh orang Taman hang tu sebab bawa kenderaan jabatan laju dihadapan rumahnya. Tapi buku bertemu ruas apabila orang yang ditampar kebetulan adik ipar gangster kola juga, 4 biji kereta kepung rumah dia, tapi dia tak nak keluar rumah, last sekali depa hentam kereta dia remuk”.
 
Kata rakan saya, dia tak boleh bayangkan hari-hari mendatang saya jadi orang Kuala Perlis. Teringat semula kisah sahabat saya, Bain (kini peniaga kambing golek dan pekasam) seorang pengusaha kantin Unimap yang beroperasi dalam taman saya suatu ketika dahulu. Ceritanya, walaupun kantin itu khas untuk pelajar, tetapi pengawal tidak berani halang orang luar datang makan disitu. Suatu malam, kira-kira 20 orang mat rempit kola datang makan dengan menu serba mewah, apabila selesai makan salah seorang mereka bangun dan dengan megah memberi tahu pada rakan saya, mereka semua tidak mahu bayar dan meminta rakan saya anggap makan malam itu sebagai zakat. Walaupun rakan saya merayu kerana perniagaannya kecil, mereka hanya ketawa dan beredar begitu sahaja. Rakan saya yang baru berniaga kerugian besar dan menutup kantin itu beberapa minggu selepas itu.

Saya teringat juga kisah popular KFC kola yang kini diambil alih oleh T-Hotel berhadapan terminal feri itu. Anda tahu bagaimana ia bankrupt? Gangster kola datang hampir setiap hari mengambil ayam family bucket, dah la tak bayar, dibawanya dengan motorsikal sekali ke kaunter jurujual. Tak ke gila? Takkanlah KFC pun perlu polis bantuan? Maka, restoran itu pun tutup sekian lama. Dan akhirnya dibuka semula tidak jauh dari lokasi asal tetapi hanya restoran kecil.

Saya dilahirnya dalam keluarga yang tidak mempunyai apa-apa harta. Malah kami sekeluarga hidup menumpang dengan membina sebuah rumah (selayaknya pondok) diatas tanah milik moyang saya di Kangar. Sayangnya moyang saya mewariskan tanah itu kepada nenek saya, tetapi nenek pula menjual tanah itu kepada orang. Walaupun tiada perundangan yang boleh menghalau kami tinggal disitu, hati sentiasa gusar memikirkan saya hanya menumpang ehsan. Alhamdulilah, baru-baru ini ibu saya memperolehi tanah pusaka dikampungnya, maka berpindahlah ibu dan adik-adik ke sana.

Ironinya, datuk dan nenek sebelah bapa saya orang Kampung Nelayan, Kuala Perlis. Keduanya telah kembali ke rahmatullah. Arwah datuk saya seorang pusher, begitu juga bapa saudara saya yang menghabiskan usianya di penjara Songkhla. Zaman dahulu, bukan seperti sekarang yang mana pemerintah Thailand dah kurang ganas, jika ditangkap di Thailand di era lewat 80-an/awal 90-an walaupun hanya dijatuhkan hukuman beberapa tahun, anda pasti mati diseksa di dalam penjara. Itulah yang terjadi pada bapa saudara saya. Semoga Allah ampunkan dosa arwah datuk, nenek dan bapa saudara saya. Disebabkan kurang mesra, saya tidak tahu dimana letaknya rumah pusaka datuk dan nenek saya sendiri. Katanya diwasiatkan kepada bapa saya, katanya beliau telah jualkannya. Saya sendiri tidak tahu.

Faithcraft yang beroperasi di Kangar juga akan dihentikan operasi dan hanya akan berfungsi sebagai label maya ditalian internet sahaja.

Dikatakan puak ‘urak lawoi’ di Satun yang hidup nomad di lautan berasal dari Tanah Melayu, mungkin dari Kuala Perlis jika diukur dari tahap mentali dan kualiti hygiene mereka. Namun ada juga warga kola yang berjaya dan penyantun. Satu cerita dari kakitangan Unimap, Tuanku Raja Perlis pernah berhajat untuk membangunkan dan membuka minda penduduk kampung Wai dengan mewujudkan kampus di situ supaya mereka bergaul dengan masyarakat luar. Tuanku menitahkan majlis konvo Unimaps dilangsungkan di situ dengan menjemput masyarakat setempat untuk turut serta. Malangnya mereka datang dengan kain pelikat, ada yang tanpa baju, membuang sampah merata tempat dan tidak menjaga adab, membuatkan pentadbiran Unimap tawar hati untuk melibatkan orang awam lagi dalam majlis konvo mereka.

Satu kisah lain, rakan baik saya Azahari peniaga pakaian bundle di pasar malam bercerita dua kes yang menyebabkan dia serik untuk turun berniaga di pasar malam Kuala Perlis lagi. Satu petang  seorang lelaki bersama rakannya datang mencuba jaket, cuba punya cuba setelah sekian lama. Ada yang berkenan dihati. Rakan saya mempunyai seorang pekerja, jadi dia memantau mereka. Akhirnya lelaki tersebut memakai jaket itu dan terus berlalu tanpa membayarnya. Lalu rakan saya mengejar dan memintanya untuk membayar, tetapi dia bertegas mengatakan sudah membayar. Mereka bertengkar besar. Selang beberapa jam dia datang semula dengan beberapa orang rakan lagi ditempat rakan saya berniaga seolah-olah mahu bergaduh. Tetapi rakan saya mengalah dan berdiam sahaja. Kejadian kedua, seorang lelaki datang membeli seluar jean dan membayar dengan not RM50, disebabkan tiada baki mencukupi rakan saya membenarkan dia berbelanja dahulu dan datang membayar kemudian setelah ada wang kecil. Selang beberapa ketika, dia datang semula dan meminta wang baki. Padahal dia langsung tidak membayar lagi seluar yang dibeli. Dia berkeras mengatakan rakan saya telah mengambil wangnya tanpa mengembalikan baki. Padahal rakan saya yang memintanya datang membayar setelah ada wang kecil. Disebabkan dia berkeras dan mahu bergaduh, rakan saya membayar wang tersebut dengan berat hati. Namun pada sebelah malamnya, lelaki tersebut datang memohon maaf setelah sedar wang baki duitnya ada dalam poket. Tetapi rakan saya dah pun trauma.

Undang-undang lanun.
 
Sepekara lagi, saya dimaklumkan dari rakan Kola sendiri bahawa kebanyakan anak jati Kuala Perlis dah banyak berhijrah ke luar. Kuala Perlis kini dipenuhi Rohingya, malah mereka mempunyai pasar basah sendiri. Dan yang menjadi ralat, mereka lebih onar dari warga tempatan. Sesuatu yang menjadi persoalan kenapa mereka diperangi di kampung halaman sendiri di Burma? Namun saya tidak menghukum semuanya. Mungkin ada ingat kes tahun 2008, seorang lelaki Rohingya dipukul sampai mati kerana dituduh mengintai?

Ketika saya meronda dikawasan sekitar (rumah saya hanya beberapa kilometer dari pantai), rupanya sempadan Satun hanya beberapa kilometer sahaja dan projek tambatan banjir yang merupakan sebuah terusan besar ke laut sedang giat dibina. Mungkin kawasan ini akan dibangunkan sebagai sebuah pusat perniagaan dan marina jika muaranya diperdalamkan nanti. Pemancing juga ramai kelihatan disini.

Ikuti kisah apabila saya dah tinggal di kola dan menjadi ‘urak lawoi’ = Orang Laut.